Monday, March 31, 2014

Tanggapan pertama

Salam sejahtera. Melalui pengalaman saya, tanggapan pertama itu amat penting. Tidak kira dalam menjual barang, mencari jodoh dan sebagainya tanggapan pertama itu adalah sangat penting. Saya nak bawa anda mengenang kembali beberapa kemaskini status saya di Facebook suatu masa dahulu. Walupun kelakar tetapi ianya berkait rapat dengan perbincangan tajuk tanggapan pertama.



Sebagai seorang WAHD, anda pastinya mahu servis atau produk yang anda tawarkan itu mendapat perhatian bakal pelanggan. Tetapi sekiranya tanggapan pertama mereka terhadap servis/produk yang anda tawarkan kurang bagus, pastinya mereka tidak akan membeli produk anda. Sebagai seorang peniaga online, pastinya blog atau laman web anda yang akan memberi tanggapan pertama kepada bakal pelanggan anda. Sekiranya produk anda bagus, tetapi blog atau laman web anda kurang menarik, pastinya bakal pelanggan anda ini akan lari.

Berdasarkan kisah yang saya alami, banyak perkara yang boleh kita pelajari. Di antaranya ialah:

1. Jangan terus buat anggapan tanpa memastikan fakta. Jadi jangan anggap orang akan datang dan beli produk anda kerana anda merasakan produk anda bagus. Sebaliknya buat kajian dan analisa tentang prospek pelanggan anda dan apa yang mereka mahu.

2. Kena ubah strategi berdasarkan prospek pelanggan. Sekiranya perlu ubah penampilan atau melakukan penjenamaan semula. Kadang-kadang mungkin nama produk kita tidak kena dengan produk tersebut. 

Jadi hati-hati ya supaya tanggapan pertama para pelanggan anda itu bagus. Tanggapan pertama merekalah yang mungkin akan menghasilkan jualan untuk anda nanti. 

Sunday, March 30, 2014

E- filing 2013

Salam Sejahtera.Sedar tak sedar dah kita dah pun sampai ke penghujung bulan Mac untuk tahun 2014 ini. Begitu cepat masa berlalu. Jadi macam biasalah bila dah masuk bulan Mac ni, sibuklah sikit nak buat persiapan untuk menyelesaikan cukai pendapatan bagi tahun lepas. Kali ini nak bermula awal supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Sekarang ini begitu mudah untuk memfailkan cukai pendapatan anda. Tidak perlu lagi mnegisi borang manual dan pergi ke kaunter LHDN yang berdekatan. Sebaliknya anda boleh menggunakan perisian é-filing'. Macam info dari artikel berita harian ini, sekarang ini anda sudah boleh membuat bayaran cukai pendapatan anda.

Kuala Lumpur: Pembayar cukai sudah mula menggunakan perkhidmatan e-Filing sejak semalam untuk memfailkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran 2013. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), dalam kenyataan yang diterbitkan di sini, menyatakan pihaknya dalam proses mengeluarkan BNCP kepada pembayar cukai yang mempunyai pendapatan perniagaan dan/atau pendapatan selain perniagaan.

“BNCP yang dikeluarkan termasuklah Borang E, BE, B, BT, P, M, MT, TP, TF dan TJ untuk tahun taksiran 2013,” katanya. e-Filing adalah perkhidmatan disediakan LHDNM untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara dalam talian.
Semua BNCP yang dihantar menerusi aplikasi e-Filing akan dilindungi oleh teknologi Secure Socket Layer (SSL). 

Sejak aplikasi berkenaan diperkenalkan pada 2003, penggunaan perkhidmatan dalam kalangan pembayar cukai korporat dan individu meningkat berikutan pelaksanaannya mudah, tepat dan selamat.

Tahun lalu, sebanyak 2.376 juta BNCP diterima menerusi aplikasi e-Filing untuk tahun taksiran 2012. Jumlah meningkat berbanding 2.35 juta BNCP untuk tahun taksiran 2011.
Tarikh akhir menghantar borang dan membayar cukai pendapatan menerusi e-Filing adalah seawal 31 Mac bagi borang E (Borang Nyata oleh Majikan). 
Tempoh paling lewat sebelum 30 Jun bagi borang M (Borang Nyata Individu Bukan Pemastautin). 
Mulai 2013 pula, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM30,667 selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan dan dibuat menerusi aplikasi e-Daftar. 

“Individu yang mempunyai jumlah pendapatan sebulan melebihi RM2,837, pula perlu mendaftar sebagai pembayar cukai. Pendapatan bulanan termasuk gaji dan elaun yang layak dikenakan cukai.


“Perlu diingat, tindakan melarikan diri atau mengelak daripada membayar cukai adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Jadi pastikan anda sudah membayar cukai pendapatan ya. Tidak kira anda bekerja sendiri atau sebaliknya. Tidak sabar menantikan waktu untuk membayar cukai pendapatan individu yang bekerja tanpa majikan (WAHD sepenuh masa lah tu). 
Berikut beberapa tips untuk mengurangkan bayaran cukai pendapatan di Malaysia yang kita boleh cuba:




Sedikit sebanyak bolehlah kita cuba, apa pendapat anda? Saya dah buat e-filing. Anda bila lagi?

Saturday, March 29, 2014

Rancangan TV untuk anak-anak



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalau dah serius nak kerja di rumah dan menjadi WAHD sepenuh masa, nampaknya anda juga perlu bersedia menghadapi dan melayani anak-anak selama 24 jam. Kalau dahulu jika anda bekerja di pejabat, pastinya 8-10 jam masa anda di pejabat itu dapat digunakan untuk berehat sebentar dari melayani kerenah mereka.

