Wednesday, April 30, 2014

Ulasan Kelas Asas Blog

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sejajar dengan zaman berteknologi sekarang, ramai yang mengambil kesempatan untuk menggunakan media internet sebagai medium untuk berkomunikasi. Tidak kira sama ada untuk keperluan bersosial ataupun bekerja dan berniaga. Saya juga tidak terkecuali, setelah membulatkan azam dan bertekad untuk menjadi seorang usahawan internet, saya tidak boleh lari dari mengunakan internet sebagai medium pemasaran perniagaan saya.

Tetapi tanpa ilmu asas mengenai dunia maya ini, kadang-kadang membuatkan kita sukar mendapat liputan. Pada permulaannya saya hanya cuba-cuba dan menjadikan blog sebagai medium pemasaran perniagaan internet saya. Namun akhirnya blog saya menjadi blog syok sendiri di mana saya hanya menulis atau menampal salin (copy & paste) perkara yang baik buat saya sahaja hanya kerana mahu menarik trafik ke blog saya. Akhirnya kemaskini blog semakin tidak konsisten dan idea menulis juga semakin hilang. Anda boleh lihat blog lama saya di: http://b-tame.blogspot.com.

Akhirnya saya pun mengambil keputusan menyertai kelas asas blog yang dianjurkan oleh Akademi Bekerja Di Rumah.


Alhamdulillah selepas mendapat tunjuk ajar daripada guru online, Puan Norazizah Sudin, blog saya lebih tersusun. Anda bolehlah tengok perbezaannya di antara blog lama saya dan blog Diari WAHD ini sekarang. Saya memang amat berpuas hati dengan hasil yang saya perolehi daripada kelas asas blog ini.

Semenjak menyertai kelas, saya dapat menulis secara konsisten setiap hari dan idea menulis datang mencurah-curah. Ini kerana saya diajar dengan teknik yang betul untuk menulis. Sokongan dan bantuan juga disediakan setiap masa oleh guru bertugas. Malah pengasas ABDR , Puan Masayu Ahmad juga turut turun padang dan sama-sama mengajar. Sokongan ini berterusan sehingga sekarang, walaupun sudah beberapa bulan saya menyertai kelas asas blog tersebut.

Bukan itu sahaja, saya juga turut mendapat ebook percuma, belajar asas blog bagi membantu saya membuat ulang kaji apabila diperlukan. Waktu belajar juga adalah fleksibel. Saya belajar hanya pada masa lapang saya sahaja. Sebagai pendatang baru, saya juga mengalami kesukaran mendapatkan trafik ke blog saya. Tetapi apabila saya menyertai kelas asas blog ini, saya kemudiannya dapat menjadi ahli Akademi Bekerja Di Rumah. Kelebihannya dapat membantu mendatangkan trafik ke blog saya dengan bantuan gabungan lebih 600 blog. Malah saya juga turut berpeluang menjadi rakan niaga ABDR. Memang terbaik dan berbaloi untuk menyertai kelas ini.

Ini adalah contoh tips yang diberikan untuk memantapkan penulisan blog dan dapat menulis entri baru setiap hari:

Tips menulis konsisten: Menulis di fb, kemudian jadikan entri di blog.
Lakukan serentak dalam tempoh 10 minit setiap awal pagi/ Lakukan dengan laju ketika fikiran masih segar. Ini latihan menulis yang berkesan.
Jadikan post di fb, sebagai entri di blog, gabungkan
1. Sarimah Deeply Adzrina
Kegagalan hari ini tidak semestinya gagal selamanya, kerana kegagalan itu lah yg akan menjadikan kita cekal un
tuk berjaya, biar apa anggapan orrg pd kita, yg penting keikhlasan dan keyakinan diri yg tinggi harus ada dlm diri kita semua
2. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh n Salam Jumaat yg mulia ini kpd semua kwn2 kat FB, semoga semua tugasan dipermudahkan, dipjgkan umur, diberi kesihatan tubuh bdn yg sihat serta dimurahkan rezeki. Mulakan hari anda dgn penuh keyakinan serta semangat yg tinggi utk maju kehadapan wlu dlm apa jua keadaan. In Shaa Allah..allah swt maha mengetahui lg maha berkuasa terhadap semua umatnya. Amin 3 x
Sekarangkan gabungan dua post di atas, jadikan satu entri, kemudian tambah lagi tips berkaitan tajuk blog.
Mudah bukan.

Jadi untuk mereka yang nak menceburkan diri dalam perniagaan internet, memasarkan produk atau perkhidmatan melalui blogadalah digalakkan untuk menyertai kelas asas blog ini.

Anda juga berpeluang belajar menulis cara santai tapi masih mengekalkan bahasa melayu formal. Salah satu cara menarik minat pembaca dan melawat blog anda. Bina tapak awal memperkenalkan diri pada pembaca/bakal pelanggan. Teknik tulisan yang mempengaruhi pembaca supaya datang dan datang lagi. Bergabung dengan lebih ramai blogger di akademi kami, kini sudah mencecah 600 blog untuk membantu aliran trafik ke blog. Belajar mengetahui teknik yang betul, apa yang kita suka tulis dan cara konsisten untuk terus aktif menulis di blog. Bagi yang sudah ada blog, tapi masih tiada idea menulis dan tidak konsisten juga dialu-alukan untuk sertai kelas ini.

Mungkin ada yang berpendapat yuran RM 150 itu sedikit mahal, tetapi dengan apa yang bakal dipulangkan kepada anda memang berbaloi. Tahniah kepada pihak ABDR yang telah menyiapkan modul kelas asas blog & memberi peluang kepada pendatang baru menambah ilmu dan mempersiapkan diri. Tahniah juga kepada para pelajar yang telah menyertai kelas asas blog ini kerana anda pantas menyambar peluang terhidang. 

Jadi kalau ada yang masih tertanya-tanya kelas asas blog mana yang harus disertai, anda sudah temukan jawapannya di sini.

" Tak percaya tak apa, buat sahaja. insyaAllah ada hasil yang terbaik buat kita"

Monday, April 28, 2014

Panduan Terbang Bersama Anak Kecil


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kepada mereka yang mempunyai anak kecil, pastinya memahami kepenatan dan kesukaran untuk berjalan atau melancong bersama. Tambahan pula bagi mereka yang mempunyai bilangan anak kecil yang ramai. Saya juga tidak terkecuali. Ditambah pula faktor kerja yang menyebabkan saya terpaksa pergi ke sana dan ke sini. Saya pula jenis yang susah nak tinggalkan keluarga, jadi kebiasaannya saya akan usung sahaja semua ahli keluarga bersama.

Banyak perkara yang saya dan isteri pelajari sewaktu mengembara bersama-sama dengan anak-anak kecil kami. Apabila difikirkan, semuanya ada hikmahnya dan merupakan perkara yang menyeronokkan dan sukar dilupakan. Saya telah membuat kompilasi mengenai pengalaman menarik kami. Saya juga telah menyenaraikan beberapa tips yang kami pelajari yang mungkin dapat memudahkan para ibu bapa yang lain untuk membawa anak kecil mengembara, khususnya menaiki kapal terbang. InsyaAllah jika berpeluang saya akan mengedarkan e-book percuma mengenai kompilasi pengalaman saya dan isteri mengembara menaiki kapal terbang bersama anak-anak kami tidak berapa lama lagi.

Sebelum itu , saya ingin kongsikan, beberapa potongan menarik daripada kisah pengalaman kami itu bersama anda semua. 

PENGENALAN

Bagi saya perjalanan menaiki kapal terbang seorang diri pun sudah mencabar. Apatah lagi bila terpaksa menaiki kapal terbang bersama anak-anak kecil. Kerjaya sebagai seorang jurutera struktur di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota memerlukan saya banyak bertugas di luar kawasan. Semuanya bagi tujuan memantau dan menyelia perkembangan projek hak milik syarikat. Kadang-kadang tugasan di luar mengambil masa berminggu-minggu. Malahan ada yang memakan masa hingga bertahun. Terbaru penulis mendapat tugasan menyelia dan memantau projek hak milik syarikat di Indonesia.

Sebelum itu, penulis sudah berkahwin. Penulis berkahwin dengan pilihan hati, Siti Noor Arfah Binti Umar. Hasil perkahwinan, kami telah dikurniakan 3 orang cahaya mata lelaki. Ahmad Aasim, anak pertama kini sudahpun berusia 4 tahun. Manakala anak kembar, Faheem Hassan & Fahyeem Husin masing-masing berusia 2 tahun.

Mendidik dan membesarkan anak itu sendiri sudah merupakan satu cabaran, apatah pula bila mempunyai anak kembar. Pelbagai pengalaman yang kami perolehi sewaktu menaiki kapal terbang bersama anak-anak kecil kami. Pengalaman-pengalaman ini saya kongsikan bagi tujuan kemudahan dan pembelajaran kepada ibu bapa yang ingin menaiki kapal terbang bersama anak kecil mereka.

Berikut adalah 21 kisah paling menarik sewaktu kami menaiki kapal terbang bersama anak-anak kecil. Saya juga turut berkongsi beberapa tips yang boleh membantu anda bersedia untuk menaiki pesawat udara bersama anak kecil.

BABAK 1 – KOREA KAMI DATANG

Perjalanan Pergi

Pengalaman pertama menaiki kapal terbang adalah bersama anak sulung saya dahulu, Ahmad Aasim. Pada waktu itu usia Aasim baharu sekitar 6 atau tujuh bulan sahaja. Percutian ini sudah dirancang dari awal lagi, iaitu sewaktu selepas isteri saya melahirkan Aasim. Percutian pertama bersama ahli keluarga baru , memang mengujakan. Tambahan pula, percutian ke Korea ini juga sebagai hadiah percutian bulan madu buat isteri. Ini kerana kami tidak berkesempatan memiliki bulan madu yang terancang di awal perkahwinan kami dahulu.

Sungguh bertuah Ahmad Aasim. Pada usia 6 bulan sahaja sudah berpeluang menaiki kapal terbang. Saya sendiri menunggu sehingga berumur 23 tahun sebelum berpeluang menaiki penerbangan pertama saya. Itupun atas urusan rasmi syarikat tempat saya bekerja. Penerbangan ke Korea menggunakan khidmat syarikat penerbangan tambang murah terkenal, Air Asia. Kami mengambil peluang atas promosi yang dilakukan Air Asia untuk mendapatkan tiket yang lebih murah.

Sebagai ibu bapa, sudah tentu teruja untuk bercuti bersama ahli keluarga terbaru. Tambahan pula waktu itu, Korea masih lagi dalam musim sejuk. Kami merasa sungguh gembira kerana berpleuang membawa anak bermain salji. Persiapan pun telah dibuat sejak awal. Segala keperluan seperti baju sejuk juga telah dilakukan. Almaklumlah, disebabkan percutian bajet, bajetnya pun tidak sebesar mana. Kami hanya membeli baju sejuk 'bundle' sahaja. Untuk RM 50, dapat dua baju sejuk isteri dan 2 helai baju untuk anak. Sewaktu itu saya bekerja di pasir gudang, jadi beli di 'bundle' Pasaraya Today Kota Masai sahaja.

Hari yang ditunggu-tunggu sudahpun tiba. Segala persiapan pun sudah bibuat. Kami bertolak dari lapangan terbang LCCT. Penerbangan ke Korea ini mengambil masa kurang lebih 6 jam 30 minit. Apa yang dirisaukan ialah takut Aasim buat perangai. Almaklumlah sebelum pergi, kami suda membuat carian di internet, macam-macam cerita menakutkan. Ada kisah anak-anak kecil menjerit dan meraung disebakan sakit telinga kerana perbezaan tekanan udara.

Sewaktu penerbangan, saya, isteri dan anak dapat duduk sebaris dengan orang Korea. Kalau tak salah beliau ini merupakan pelajar pertukaran di Universiti Putra Malaysia. Sempat jugalah isteri saya berbual dan bertanya tempat menarik untuk dikunjungi di Korea.