Sinonim dengan anak-anak anda yang masih kecil, pastinya mereka suka dan gemar menonton kartun. Peranan kita sebagai ibu bapa haruslah mengawal dan mengawasi rancangan yang anak-anak kita tonton. Saya nak berkongsikan pengalaman saya dengan anak-anak. Saya suka berinteraksi dengan mereka sewaktu menonton rancangan kartun dengan mereka. Tanyalah soalan-soalan yang ringkas seperti apakah warna baju kucing itu dan sebagainya.

Secara tak langsung, anda dapat mengajar anak anda. Macam anak-anak saya kalau nak mengajar mereka memang tak boleh nak ajar seperti di tadika. Jadi sebagai ibu bapa kena sentiasa kreatif dan ambil peluang yang ada untuk mendidik anak-anak mengikut kesuaian dan kesempatan masing-masing.

Anak saya suka tengok rancangan animasi Boboiboy, yang sekarang ni dah ada musim ketiga dan ditayangkan di saluran TV3. Asalnya anak saya yang minat , tapi akhirnya saya pulak yang terminat lebih. Jadi kali ni nak kongsikan sikit video daripada boboiboy ni.
 


Menarik juga bukan? Satu tepukan meja saya berikan pada team Animonsta ini yang menghasilkan karya bermutu tinggi. Kalau dekat video ini, taglines dia ialah team bubadibako - buat baik di..balas koko, apa masalahmu? kami se..dia membantu. Hahaha, terngiang-ngiang di dalam kepala. Jadi untuk mendidik anak anda, kenalah olah sedikit  dan terangkan kepada mereka. Misalannya kalau buat kebaikan in sha Allah, Allah akan berikan ganjaran. Kita sebagai ibu bapa kena mainkan peranan. Saluran TV merupakan sumber pengajaran yang bagus sekiranya kita dapat mengawal dan menjadikannya begitu.Tapi untuk mempraktikkannya tidaklah semudah yang disangka.

Saya sendiri pun pening dan kadang-kala geram dengan anak-anak saya. Sekarang ni beliau suka menonton siri Ultraman dan setiap kali selepas habis menonton, pastinya aksi-aksi ganas dari siri itu akan dipraktikkan ke atas adik-adik  beliau. Malahan saya dan isteri turut terkena tempias. Rancangan saya, saya sendiri nak buat bukuvideo (awal-awal ini gambar dan tulisan sahaja, untuk masukkan suara , kena tunggu dahulu). 

Kalau buat sendiri walaupun kurang menarik, kandungannya kita boleh kawal.
ini adalah hasil buah tangan buku video saya yang pertama. Berkisarkan tentang kisah tauladan anak-anak yang saya olah sendiri daripada cerita-cerita tauladan rakyat yang umum.Diharap dapat menjadi perkongsian yang menarik dan berguna. Mungkin anda boleh menggunakan buku video tanpa audio ini untuk anda bercerita kepada anak-anak anda sebelum tidur. 


Anda bolehlah gunakan kepakaran dan kemahiran anda untuk mencipta sesuatu aktiviti, video, buku, permainan dan sebagainya untuk anak-anak anda. Walaupun hasil kreativiti anda itu mungkin tidak sampai ke tahap yang boleh dijual, sekurang-kurangnya anda boleh berkongsi dengan anak-anak anda. Malahan mereka juga akan lebih menghargainya kerana anda yang menghasilkan produk itu sendiri. Jika ianya cukup berkualiti, anda mungkin boleh menjualnya dan dapat menjana pendapatan dengan produk yang anda hasilkan itu.

Soalan-soalan yang harus dijawab sebelum bergelar WAHD


Salam Sejahtera. Pastinya para bakal WAHD berdepan dengan pelbagai soalan sewaktu mengambil keputusan untuk menjadi WAHD sepenuh masa. Pastinya bertubi-tubi soalan diajukan sama ada dari pihak pengurusan syarikat, rakan terdekat, keluarga mahupun pasangan sendiri. Jom kita lihat apakah bentuk soalan yang para bakal WAHD kena jawab.

1. Bila anda mulakan perkhidmatan anda dengan syarikat? 

2. Bilakah anda menamatkan perkhidmatan anda dengan syarikat ?

3. Apakah sebab utama anda membuat keputusan berhenti kerja? Sepengetahuan saya anda semua merupakan antara pekerja cemerlang dan berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam syarikat dalam masa beberapa tahun lagi. 

4. Sebelum membuat keputusan untuk berhenti, apakah langkah-langkah dan perancangan yang anda ambil?

5. Apakah soalan paling lazim yang anda terima dari keluarga dan teman rapat setelah anda menceritakan niat anda untuk berhenti kerja?

6. Secara ringkas tolong terangkan cabaran yang anda hadapi sewaktu hendak berhenti kerja. Sebagai contoh, bagaimana anda menerangkan kepada keluarga dan juga majikan anda & bagaimanakah penerimaan mereka?

7. Berapa lama masa yang anda ambil sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja?

8. Setelah anda berhenti kerja, apakah yang anda lakukan?

9. Apakah cabaran yang anda hadapi setelah berhenti kerja?

10. Sila ceritakan satu pengalaman yang paling manis & satu pengalaman yang paling pahit setelah anda berhenti kerja.

11. Sila ceritakan kisah kejayaan anda setelah anda berhenti kerja.

12 . Adakah anda berpuas hati dengan tindakan anda berhenti kerja dahulu?

Bagaimana? adakah anda sudah bersedia dan mempunyai jawapan terhadap semua persoalan tersebut?Sekiranya sudah, tahniah diucapkan kepada anda. Anda memang sudah berjaya menjadi WAHD sepenuh masa. Sekiranya masih belum, jom kita lengkapkan ilmu dan teruskan usaha untuk menjadi WAHD sepenuh masa.



Sebarang pertanyaan dan perkongsian, sila hubungi saya di:



Friday, March 28, 2014

Kenangan raya

Salam sejahtera. Kalau sebut tentang kenangan raya, pasti ada kenangan-kenangan indah yang anda tidak boleh lupa. Bagi saya kenangan manis raya saya sewaktu musim raya aildifitri dua tahun lepas. Sewaktu itu baru tiga tahun berkahwin dan baru memilik anak yang kedua & ketiga.