Sewaktu itu , Aasim masih lagi menyusu badan. Jadi ada senjata la nak senyapkan dia sewaktu tepoh penerbangan. Terima kasih isteri. Sepanjang penerbangan pergi, Ahmad Aasim menghabiskana masa dengan tidur. Tidak banyak masalah yang dtimbulkan beliau. Saya hanya perlu meriba beliau untuk beberapa ketika sahaja. Malahan saya juga berpeluang untuk menonton filem.

Terima kasih sekali lagi kepada isteri yang lebih banyak menjaga Aasim sewaktu penrbangan pergi. Tapi itulah, bila anak sendiri dah diam, anak orang lain pula yang menggangu. Anak-anak warga Korea yang duduk di sebelah kami itu kerap dating ke barisan tempat duduk kami. Anak-anak warga Korea itu ditempatkan di kerusi barisan lain. Tapi sekejap-sekejap datang berdiri sebelah saya, tumpang menonton filem sekali. Geram jugalah, kalau sekadar mahu menumpang menonton saya masih boleh terima. Tetapi kalau sudah mula mengganggu dan mahu menonton filem yang digemarinya pula, sayapun mula hendak marah. Nasib baiklah emak beliau perasan. Sudahnya emak beliau bagi komputer riba, barulah beliau beredar dan kembali ke tempat duduk asal beliau. Alhamdulillah perjalanan pergi boleh dikatakan selesa, Aasim pula nyenyak tidur sahaja.

Perjalanan Pulang

Pesawat dijadualkan berlepas pada waktu malam. Kali ini kmai duduk sebaris dengan mat Salleh pula. Ingatkan kali ini waktu malam bolehlah tidur dalam pesawat. Tambahan pula dah penat berjalan di Korea dan penat mengangkut barang-barang. Tapi Aasim ada agenda beliau yang tersendiri. Beliau meragam, senjata khas isteri pun nampaknya tak berjaya nak senyapkan beliau. Kesian isteri, tersengguk–senguk dia menahan mengantuk sambil cuba menenangkan Aasim. Saya pula macam biasalah, banyak bersabar, sabar yang tak bergerak-gerak bila isteri kejutkan tolong jaga anak.

Akhirnya saya tolong jaga Aasim. Makin lama, makin kuat pula tangisan dia. Saya mulai cemas dan malu jugak. Masa tu dah tak kisah dah orang nak pandang serong ke, pandang tegak ke, yang penting nak bagi Aasim senyap. Masa tu rasa nak belasah dia pun ada juga. Rasa nak bagi Aasim dekat isteri saya balik pun ada, tapi tak sampai hati pula, tambahan pula beliau baru sahaja nak berehat.

Habis ikhtiar, akhirnya saya terpaksa bangun dan berdiri di ruang tengah dan dodoikan Aasim. Lama juga masa yang diambil sebelum Aasim tidur. Sekejap-sekejap kena dodoikan dia setiap kali dia terjaga. Masa tu ada jugalah menyesal sedikit kerana bawa Aasim sekali. Sesampainya di rumah kami di Kuala Lumpur, memang sepanjang hari tidur disebabkan kepenatan. Hebat sungguh penangan Aasim.

Diharap anda semua terhibur dengan perkongsian pengalaman saya ini. Nantikan kemunculan e-book saya ini ya - Alamak! Anakku beraksi di Udara.

Sunday, April 27, 2014

Tahu Tapi Tak Mahu - Rahsia Tahajud

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah bertemu lagi kita pada entri kali ini. Kali ini saya nak berkongsikan mengenai kelebihan bersolat tahajud. Alhamdulillah sebagai umat Islam, terlalu banyak senjata dan kelebihan kita yang dikurniakan oleh Allah. Oleh itu sama-samalah kita menggunakan kelebihan dan senjata yang telah dikurniakan itu. InsyaAllah banyak manfaat yang akan kita perolehi.


TAHAJUD (SOLAT MALAM)- DARI PERPEKSTIF PERUBATAN 

Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, kebiasaannya pada tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.
 
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam 
mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam, begitu juga beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini. 

TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD 

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray 
Meddis, seorang profesor di Jabatan Sains Kemanusiaan, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja. Waktu tidur boleh dibahagikan kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap (deep sleep). Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap. Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap. Mengikut kajian saintis Barat, tidur yang mencukupi ialah selama tiga jam. 

Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita 
tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari mereka akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian 
mereka ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan. 

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, sebelum kita merasa hendak tidur,
mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk ( drowsiness ). Pada waktu ini suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh melatih diri kita untuk tidur bila perlu. 

PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT 

Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan 
mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang. Apabila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab " The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep." 
Maksudnya "Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur."

"The heights by great men reached and kept were not attained by sudden 
fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night." - Longfellow

Maksudnya " Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak 
didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada 
waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. " Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka. 


Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur?

Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita. Ini dapat membantu kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. 

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita. Ini akan menyegarkan badan dan melancarkan pergerakan darah. Kedua-dua oksigen dan pergerakan otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga keesokan harinya. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak dapat merasai nikmat oksigen ini. 

Oleh itu marilah kita lakukan ibadat solat tahajud ini sebagai tambahan kepada amalan wajib. Banyak kebaikan yang akan kita dapat melaluinya.

Tak percaya tak apa, buat sahaja, InsyaAllah hasilnya akan tiba.

Saturday, April 26, 2014

10 Tips Melariskan Perniagaan Internet - Bahagian lima (Elakkan Menjadi Tamak Ilmu)

Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Dalam bahagian lima, 10 tips melariskan perniagaan internet ini, saya ingin berkongsi tentang elakkkan diri menjadi tamak ilmu.

Menuntut ilmu itu boleh, tetapi biarlah berasas dan melalui proses yang betul. Apabila dah belajar sesuatu ilmu, ilmu itu haruslah dipraktikkan. Dalam Islam juga asda menyebut supaya mengamalkan ilmu yang kita pelajari dan menyampaikan ilmu yang berguna tersebut kepada orang lain.

Masalah bagi orang baru seperti saya ini, ialah terlalu tamak nak menuntut dan memantapkan ilmu perniagaan internet. Tambahan pula kerana menyangka dengan mempersiapkan diri terlebih dahulu dengan membeli produk-produk perniagaan internet dapat membantu memajukan perniagaan yang diceburi. Belajar itu boleh, tetapi kalau terlalu asyik belajar tanpa diamalkan apa yang dipelajari, bagaimana pula hendak berjaya. Akhirnya unit setoran keras (hard disk) anda sahaja yang penuh dengan pelbagai ebook dan perisian (software) internet sahaja. 


Sama juga seperti saya, asyik teringin memantapkan ilmu dengan membeli pelbagai ebook yang hangat di pasaaran, tetapi yang betul-betul saya rujuk dan gunakan ilmunya hanyalah sedikit sahaja. Menurut saudara Derek GEHL , salah seorang pakar perniagaan internet terkenal di dunia, jangan ambil nota tetapi ambil tindakan. Ini kerana tindakan yang akan mendatangkan hasil dan keuntungan. 


Tetapi berhati-hati juga, bukan apa, kalau dah terlalu pantas mengambil tindakan juga boleh mendatangkan masalah. Apabila terlalu cepat nak meraih keuntungan, pelbagai teknik dan program pula akan dicuba pada satu-satu masa.

Disebabkan itu, ramai yang tidak dapat fokus kepada satu cara sahaja. Mereka terpengaruh dengan promosi yang mengatakan teknik – teknik tersebut berkesan. Ini menyebabkan mereka mahu mencuba dan terus mencuba tanpa menumpukan kepada satu teknik sahaja. Mereka mungkin bermula sebagai affiliate, tetapi terpengaruh pula dengan adsense kerana dengan hanya klik sahaja anda sudahpun mendapat wang. Jadi, mereka tinggalkan program affiliate sekerat jalan dan menyertai adsense. Belumpun sempat sukses dengan adsense, mereka teruja pula dengan kaedah menjual web di flippa.com. Maka, adsense ditinggalkan dan mula menumpukan kepada penjualan web. Keadaan begini berterusan, akhirnya, tiada hasil yang dicapai.

Sebaik – baiknya, fokuskan kepada satu teknik terlebih dahulu. Sebagai contoh, anda memilih affiliate sebagai teknik untuk menjana wang di internet. Maka, tumpukan sepenuhnya terhadap teknik affiliate seperti mendapatkan ebook – ebook berkenaan affiliate, menyertai seminar affiliate ataupun berguru secara langsung dengan pakar – pakar affiliate. Abaikan dahulu emel atau promosi yang anda terima tentang teknik lain. Teruskan mempelajari serta mempraktikan affiliate sehinggalah anda mencapai kejayaan yang anda impikan. Kemudian, barulah anda boleh beralih ke teknik lain dan lakukan perkara yang sama. Buat dan praktikkan sehingga berjaya sebelum mempelajari teknik yang baru.

Akhir kata, selamat maju jaya. Diharap perkongsian saya ini akan dapat menjana idea dan membantu anda meningkatkan jualan.

Tak percaya tak apa, buat sahaja. InsyaAllah ada hasilnya.



10 Tips Melariskan Perniagaan Internet - Bahagian empat (Membina Kredibiliti)


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entri 10 Tips melariskan perniagaan internet ini bersambung lagi, kali ini dalam bahagian ke empat, Membina kredibiliti atau kepercayaan.


Membina Kredibiliti

Perniagaan internet adalah perniagaan yang dilakukan secara maya, tidak perlu berjumpa secara langsung dengan pelanggan mahupun bersua muka. Oleh itu, segala urusniaga perlu dijalankan di atas dasar kepercayaan antara satu sama lain.

Tanpa kepercayaan, urusniaga pasti akan terjejas. Dan bagi membina kepercayaan, kredibiliti diri anda harus ditampilkan. Tambahan pula, semenjak kebelakangan ini terlalu banyak kes penipuan di internet. Kebanyakannya melalui melalui pelbagai skim cepat kaya ataupun skim pelaburan internet yang palsu. Disebabkan itu, para pelanggan sekarang sangat berhati – hati dan hanya membuat transaksi dengan peniaga yang mereka percaya dan kenal sahaja.

Jika anda tidak mempunyai kredibiliti, amatlah susah untuk anda meyakinkan para pelanggan anda. Oleh itu, sangat penting membina kredibiliti dan kepercayaan. Bagi pendatang baru seperti saya, amatlah penting untuk mendapatkan kepercayaan pembaca dan pelanggan sebelum saya boleh memperkenalkan sesuatu produk ataupun servis.



Bagi orang baru seperti saya dan anda, kita boleh mencuba beberapa kaedah mudah untuk membina kredibiliti:

i) Berikan informasi

Jika anda memiliki senarai prospek, janganlah berterusan menghantar emel promosi kepada mereka. Sebaliknya, banyakkan menghantar emel yang berinformasi seperti tips – tips perniagaan, informasi terkini perniagaan, kaedah – kaedah membina perniagaan ataupun selitkan kisah – kisah motivasi sebagai galakan. Dengan ini, anda akan dianggap sebagai sahabat yang membantu, bukannya jurujual yang ingin mengambil wang mereka.

ii) Berikan hadiah

Ini juga salah satu cara untuk mengeratkan hubungan anda dengan pelanggan anda. Anda boleh hadiahkan mereka ebook – ebook percuma, koleksi artikel berguna ataupun software – software yang menarik. Jika tidak, anda juga boleh berikan mereka kupon – kupon diskaun bagi produk anda . Konsep ini seperti konsep bercucuk tanam, semakin banyak benih yang ditabur, semakin banyak kemungkinan pokoknya tumbuh.

iii) Sediakan newsletter

Dengan menyediakan newsletter, anda akan kelihatan seperti seorang pakar didalam bidang anda. Didalam newsletter tersebut, anda boleh berikan tips, cerita motivasi dan sebagainya. Malah, boleh selitkan juga iklan mengenai produk anda.

iv) Aktif berforum

Forum adalah tempat dimana orang ramai berdiskusi tentang pelbagai topik. Anda juga boleh menyertainya, sama – sama memberikan cadangan, komen atau penyelesaian terhadap isu yang dibincangkan. Semakin kerap anda berforum dan memberikan komen yang bernas, semakin kredibiliti anda sebagai pakar bakal terserlah.

v) Usahasama (Joint Venture (JV))

Sebagai orang baru, tentu sukar meraih kepercayaan dari pelanggan. Tetapi jika anda JV dengan peniaga internet yang berpengalaman, ianya pasti akan menjadi mudah. Pada pandangan pelanggan, peniaga internet yang berpengalaman ini sudah pasti memilih dengan teliti rakan usahasama mereka. Pastinya sangka mereka, para peniaga internet ini memilih anda sebagai rakan usahasama kerana anda memiliki reputasi dan kredibiliti yang baik.