Sudah menjadi tadisi saya dan isteri untuk mengambil gambar keluarga setiap kali hari raya tiba. Jadi bila bergambar dengan anak-anak kecil, macam-macam kerenahnya. Menangislah, tak mahu duduk diam dan sebagainya. Sudahnya gambar keluarga kami pada tahun 2012 seperti gambar di bawah.



Ini adalah foto terbaik yang dapat diambil. Anak yang sulung menangis sedih, yang nombor dua menutup muka, yang nombor tiga menangis tak tahu sebab apa. Abi dan umminya sahaja yang riang gembira =).

Macam yang saya kongsikan pada entri sebelum ini, kita haru selalu menanamkan aura ceria dan positif dalam diri. Ini sangat bagus dalam merangsang perkembangan anak-anak. Tak mudah nak menjaga anak-anak ini. Tapi penjagaan anak-anak ini juga bukan merupakan perkara yang susah.

Kadang-kadang risau juga, sebab biila nak jadi WAHD sepenuh  masa ini, perlu berhadapan dengan kerja dan anak-anak dalam masa yang sama. Jadi pengurusan masa seharusnya cemerlang untuk para WAHD ini. Kadang-kadang memang sangat geram kerana mereka suka mengganggu kerja-kerja kita di rumah. Baru ingat nak mengemaskini blog dan memasukkan entri baru, mulalah mereka nak makan, nak tengok kartun di komputer dan macam macam lagi. 

Apapun kerana matlamat nak jadi WAHD sepenuh masa, anggaplah ini sebagai suatu cabaran dan proses pembelajaran. Semoga berkat kesabaran bekerja dan menguruskan anak-anak serentak mampu memberikan kesabaran besar dalam perniagaan yang diceburi. 

Apakah Matlamat WAHD Anda?


Salam Sejahtera.Semua orang harus ada matlamat hidup. Untuk orang islam, sudah tentulah matlamat hidupnya ialah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Ini adalah yang ultimatum. In Sha Allah sama-sama kita memperolehinya. 


"Kenapa saya nak bekerja dari rumah?". "Kenapa perlu tinggalkan pekerjaan saya sekarang yang Alhamdulillah tersangat bagus?". Itulah di antara persoalan "kenapa?" dan "mengapa?" yang harus bakal WAHD jawab dan pastikan.



Memang benar, kita tidak tahu apa akan terjadi di masa 5 tahun yang akan datang? Tapi sekurang-kurangnya kita boleh meneka. Kalau kita menjalani kehidupan kita dengan status quo, rutin, maka itu jugalah hasilnya. Jadi sekiranya ingin ada perubahan, haruslah kita juga mengubah sesuatu. Di Malaysia , Alhamdulillah untuk mereka yang berpeluang bekerja dengan syarikat-syarikat gergasi, gaji selesa dan kenaikan gajinya amat berpatutan setiap tahun. Namun masih ada segelintir insan yang gajinya status quo setiap tahun. Ini sebagai contoh sahaja ya. Jadi sekiranya golongan kedua tadi ingin menambah pendapatan, seharusnya mereka mencari peluang pekerjaan yang lain.


Berdasarkan pengalaman saya sendiri,selama hampir 10 tahun bekerja di syarikat yang sama, saya selesa, tiada keperluan untuk menukar matlamat. Namun bila ada keperluan untuk menukar matlamat, saya harus membuat perubahan dan menukar strategi saya. Apabila sudah berkahwin dan bekeluarga, pekerjaan bukanlah sesuatu yang saya dahulukan seperti zaman bujang dahulu. Sebaliknya keluargalah yang menjadi keutamaan saya. 



Sebagai perkongsian kepada para bakal WAHD, saya ingin menyarankan anda membuat analisa dan mengenal pasti beberapa aspek utama sebelum meneruskan keputusan dan mengambil langkah menjadi WAHD sepenuh masa.
Berikut adalah beberapa soalan analisa yang harus anda jawab dahulu:

1. Senaraikan 5 sebab anda ingin menjadi WAHD sepenuh masa?
2. Senaraikan matlamat anda. Anda boleh senaraikan sehingga maksimum 10     matlamat anda. Apa yang anda ingin capai di dalam kehidupan.
3. Seterusnya bahagikan matlamat anda itu kepada dua bahagian:
   i) matlamat jangkamasa pendek (yakni matlamat yang anda ingin capai             dalam masa 1-2 tahun).
  ii) matlamat jangkamasa panjang (yakni matlamat yang anda ingin capai           dalam masa 5 tahun akan datang).
4. Senaraikan tindakan yang akan anda ambil untuk mencapai matlamat yang     anda tetapkan. Bahagikan tindakan anda itu mengikut matlamat                   jangkamasa pendek dan panjang yang anda telah tetapkan.
5. Tetapkan tempoh untuk anda mencapai matlamat jangkamasa pendek dan       panjang anda.
6. Tetapkan jumlah pendapatan yang anda ingin capai melalui tindakan yang      anda ambil. Pastikan anda mendapatkan pendapatan pada jumlah yang          konsisten atau lebih baik untuk sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-          turut. Kaji dan selidik kembali risiko menjadi WAHD sepenuh masa.
7. Saya amat menyarankan untuk bakal WAHD membuat log catatan. Ini untuk    memudakan anda membuat analisa dan kajian terhadap tindakan yang anda    ambil untuk mencapai matlamat anda. Sama ada ianya berjaya ataupun          kurang berjaya. Melalui log catatan ini, lebih mudah untuk anda muhasabah    diri dan tindakan anda.
8. Anda boleh buat log catatan anda di dalam blog, excel spreadsheet                ataupun microsoft word. Namun bagi diri saya, saya lebih suka membuat       catatan di blog. Ini kerana anda akan dapat turut berkongsi pengalaman        anda bersama insan yang seangkatan. Anda berpeluang bertukar-tukar fikiran   dan pengalaman dengan mereka.