Ramai di antara usahawan internet yang gagal mendapat jualan kerana kredibiliti mereka diragui. Oleh itu, binalah kredibiliti anda mulai sekarang. 

Tak percaya tak apa, buat sahaja. insyaAllah akan datang hasilnya.

Friday, April 25, 2014

10 Tips Melariskan Perniagaan Internet - Bahagian tiga (Bagaimana Mewujudkan Senarai Prospek Yang Responsif)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya nak berkongsi tentang bagaimana nak mewujudkan senarai prospek yang responsif.

Dalam bahagian sebelum ini, saya ada menekankan pentingnya pembinaan list dalam memastikan kempen pemasaran anda berjalan baik. Saya juga ada menyatakan bahawa semakin banyak list yang anda miliki, semakin besar juga peluang untuk anda mendapat jualan.

Namun, semuanya itu bersyarat dan memerlukan anda untuk mengambil tindakan.

Ya, memiliki senarai prospek yang banyak merupakan satu kelebihan. Namun, kuasa membeli daripada senarai prospek yang anda miliki bukanlah bergantung semata – mata kepada kuantiti senarai prospek yang anda miliki.

Ianya bergantung kepada kepada KUALITI senarai prospek yang anda miliki.

Anda harus sedar, bahawa tidak semua yang 'subscribe' pada 'autoresponder' anda berminat dengan produk anda. Ada yang 'subscribe' hanya untuk mendapatkan produk percuma yang anda tawarkan sahaja dan langsung tiada minat untuk membeli. Dengan adanya senarai prospek sebegini, anda sebenarnya dalam kerugian dari segi masa, tenaga dan wang. Anda meluangkan banyak masa dengan menghantar emel – emel, memerah otak untuk mencipta ayat – ayat promosi. Anda juga harus membayar sewa untuk sistem 'autoresponder' anda setiap bulan. Namun belum tentu orang di dalam senarai prospek anda akan  memberikan respon positif.

Ini tentunya situasi yang anda ingin elakkan.

Bagaimana nak jadikan senarai prospek sebegini menjadi senarai prospek yang responsif dan berpotensi menjadi pelanggan anda?

Caranya, anda binalah satu hubungan yang baik terlebih dahulu dengan senarai prospek anda. Tanpa perhubungan yang baik, pasti tidak akan ada kepercayaan. Apabila tiada kepercayaan, bagaimana pembelian nak dilakukan?

Untuk membina hubungan yang baik dengan senarai prospek, anda harus selalu berkongsi dengan mereka sesuai dengan konsep LUA.

Anda harus banyak memberi terlebih dahulu sebelum menerima dari mereka. Apa yang harus anda berikan?

Anda haruslah berikan mereka informasi – informasi yang berguna, samada mengenai produk anda ataupun secara umumnya tips – tips yang berguna. Anda juga boleh berkongsi pengalaman anda dengan mereka dan mengajak mereka bersama – sama berbincang. Dengan ini, setiap emel yang anda hantar akan nampak bersifat peribadi dan ini amat membantu membina perhubungan yang baik. Ia juga akan menonjolkan kepakaran anda kepada mereka. Sudah tentu anda akan sering dirujuk apabila anda dianggap pakar.

Selain itu, anda boleh juga berikan secara percuma produk – produk yang berfaedah seperti ebook, laporan ataupun artikel – artikel untuk tujuan perkongsian.

Apabila anda sering memberi, anda tidak lagi kelihatan seperti seorang jurujual yang hanya tahu menjual tetapi anda akan dilihat sebagai seorang sahabat yang sering membantu. Maka, disini sudah wujud rasa percaya dan yakin akan siapa diri anda serta produk anda.

Jangan sesekali sentiasa menghantar emel promosi sahaja kerana senarai anda pasti tidak selesa apabila sentiasa didesak untuk membeli. Akhirnya, emel – emel yang anda hantar akan di[adamkan atau tak diendahkan sama sekali. Paling teruk, mereka akan lari daripada anda dengan klik pada butang 'unsubscribe'. Niatkanlah untuk membantu senarai prospek anda dan bersungguhlah-sungguhlah apabila berkongsi tentang sesuatu dengan mereka sama ada perkongsian motivasi ataupun kebaikan produk itu sendiri.


Tak percaya tak mengapa, buat sahaja. InsyaAllah ada hasilnya. 



Thursday, April 24, 2014

10 Tips Melariskan Perniagaan Internet - Bahagian dua (Bina senarai prospek)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kesinambaungan entri saya sebelum ini, 10 Tips Melariskan Perniagaan Internet. Kali ini saya nak kongsikan pula tentang kepentingan membina senarai prospek.

Bayangkan suatu hari anda menyertai satu pameran keusahawanan, dan anda diberi peluang untuk mempamerkan produk anda. Memandangkan produk anda agak baik, maka ramailah pelawat datang ke ruang pameran anda serta menyatakan minat mereka terhadap produk anda. Namun mereka masih belum mahu membeli disebabkan kekurangan wang ataupun mahu berfikir terlebih dahulu. Anda biarkan mereka berlalu sambil memberikan kad bisnes anda dengan harapan mereka akan menghubungi anda kemudian.

Sebulan berlalu, dan tiada seorang pun yang menghubungi anda bertanyakan semula mengenai produk yang pernah anda pamerkan. Dua bulan seterusnya anda masih juga tidak menerima panggilan dari pelawat yang pernah melawat pameran anda. Akhirnya anda kecewa dan semangat serta momentum anda terkubur begitu sahaja.