Itulah antara langkah-langkah yang bakal-bakal WAHD ini boleh lakukan. Lakukanlah mengikut kesesuaian masing-masing. Yang penting tetapkan matlamat anda. Jangan terlalu kerap menukar matlamat dan tindakan anda. Takutnya nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Nak berkongsi pendapat dan bertukar-tukar fikiran? Jom hubungi saya di:




Thursday, March 27, 2014

Pagi yang menakjubkan




Alhamdulillah pagi hari dimulakan dengan ceria, sempat bersarapan dengan isteri dan meraikan ibu bapa mertua yang datang menziarahi keluarga kami. Beberapa minggu ini sangat memenatkan kerana agak sibuk dengan aktiviti di tempat kerja. Hari ini barulah berpeluang nak menarik nafas lega sedikit.



Buka komputer dengan niat nak semak saman dari PDRM. Bukan apa, cukai kenderaan kereta dah nak tamat tempoh, jadi nak pastikan boleh diperbaharui dengan mudah dan tanpa halangan.

Bila saya buka laman web rilek, saya tersengih panjang =). Satu tepukan meja saya berikan kepada pihak yang mengelola laman web ini.


Viral juga penangan 'meme' internet ini. Sehinggakan laman web kerajaan turut menggunakannya. Memang memberikan permulaan yang baik terhadap hari saya.

* meme internet =  adalah satu idea, gaya atau tindakan yang menular, selalunya sebagai peniruan, dari seorang ke seorang melalui Internet, dengan meniru konsep itu. 

Yang penting bila pagi hari dah dimulakan dengan tenang dan gembira, 
in Sha Allah ia kan berterusan. Emosi sangat mempengaruhi produktiviti kita. Jadi pastikan anda sentiasa ceria dan jangan lupa mulakan hari dengan ceria semoga penghujung hari kita juga diakhiri dengan kegembiraan.

Kalau pagi hari emosi kita sudah terganggu bimbang aktiviti yang akan kita lakukan seterusnya juga akan dipengaruhi pengaruh negatif. Bagi para ibu bapa pula pastinya tidak mahu mengalirkan emosi dan tenaga negatif kepada anak-anak seawal permulaan pagi. Emosi anak-anak amatlah bergantung kepada emosi para ibu bapa mereka. Jadi kenalah selalu ceria dan positif bagi merangsang pertumbuhan positif dalam diri anak-anak. 

Bagi yang beragama Islam, mulakan hari dengan bersolat, dan bersyukur dengan kebesaran Allah. Mulakan dengan doa dan akhiri dengan doa. Semoga kehidupan kita sentiasa dalam keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t


Faktor Berhenti Kerja

Kadang-kadang saya hairan mengapa seseorang yang mempunyai jawatan tinggi sanggup berhenti kerja. Lebih membingungkan lagi apabila insan-insan hebat ini berhenti dan duduk di rumah sahaja meluangkan masa bersama keluarga.Tetapi apa yang saya tidak ketahui, sebenarnya mungkin mereka ini sudah mempunyai pendapatan yang lebih besar dari kerja harian mereka. Mungkin pendapatan daripada perniagaan dari rumah atau internet mereka begitu konsisten sehingga mereka ini mampu untuk berhenti kerja, walaupun ada di antaranya yang sudah bergelar seorang pengurus. 

Berkait rapat dengan konsep WAHD, pastinya para WAHD ini mempunyai satu sebab yang tertentu sebelum mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi WAHD sepenuh masa. Kali ini saya nak kongsikan tanda-tanda mengapa anda harus berhenti kerja. Sumber artikel ini saya petik dari  http://www.businessinsider.sg. Artikel ini juga telah saya kongsikan pada laman facebook saya pada tidak berapa lama dahulu. Artikel ini asalnya telah ditulis dalam bahasa inggeris. Jadi saya akan menterjemahkan dan mengolah di dalam bahasa melayu untuk keselesaan para pembaca semua.

Berikut adalah antara tanda-tanda untuk anda berhenti kerja:

1. Anda tidak lagi belajar. Anda cepat merasa bosan dengan pekerjaan anda dan tidak merasakan dapat meraih ilmu berguna dalam pekerjaan anda sekarang.

2. Kemahiran kerja anda tidak bersesuaian dengan kerja. Dalam erti kata lain mungkin anda juga terlebih layak untuk menjawat jawatan tersebut.
3. Anda semakin bencikan kerja anda. Gaji yang setimpal dengan pekerjaan juga sudah tidak mampu memotivasikan diri anda.

4. Anda tidak selesa dan sesuai dengan budaya tempat kerja anda. Mungkin setelah setahun kerja, anda masih susah menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat kerja anda. Jadi eloklah anda berfikir untuk mencari kerja lain.


5. Syarikat anda bekerja sedang menghadapi krisis kewangan. Sekiranya situasi seperti ini berlaku, mungkin lebih baik anda mencari peluang kerja yang lain. Ini kerana, bimbang anda akan kehilangan kerja sekiranya syarikat anda mengalami masalah dan ditutup.
6. Kesihatan anda terganggu disebabkan tekanan stres di tempat kerja. Jika anda mengalami situasi seperti ini, tidak berbaloi untuk anda meneruskan kerja anda. Kesihatan diri sendiri harus dijaga. Wang yang banyak juga tidak berguna sekiranya kesihatan diri terjejas.
7. Kehidupan rumah tangga anda terjejas. Tidak dinafikan ada orang yang sangat mementingkan kerjaya hingga menyebabkan kehidupan rumah tangga terjejas. Terlalu banyak masa diluangkan di tempat kerja hingga tanggungjawab di rumah diabaikan. Jika perkara seperti ini berlaku, bincangah dengan pasangan dan majikan anda untuk penyelesaian. Sekiranya tiada pilihan, mungkin anda harus mencari kerja lain.
8. Kerja bertambah sedangkan gaji anda masih sama. Semak dengan pihak sumber manusia dan kaji semula kontrak kerja anda. Sekiranya syarikat melanggar perjanjian kontrak dan memanipulasi anda melakukan lebih kerja tanpa bayaran, anda mungkin perlu bertukar pekerjaan.
9. Anda tidak mempunyai motivasi untuk bekerja. Anda susah untuk bangun pagi dan bersiap ke tempat kerja. Anda merasa tidak gembira di pejabat. Sekiranya ini berlaku, mungkin perkara terbaik ialah bertukar tempat kerja di persekitaran yang baru.




Anda tergolong dalam kategori yang mana? Apa-apapun pilihan di tangan anda. Anda yang merencanakan kehidupan anda sendiri. Dapatkan khidmat nasihat pakar dan berbincanglah dengan pasangan anda sebelum membuat keputusan drastik berhenti kerja. Pastikan anda mendapat surat tawaran dari syarikat lain sebelum memberi notis berhenti kerja. Pastikan anda sudah mempunyai tindakan susulan sekiranya anda ingin berhenti kerja. Pastikan apakah pekerjaan yang anda lakukan setelah anda berhenti kerja.

Tujuan entri ini bukanlah untuk menggalakkan anda semua berhenti kerja. Tidak sama sekali. Sebaliknya hanya sekadar berkongsi. Mungkin ada di antara anda yang mengalami masalah seperti ini tetapi tidak ada jalan keluar.
Bagi WAHD, tidak semestinya tanda-tanda seperti di atas menjadi pencetus sebab mereka menjadi WAHD sepenuh masa. Sebaliknya ada penyebab lain mengapa mereka menjadi WAHD. Di antaranya ialah:
  •       Lebih masa dapat diluangkan bersama keluarga
  •       Persekitaran kerja yang selesa dan tenang
  •       Diberhentikan kerja kerana faktor kemelesetan ekonomi
  •       Memang suka nak kerja di rumah  
  •       Mahukan kebebasan masa bekerja
  •       Sudah bersara dan memerlukan sumber pendapatan tambahan  untuk  diri sendiri & keluarga            
  •       Mahu meluangkan masa pada minat/hobi dan menjadikannya satu  sumber pendapatan yang tetap

Walau apapun perancangan dan keputusan yang anda buat, janganlah buat dengan terburu-buru. Bagi yang beragama Islam, buatlah solat isthikharah untuk memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah. Sessungguhnya sebaik-baik tempat meminta itu adalah dari Allah.

Wednesday, March 26, 2014

Sama Tapi Tak Serupa

Salam sejahtera. Beberapa hari yang lepas saya melihat sebuah gambar di facebook hasil perkongsian teman saya. Memang banyak orang yang 'like' gambar tersebut. Almaklumlah angkasawan pertama negara yang di dalam gambar tersebut. 


Kemudian dengan niat nak main-main dengan isteri, saya pun kongsikan gambar saya dengan anak-anak bagi tujuan mengajuk gambar Dr Mudzaffar ni.


Sama tapi tak serupakan? Siap naik sampan lagi =). Syabas diucapkan kepada semua kaum bapa moden yang kini makin melibatkan diri dalam hal penjagaan anak-anak. Natijahnya perkahwinan itu juga merupakan suatu perkongsian. Jadi bab-bab penjagaan anak ini juga haruslah dikongsi.

Saya amat menggalakkan para ayah di luar sana untuk keluar berhibur dengan anak-anak sahaja. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Ianya untuk menjalankan hubungan yang lebih rapat dengan anak-anak. Di samping itu dapatlah anda beri peluang kepada isteri untuk berehat atau melakukan aktiviti yang disukainya. Jangan ingat suri rumah tak perlukan cuti ya. Sesekali dapat melepaskan diri dari melayan kerenah anak-anak akan membantu menyegarkan mereka kembali. Kalau anda tak percaya, sila tanya ibu dan isteri anda. Kalau tak percaya juga, anda boleh cuba duduk di rumah seharian dan menjaga anak sambil menguruskan hal rumah tangga. Saya jamin isteri anda mesti suka punya. Selamat mencuba.

Pengertian WAHD ( Bapa Bekerja dari Rumah)

Salam sejahtera. Alhamdulillah berbekalkan semangat baru dan tunjuk ajar sifu, masih lagi dapat meneruskan penulisan setiap hari. Dalam entri ini saya nak membincangkan tentang WAHD atau dalam bahasa melayunya, bapa bekerja dari rumah. 

Menurut Wikipedia, A work at home parent is an entrepreneur who works from home and integrates parenting into his or her business activities. They are sometimes referred to as a WAHM (work at home mom) or a WAHD (work at home dad).
Terjemahan ke bahasa melayu, ibu bapa yang bekerja dari rumah adalah pengusaha, atau usahawan yang bekerja dari rumah. Pada masa yang sama mereka turut menggabungkan tugasan keibubapaan dengan aktiviti keusahawanan dan perniagaan mereka. Untuk kaum Hawa mereka dirujuk sebagai WAHM (mak bekerja dari rumah). Manakala untuk kaum Adam mereka dirujuk sebagai WAHD (Bapa bekerja dari rumah). 