Anda harus faham, kadang kala apa yang anda promosikan boleh dilupakan kerana kesibukan aktiviti harian mereka dan tentunya ia bukan salah mereka 100%. Ini adalah kesilapan anda sendiri, kerana tidak meminta kad bisnes atau cara menghubungi mereka. Sekurang – kurangnya, jika anda memiliki kad bisnes mereka atau tahu bagaimana untuk menghubungi mereka, anda boleh melakukan 'follow up' dan menyampaikan informasi terkini mengenai produk anda. Dengan ini, anda mengingatkan mereka tentang anda dan produk anda.

Bayangkan anda memiliki 100 senarai pelanggan yang pernah berminat dengan produk anda, dan anda dapat menghubungi mereka serta melakukan follow up. Kebarangkalian sebahagian dari 100 pelanggan tersebut membeli produk anda sudah pasti ada. Walaupun seorang, ia tetap jualan berbanding jika anda langsung tidak melakukan sebarang 'follow up'.

Begitu juga dengan perniagaan internet. Kepentingan memiliki senarai prospek harus difikirkan secara serius. Di internet, kemungkinan beratus – ratus pelawat datang melayari laman web atau blog anda setiap hari. Adalah amat merugikan jika anda tidak mengambil alamat emel mereka dan menghubungi mereka kembali, mengingatkan mereka tentang tawaran anda.

Sebenarnya, adalah lebih mudah mendapatkan jualan dari pelanggan yang sedia ada berbanding dengan pelanggan baru kerana mereka sudah sedia maklum dengan khidmat pelanggan serta produk anda. Proses meyakinkan mereka juga tidaklah terlalu sukar berbanding meyakinkan pelanggan baru yang baru mahu mengenali anda. Seperti kita juga, jika kita sudah biasa dengan sesebuah kedai, kita juga akan selalu ke sana kerana kita senang berurusan dengan kedai tersebut.

Maka, sediakanlah satu borang opt in untuk para pelanggan anda meninggalkan alamat emel mereka. Sebagai balasan, anda boleh hadiahkan sesuatu seperti laporan percuma atau lebih baik lagi preview mengenai produk anda. Dengan cara ini, dengan mudah sahaja anda boleh menghubungi mereka kembali pada bila – bila masa.

Anda boleh gunakan khidmat 'autoresponder' untuk memudahkan penghantaran emel dan follow up anda. Jika anda belum mampu menyewa 'autoresponder' berbayar seperti 'GetResponse' atau 'Aweber', anda boleh menggunakan 'autoresponder' percuma seperti 'EasyAutores'. Apabila perniagaan anda sudah maju, maka anda bolehlah bertukar ke 'autoresponder' berbayar yang ternyata lebih baik.

Banyak perniagaan internet yang kurang maju ataupun gagal, disebabkan mereka mengambil mudah tentang perlunya memiliki senarai prospek sendiri. Ini menyebabkan mereka sentiasa mencari – cari pelanggan baru setiap hari dan tentunya ini memerlukan kos pengiklanan yang tinggi.


Bina dan kumpul senarai prospek anda sendiri, dan kempen promosi anda insyaAllah akan  bertukar menjadi lebih mudah. 

Tak percaya tak mengapa, buat sahaja.

Wednesday, April 23, 2014

10 Tips Melariskan Perniagaan Internet - Bahagian satu (elakkan salah pasaran)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah diberikan kesempatan sekali lagi untuk berkongsi serba sedikit ilmu pengetahuan yang cetek ini. Kali ini saya nak berkongsi mengenai 10 Tips yang saya yakin dapat membantu para newbie untuk bermula dan memantapkan lagi perniagaan internet anda.

Disebabkan artikel yang bakal saya kongsikan ini terlalu panjang, saya terpaksa membahagikannya kepada 10 bahagian untuk keselesaan semua. Dalam bahagian satu ini saya akan kongsikan mengenai elakkan salah produk  dan pasaran.

Menjual Sikat Kepada Orang Botak?

Ramai yang menganggap bahawa mereka boleh menjual apa sahaja di internet kerana percaya laman web mereka bakal dilawati oleh jutaan orang. Sangak mereka, sudah pasti sebahagian dari pelawat tersebut akan membuat pembelian. Jika semudah itu, pasti semua usahawan internet sudahpun menjadi menjadi jutawan dengan segera.

Hakikatnya, tidak semudah itu. Kecualilah anda mempromosikan laman web anda secara agresif dan mungkin melaburkan sejumlah wang untuk menampung kos pengiklanan. Itupun hanya untuk menggalakkan pengunjung melawat laman web ataupun blog anda. Tetapi ini belum tentu akan membuatkan mereka membeli produk yang anda jual.

Ramai pelawat tidak bermakna ramai pembeli. Ini disebabkan ada di antara pelawat ini mahu mmbuat perbandingan harga dan mendapatkan lebih informasi mengenai produk yang anda jual sahaja. Yang penting ialah, anda harus faham bahawa tidak semua orang memerlukan produk anda. Jika anda terus mempromosikan laman web anda kepada mereka yang tidak memerlukan produk anda, sudah tentu anda hanya membuang masa (kemungkinan wang anda juga).

Sedarkah kita selama ini bahawa kita sedang melakukan proses yang terbalik? Seharusnya kita terlebih dahulu mencari permintaan dan pasaran sebelum memilih produk untuk dipasarkan. Ya, kita harus tahu siapakah yang akan memerlukan produk kita. Tetapi kebanyakan kita menghasilkan produk terlebih dahulu sebelum mencari pasaran. Ini proses yang terbalik dan ia menyebabkan kita mempromosikan produk secara rambang tanpa ada sasaran khas.

Sebagai contoh, bolehkah anda menjual sikat kepada orang yang berkepala botak?