Saya sebenarnya lebih dulu mengenali istilah SAHD daripada WAHD. Tetapi saya tidak akan terangkan tentang SAHD. Saya mula mengenali istilah ini di internet melalui pembacaan saya di laman url berikut:
1. http://tinyurl.com/kv7v55p
2. http://tinyurl.com/m5flrdl
3. http://tinyurl.com/clyf5cr

Sejak itu saya sedar yang WAHD ini sudah menjadi fenomena biasa terutamanya di negara barat. Cuma di negara kita ini belum lagi menjadi fenomena yang biasa. Mungkin kerana ideologi & kebudayaan masyarakat kita yang sinonim dengan kerja mesti dilakukan di pejabat atau tempat perniagaan sahaja. Sedar atau tidak , di Malaysia juga sudah ramai mereka yang menjadi WAHD. Kebanyakannya pula adalah merupakan jutawan senyap. Namun setakat ini melalui pencarian saya masih belum ada panduan untuk topik ini. Mungkin kerana kaum bapa ni malu nak mengaku yang mereka ini seronok berkerja dari rumah bersama keluarga.

  
Sebagai seorang bapa kepada tiga orang anak, saya sedar tugas menjaga mereka bukannya mudah. Namun disebabkan tuntutan kerja yang memaksa saya berjauhan dengan keluarga, saya terpaksa menyerahkan tugas itu seratus peratus kepada isteri. Isteri saya juga merupakan seorang WAHM (ibu bekerja dari rumah). Namun bagi saya, beliau merupakan seorang ''supermom'. Dalam kesibukan menjaga anak-anak dan menguruskan hal rumah tangga, beliau masih lagi sempat menguruskan perniagaan jualan langsungnya.

Disebabkan itu saya bertekad untuk membantu beliau dalam aspek pengurusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak. Di situlah mulanya timbul minat untuk menjadi seorang WAHD sepenuh masa. Saya juga ingin meluangkan lebih masa berharga dengan keluarga. Kesempatan untuk melihat pembesaran anak-anak, terutamanya kembar saya turut menjadi pendorong utama.

Siapa yang boleh jadi WAHD? Pada pendapat saya, siapa pun boleh. Asalkan bergelar seorang bapa dan memenuhi kriteria WAHD. Kriteria WAHD ialah seorang bapa yang bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama turut menguruskan hal rumah tangga dan penjagaan anak-anak. Bapa yang bekerja dari rumah tetapi menyerahkan tugasan penjagaan anak-anak kepada isteri tidak tergolong dalam golongan WAHD. Sebaliknya mereka ini lebih sesuai dirujuk sebagai kategori 'home office' ( menjadikan rumah sebagai pejabat). Masa kerja mereka juga mengikut waktu kerja di pejabat.

Bidang WAHD ini pada saya cukup besar dan tidak terbatas kepada bidang perniagaan online sahaja. Para WAHD juga boleh menceburkan diri dalam bidang offline. Cuma kelemahan perniagaan offline ini, kita terpaksa turut meluangkan masa di luar rumah juga. Jadi kalau mempunyai anak-anak yang masih kecil dan belum bersekolah, mungkin agak sukar untuk membawa mereka bersama setiap kali anda ada urusan perniagaan di luar.

Jika berkesempatan mungkin saya akan bincangkan tentang pemilihan bidang yang para WAHD ini boleh ceburi pula di entri berikutnya. Apapun pilihan di tangan anda. Bagi kaum bapa yang ingin menjadi WAHD ataupun yang sudah menjadi WAHD sepenuh masa diharap dapat berkongsi pendapat dan bertukar-tukar buah fikiran. 

Anda boleh hubungi saya melalui laman web facebook:

Tuesday, March 25, 2014

Pengalaman Berniaga (bahagian dua)

Salam sejahtera. Di dalam entri Pengalaman Berniaga (bahagian satu), saya telah berkongsi tentang pengalaman awal berniaga saya sewaktu saya masih belajar. Pada entri ini saya akan berkongsi kisah pengalaman berniaga saya sewaktu saya sudah bekerja pula.

Saya mula serius untuk menceburkan diri dalam perniagaan sewaktu awal tahun 2011. Sewaktu itu saya sedang menyelia projek syarikat di sebuah negeri di selatan tanah air. Sewaktu itu juga isteri sedang sarat mengandung anak kembar kami. Beliau juga bekerja di salah sebuah syarikat di ibu kota. Betapa risaunya saya ketika itu kerana terpaksa berjauhan dengan isteri. tambahan pula isteri terpaksa menjaga anak sulung kami dan bekerja sewaktu mengandungkan anak kembar kami. Waktu itu pula pihak syarikat masih belum memberikan keizinan untuk saya bertugas di Kuala Lumpur semula.




Saya telah bersepakat dengan seorang kawan untuk mengusahakan perniagaan mencuci kereta. Hajat di hati mahu fokus pada perniagaan dan boleh berhenti kerja untuk tinggal bersama dengan isteri di Kuala Lumpur. Kerana ada peluang terhidang saya dan rakan pantas terus membuka perniagaan mencuci kereta walaupun langsung tidak ada pengetahuan mengenainya. Sejumlah wang yang kami laburkan akhirnya terpaksa dileburkan sahaja. Sesungguhnya tanpa pengetahuan dan kefahaman yang mendalam, pekerjaan apapun akan menjadi sukar. Kami menghadapi pelbagai masalah termasuk cara mengoperasikan mesin, mendapatkan pekerja dan macam-macam lagi. Semuanya kami cuba-cuba sahaja dan dengan bantuan seorang rakan yang memiliki perniagaan mencuci kereta, kami berjaya menyusun atur peralatan di kedai. Akhirnya setelah beberapa bulan, kami terpaksa akur dan menutup perniagaan. Kesukaran mendapatkan pekerja tetap serta pelbagai masalah lain memaksa kami berbuat demikian. Perkara yang paling saya ingat ialah kami terpaksa membuat laporan polis pada pukul 2 pagi kerana risau akan ancaman seseorang mengenai kedai kami. Tidak berbaloi untuk terus mengambil risiko.

Masih tidak berputus asa, saya mencuba lagi. kali ini dalam bidang jahitan. Saya berkongsi perniagaan ini dengan beberapa orang rakan. Alhamdulillah perniagaan itu masih bertahan sehingga kini. Perniagaan itu diberi nama CAMTALTS. Kedai ini memfokuskan tempahan secara pukal. Saya diberi tanggungjawab untuk mencari pelanggan baru dan mendapatkan kontrak untuk kedai kami. Namun begitu perniagaan bukanlah semudah yang saya sangkakan. Untuk mendapatkan kontrak begitu susah buat saya. Saya terpaksa berjumpa pelanggan dan meyakinkan mereka. Kadang-kadang sehingga tengah malam dan hari minggu. Sudahnya sama sahaja, masa yang diluangkan untuk bersama keluarga juga semakin berkurang. 

Terbaru melalui cabaran 18 WAHD (sila rujuk entri pengenalan), saya telah mencuba pelbagai bidang perniagaan internet. Ini juga sebagai salah satu lagi langkah untuk saya bekerja dari rumah sepenuh masa. Berikut peluang perniagaan internet yang telah saya ceburi sejak 3 bulan lalu:


1. Tune Talk Tone Excel - Peluang jana pendapatan melalui sim kad dan penggunaan telefon bimbit - KLIK SINI
2. Projek Affiliate DVD momentum saham - belajar ilmu saham dari salah seorang IM terkenal Malaysia, saudara Najib Asaddok - KLIK SINI
3.  Projek jualan ebook. Menjual pelbagai ebook di dalam bahasa inggeris dan melayu. Buat masa ini website masih dalam persiapan -  fanpage facebook juga masih dalam proses kemaskiniKLIK SINI



Saya mempromosikan dan memperkenalkan produk ini di blog lama saya 
b-tame.blogspot.com. Di sini saya belajar walaupun produk anda bagus, tapi tanpa teknik promosi yang berkesan saya sukar mendapatkan pembeli. Malah untuk mendapatkan trafik untuk ke blog saya juga tersangatlah sukar. Secara purata saya hanya berjaya mendapatkan trafik sekitar 30-50 orang setiap hari. Namun kebanyakan pengunjung rata-rata datang untuk membaca entri di blog saya sahaja dan bukannya untuk mengetahui dan membeli produk yang saya promosikan. Lama kelamaan blog saya bertukar menjadi blog syok sendiri. Entri-entri di dalam blog saya juga sudah mula lari daripada tajuk sebenar. Seharusnya saya fokus pada tajuk asal dan tujuan blog saya. 

Sekadar di sini dulu perkongsian saya kali ini. Pada entri seterusnya saya akan berkongsi tentang rangkuman aspek perniagaan melaui kajian kes pengalaman perniaga saya. Kajian kes saya ini akan merangkumi dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi kajian kes tentang aspek perniagaan tanpa modal. Bahagian kedua pula akan merangkumi aspek perniagaan dengan modal. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda semua.



Monday, March 24, 2014

Pengalaman Berniaga (bahagian satu)

Salam sejahtera. Pada entri ini saya nak kongsikan mengenai pengalaman berniaga saya. Saya pasti semua orang mempunyai pengalaman meniaga masing-masing sama ada anda sedar atau tidak. Melalui perkongsian ini saya berharap akan menjadi peringatan dan panduan kepada anda supaya tidak mengulangi lankah yang salah dalam perniagaan. Ibarat kata pepatah, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Pengalaman berniaga saya yang pertama bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya menjaja dan menjual makanan bungkus seperti nasi lemak, mee goreng dan bihun goreng. Saya mendapat keuntungan seratus peratus dan hasil jualan telah saya simpan di dalam bank. Modal adalah daripada ayah, manakala tenaga kerja adalah sepenuhnya dari emak. Keseronokan berniaga saya itu tidak berpanjangan. Adik beradik yang lain mula komplen kerana terpaksa bersarapan dengan makanan yang sama setiap hari. Mengenangkan komplen adik beradik dan kasihankan emak yang terpaksa bangun awal setiap pagi, saya ambil keputusan berhenti berniaga. Tanpa saya sedari pada ketika itu, saya telah pelajari asas perniagaan yang berharga iaitu kepentingan memiliki produk yang bagus . Sewaktu menjaja makanan bungkus itu saya hanya perlu datang ke sekolah bersama makanan bungkus tersebut dan pelanggan yang akan datang cari saya.

Minat saya terhadap bidang perniagaan diteruskan sewaktu sekolah menengah. Saya mengambil upah membasuh baju rakan-rakan. Saya juga menjadi agen menjual baju T-shirt pihak sekolah. Saya juga turut menjadi agen jualan para pekerja sekolah untuk menjual makanan. Akmaklumlah tinggal di asrama, sentiasa lapar manakala makanan di kantin pula mahal. Hasil upah itu saya gunakan untuk membeli barang keperluan, duit makan di kantin dan juga buku komik. Pada waktu itu memang tidak fikirkan untuk menyimpan. Cuma ingin mencari duit lebih untuk memenuhi keinginan pada waktu itu. Sebenarnya banyak selok belok perniagaan yang saya pelajari sewaktu itu, saya sahaja yang tidak tahu. Saya belajar perkara asas tentang pemasaran dan promosi. Saya juga belajar mengenai hukum pemintaan dan penyediaan (demand and supply).


Sewaktu di universiti saya terus menyambung minat saya dalam bidang perniagaan. Saya bersama rakan bekongsi membuka 'kedai runcit mini'. Kami menjadikan almari seorang rakan sebagai kedai dan pusat jualan kami. Saya juga menjalankan perniagaan menjual T-shirt bercetak. Semua proses itu saya dan rakan saya buat sendiri termasuk mereka cipta corak T-shirt, melantik agen penjual, menghasilkan katalog. Cuma proses mencetak sahaja diserahkan kepada kedai. Alhamdulillah hasil keuntungan daripada jualan T-shirt tersebut berjaya menampung kos perbelanjaan saya sewaktu mula bekerja. Jadi sewaktu menunggu untuk dapat gaji pertama, saya masih mampu bertahan tinggal di Kuala Lumpur tanpa meinta bantuan kewangan dari ayah. Melalui perniagaan T-shirt ini sebenarnya saya sudah mula belajar tentang asas komponen penting sebuah perniagaan.