Itulah sebabnya kenapa ada sesetengah produk yang dianggap baik, masih tidak mendapat jualan yang tinggi. Sebagai contoh diatas, walaupun sikat anda diperbuat dari besi waja sekalipun, ia tetap tidak bermakna kepada mereka yang botak. Sebabnya ialah, mereka tiada rambut untuk disikat. Tetapi, bagaimana pula jika anda menjual ubat untuk melebatkan rambut? Pasti keputusannya berbeza bukan?

Ramai usahawan yang gagal mengenalpasti sasaran bagi produk mereka. Ini menyebabkan produk mereka tidak mendapat jualan yang tinggi dan akhirnya memusnahkan perniagaan mereka.

Oleh sebab itu, anda harus mengkaji sebaik mungkin permintaan pasaran dan mengenalpasti golongan sasaran anda. Dengan itu, anda akan dapat menghasilkan produk yang memenuhi permintaan dan mensasarkannya secara tepat kepada mereka yang memerlukan.  

Mengenali sasaran prospek anda juga penting untuk memastikan komunikasi anda dengan mereka sesuai mengikut tahap umur, pekerjaan, lokasi dan latar belakang. Sebagai contoh, cara berkomunikasi anda dengan seorang pelajar berbeza dengan seorang yang sudah lebih tua. Tanpa komunikasi yang baik, apa yang anda ingin sampaikan mungkin tidak jelas dan menjejaskan jualan anda.

Ingatlah salah satu kunci kejayaan dalam pemasaran produk ialah keupayaan anda untuk memenuhi permintaan dan mengenalpasti golongan sasaran anda.

Tidak percaya, tidak mengapa, buat sahaja. InsyaAllah ada hasilnya nanti.

Monday, April 21, 2014

Tahu Tapi Tak Mahu - Rahsia Dhuha

Alhamdulillah dan salam sejahtera. Diharapkan perkongsian-perkongsian sebelum ini berjaya membantu anda dalam apa jua yang anda ceburi. Kali ini saya nak berkongsi tentang kebaikan solat sunat Dhuha dan rahsianya. Saya yakin, ramai di antara anda yang dah tahu, tetapi susah untuk menunaikan solat sunat Dhuha ini, termasuklah saya sendiri. Sangat banyak kebaikan solat sunat Dhuha ini. Dulu sewaktu di universiti, memang kumpulan usrah saya selalu berpesan untuk menunaikan solat sunat Dhuha ini. Tetapi saya malas dan tidak ikhlas. Saya hanya melakukan solat dhuha ini bila berada di dalam kumpulan usrah ini sahaja.
Alhamdulillah masih belum terlambat untuk saya. Apabila saya mengetahui kepentingan solat dhuha ini, saya sudah boleh melakukannya tanpa disuruh. Mengikut kajian yang saya lakukan terhadap individu yang berjaya dalam perniagaan yang saya kenali, hampir semua persamaannya ialah mereka ini menunaikan solat dhuha secara konsisten setiap hari. Selain itu mereka juga rajin berusaha, tidak pernah jemu untuk bersyukur dan selalu meinta dari Allah di samping selalu memuji kebesaran Allah.
Solat sunat Dhuha ini adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi iaitu 27 minit selepas terbit matahari dan tamat waktunya sebelum tergelincir matahari. Bilangan rakaatnya paling kurang dua rakaat dan maksimumnya 12 rakaat. 
Pada rakaat pertama boleh dibaca surah ad-Dhuha, manakala rakaat kedua boleh dibaca surah al-Ikhlas. Masa yang diambil untuk menunaikannya cuma tiga minit, sangat pendek masanya berbanding keberkatan yang Allah berikan kepada kita untuk sepanjang hari kehidupan. 
Ternyata solat sunat Dhuha dilakukan pada awal pagi sebelum memulakan kerja dan bagi kebanyakan orang ia solat sunat sebelum bergerak untuk mencari rezeki. Jadi, banyak keberkatannya sebelum kita memulakan kerja, dimulakan dengan solat ini. 




Biasanya kita akan memulakan hari dengan semangat tinggi dan membara untuk mencapai matlamat dalam pekerjaan atau pelajaran. 

Jika pada saat itu kita mengingati Allah SWT, kemudian tunaikan solat Dhuha dengan hati yang tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT, Insya-Allah akan dilimpahkan pelbagai kurnia serta kasih sayang oleh Allah. 

Memandangkan waktu Dhuha bersamaan dengan bermulanya pelbagai aktiviti harian, amat tepat jika solat sunat Dhuha dilihat satu cara melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT. 

Ketika kebanyakan orang terlalu sibuk pada waktu pagi, secara tidak langsung solat sunat Dhuha akan mampu membangkitkan kesedaran perlunya memohon kepada Allah SWT dan meminta petunjuk-Nya supaya apa saja yang dilakukan berada pada jalan yang diredai. 
Jika seseorang pernah melakukan ibadat solat sunat Dhuha tentu akan merasai kesannya yang luar biasa. Meskipun baru sekali atau bahkan hanya sekali melakukannya dalam seumur hidup, tetap mendapat ganjaran. 

Sekecil mana amalan yang kita lakukan, Allah SWT akan membalasnya. Begitu juga dengan solat Dhuha, walaupun kita pernah melakukannya sekali seumur hidup tetap mendapat hikmah yang besar daripada Allah SWT. 

Banyak sekali keajaiban dan hikmah yang akan dirasai seseorang ketika melakukan solat sunat Dhuha, apatah lagi jika dilakukan secara berterusan dan penuh kesabaran tinggi serta hanya mengharap keredaan Allah SWT. 

Antara manfaat dan keajaiban solat sunat Dhuha ialah dijauhkan daripada kemiskinan. Semua ini bukan khayalan, kerana sudah ramai orang melakukannya dan mampu merasakan hikmah yang besar dalam kehidupannya. 

Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali kamu malas melakukan empat rakaat solat Dhuha, kerana dengan solat itu, Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya." (Riwayat Hakim dan Tabrani) 

Solat sunat Dhuha juga dapat menghapuskan dosa. Rasulullah SAW bersabda: 
"Sesiapa yang masih berdiam diri di masjid atau tempat solatnya setelah solat Subuh kerana melakukan iktikaf, berzikir, dan melakukan dua rakaat solat Dhuha disertai tidak berkata sesuatu kecuali kebaikan, maka dosanya akan diampuni meskipun banyaknya melebihi buih di lautan." (Riwayat Abu Daud) 

Antara lain solat Dhuha juga dapat menghindarkan diri daripada azab api neraka di hari Kiamat. Bagi orang yang menjadikan solat sunat Dhuha sebagai rutin hariannya, maka Allah akan membalasnya dengan balasan syurga. 

Rasulullah SAW bersabda: "Di dalam syurga terdapat pintu yang bernama bab Ad Dhuha (Pintu Dhuha), dan pada Hari Kiamat nanti, ada orang yang memanggil di mana orang yang sentiasa menunaikan solat Dhuha? Ini pintu kamu, masuklah dengan kasih sayang Allah." 

Justeru amat rugi orang yang dengan sengaja meninggalkan solat sunat Dhuha, padahal mereka sebenarnya mampu dan ada masa untuk melaksanakannya kerana mereka yang menunaikan solat sunat Dhuha akan mendapat balasan dan keuntungan amat besar. Berusaha semoga kita tetap melakukan ibadat sunat ini.
Solat sunat Dhuha ini umpama senjata sulit untuk menjemput rezeki. Ingatlah bila bercakap tentang rezeki ini, ianya bukan datang dalam bentuk wang ringgit dan kekayaan sahaja. kehidupan yang bahagia, akhlak yang baik, kesihatan yang baik dan sebagainya juga merupakan satu bentuk rezeki. Selalulah kita hargai dan sentiasalah bersyukur dengan setiap nikmat yang kita perolehi tidak kira banyak ataupun sikit.

Jadi apabila dah tahu kelebihan solat sunat Dhuha ini, rugilah kalau anda tak buat. InsyaAllah sama-sama kita tunaikan solat sunat Dhuha setiap hari secara konsisten. 

Hadiah Percuma

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan untuk bersama-sama dengan anda, pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Sedar tak sedar, sudah hampir sebulan sejak blog Diari WAHD ini bersiaran. Sebagai perasmian blog ataupun 'house warming', saya dengan berbesar hatinya melalui blog WAHD nak memberikan hadiah kepada para pembaca yang bertuah. Tetapi sebelum itu saya nak minta anda semua buat sesuatu sebelum saya nak beri hadiah tersebut kepada anda.

Apa? Anda dah tak berminat dah sebab ada perkataan tapi dan nak kena buat sesuatu tu? Harap bersabar ya, sebab mudah sahaja perkara yang saya nak minta anda tolong lakukan. Sebelum itu saya nak ceritakan apa hadiah yang saya nak berikan secara percuma ini.

Pada entri terdahulu, saya ada buat sedikit pengenalan mengenai buku Law of Universal Attraction (LUA).


Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan buku yang cukup berkualiti ini dan saya nak berikan buku ini. Yang lebih menariknya lagi, buku yang saya nak beri ini siap mempunyai tanda tangan asli penulisnya, saudara Ateh Zuhairi. Jadi jangan lepaskan peluang ya, saya ada 4 nashkah sahaja untuk saya berikan kepada anda.

Betul, harga buku ini cuma RM 14 ringgit sahaja. Saya pasti ada di antara anda yang merasakan tidak berbaloi untuk berusaha sekadar untuk mendapatkan sebuah buku yang bernilai RM 14. Baik pergi beli sahaja di kedai buku yang berdekatan. Tetapi pada saya, ilmu yang dikongsikan oleh buku ini sangat bermanfaat dan sangat besar nilainya. Jadi kalau ada diantara anda yang masih tak berapa nak percaya tu tidak mengapa. Pesan saya, tak percaya tak apa, anda buat sahaja.

Paling tidak ada di antara anda yang sudah mengenali buku LUA ini kan? Betul tak?  ada manfaatnya bukan?

Jadi ini yang anda harus lakukan untuk mendapatkan hadiah yang saya nak berikan. Peraduan ini dibuka sepanjang tempoh satu bulan sahaja bermula 21 April 2014 jam 12 tengah hari sehingga 21 Mei 2014 jam 12 tengah hari.

1. Dapatkan 'Like' paling banyak untuk fanpage Diari WAHD. Sila sertakan bukti untuk saya buat kiraan. Untuk hadiah sagu hati, saya akan 'like' fanpage blog yang mengambil bahagian beserta tuan punya blog yang'like' saya. Siapa yang paling banyak dpatkan 'like' untuk Diari WAHD akan dapat satu nashkah buku LUA.

2. Jemput kenalan anda ke blog Diari WAHD. Siapa yang dapat menjemput paling ramai trafik ke blog saya, saya akan berikan satu nashkah buku LUA. Untuk hadiah sagu hati, saya akan berikan satu nashkah asal sebelum diedit ebook 60 jam sehari yang dikarang oleh saya sendiri.


3. Buat ulasan atau review mengenai blog Diari WAHD. Ulasan atau review yang paling kreatif akan mendapat satu buah nashkah buku LUA. Hadiah saguhatinya pula, saya akan berikan ulasan untuk setiap blog yang membuat ulasan di blog saya.

4. Tulis 99 matlamat hidup anda dan 9 matlamat untuk anda capai dalam 2014 dalam vision board. Tak tahu macam mana nak buat? Saya akan tunjukkan pada entri seterusnya di blog Diari WAHD. Penyertaan yang paling kreatif akan meneriama satu nashkah buku LUA dan juga sebuah netbook ACER Eepc terpakai daripada saya.


Anda bolehlah hebah-hebahkan mengenai peraduan ini dan menjemput lebih ramai orang menyertai peraduan ini. Anda boleh pilih mana-mana cara untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Anda boleh menyertai mana-mana kategori. Kalau anda nak menyertai smeua pun boleh, manalah tahu, mungkin anda boleh menang semua hadiah tersebut =).

Jadi ingat pesan saya tadi, kalau tak percaya tak apa, yang penting buat sahaja. InsyaAllah, sama-sama kita mendapat manfaat dari peraduan yang dianjurkan ini.

Anda juga mungkin meminati