Semoga perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak memberi gambaran awal tentang pendedahan awal terhadap asas perniagaan. Saya akan kongsikan lagi mengenai pengalaman saya di bahagian dua. Saya juga akan menyenaraikan beberapa asas perniagaan yang saya pelajari melalui pengalaman awal berniaga saya.

Sunday, March 23, 2014

Salam Pengenalan

Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Alhamdulillah diberikan kesempatan untuk memulakan blog Diari WAHD ini. Semoga perkongsian di dalam blog ini dapat menyumbang ilmu bermanfaat kepada para pembaca khususnya para bapa-bapa yang ingin bekerja dari rumah secara sepenuh masa.

Nama penuh saya ialah Ahmad Shahrin Bin Mohamad Anuar. Dilahirkan pada 13 November 1982. Mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah rendah sekitar negeri Perak. Seterusnya menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin (SMTSSS) atau lebih dikenali sebagai 'soksek' di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak dalam bidang kejuteraan awam.

Setelah menamatkan pengajian peringkat universiti, saya telah ditawarkan untuk menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang kajian kejuteraan bahan konkrit. Namun saya terpaksa menolak kerana pada masa yang sama telah ditawarkan peluang pekerjaan oleh sebuah syarikat gergasi di ibu kota. Pada 1 Jun 2005 saya telah memulakan karier saya sebagai jurutera struktur.

Bidang kerja dan tanggungjawab sebagai seorang jurutera struktur memerlukan saya menyelia dan mengurus projek-projek di luar pejabat. Kadang-kadang hingga berbulan-bulan hinggakan bertahun perlu bekerja di luar pejabat. Sewaktu masih bujang, perkara ini tidak menjadi masalah malahan menjadi kebiasaan.

Saya telah mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati saya pada 12 Jun 2009. Isteri saya, Siti Noor Arfah Binti Umar merupakan seorang WAHM (ibu yang bekerja di rumah) sepenuh masa. Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam jurusan 'Technopreneurship'. Hasil usia 5 tahun perkahwinan kami, kami telah dikurniakan dengan 3 orang anak lelaki.

Pada awalnya saya amat meminati kerjaya saya dan bercita-cita besar untuk menjawat jawatan tinggi di dalam syarikat. Namun faktor masa bekerja dan lokasi kerja yang berubah-ubah menyebabkan saya kurang  berpeluang meluangkan masa seperti yang saya inginkan bersama keluarga saya. Sepanjang 5 tahun usia perkahwinan, mungkin hanya setahun masa yang kami sekeluarga tinggal sebumbung.

Pada tahun 2011 saya telah mula menceburkan diri dalam beberapa bidang perniagaan. Ini semua dilakukan kononnya untuk bekerja sendiri dan meluangkan masa yang lebih banyak bersama keluarga. Malangnya bila berniaga tanpa ilmu, ibarat berperang tanpa senjata. Banyak perniagaan yang saya ceburi gagal dan tidak berjaya. Ini semua kerana tidak mendalami selok belok perniagaan dengan lebih teliti sebelum bermula. Hanya satu cabang perniagaan saya yang bertahan, iaitu kedai jahitan CAMTALTS. Itupun disebabkan rakan kongsi yang menguruskan perniagaan.

Pada awal tahun ini, saya telah mencabar diri sendiri untuk mampu bekerja dari rumah sepenuh masa. Saya telah namakan cabaran ini sebagai cabaran 18 bulan WAHD. Pelbagai usaha yang telah saya lakukan terutamanya dalam bidang perniagaan internet. Saya telah menggunakan b-tame.blogspot.com sebagai platform untuk peniagaan internet saya. Walau bagaimanapun lama kelamaan blog itu telah kurang hasil penulisan asli dan telah menjadi blog syok sendiri.

Alhamdulillah, tergerak hati menghubungi kawan lama, Puan Norazizah Sudin. Hasil perbincangan, beliau menggalakkan saya untuk menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR). Lama juga masa yang saya ambil sebelum bersetuju menyertai ABDR. Pada mulanya rasa janggal kerana akan menyertai kumpulan suri rumah. Tetapi disebabkan ilmu dan mahu mendapat bimbingan yang berterusan, saya ketepikan perasaan ego saya. Terima kasih kepada Puan Norazizah Sudin dan Puan Masayu Ahmad yang sudi menerima  kehadiran saya dalam ABDR dan sanggup memberikan tunjuk ajar.

Minat yang mendalam pada bahan bacaan membantu menguatkan lagi keinginan menyertai ABDR. Bahan bacaan motivasi dan pengalaman hidup hasil nukilan Dato' Dr Haji Fadzillah Kamsah & Mitch Albom menjadi koleksi kegemaran saya. Saya juga berharap suatu hari nanti saya berpeluang menghasilkan karya-karya hebat seperti mereka. InsyaAllah jika berpeluang saya juga ingin menghasilkan buku hasil penulisan sendiri.

Sebagai permulaan baru, berbekalkan pengalaman diri yang tidak seberapa,
saya akan kongsikan entri-entri yang dapat dijadikan panduan. Semoga pengalaman dan usaha saya untuk menjadi WAHD dan cabaran-cabaran yang saya hadapi ini dapat menjadi panduan bapa-bapa dan para ibu di luar sana yang bersedia menjadi WAHP ( ibu bapa yang bekerja dari rumah). Di harap perkongsian saya dapat menjadi pencetus semangat dan menjadi pelopor WAHD untuk kaum Adam di Malaysia khususnya.


Anda juga mungkin meminati