BIODATA PENULIS BLOG

Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Alhamdulillah diberikan kesempatan untuk memulakan blog Diari WAHD ini. Semoga perkongsian di dalam blog ini dapat menyumbang ilmu bermanfaat kepada para pembaca khususnya para bapa-bapa yang ingin bekerja dari rumah secara sepenuh masa.

Nama penuh saya ialah Ahmad Shahrin Bin Mohamad Anuar. Dilahirkan pada 13 November 1982. Mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah rendah sekitar negeri Perak. Seterusnya menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin (SMTSSS) atau lebih dikenali sebagai 'soksek' di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak dalam bidang kejuteraan awam.

Setelah menamatkan pengajian peringkat universiti, saya telah ditawarkan untuk menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang kajian kejuteraan bahan konkrit. Namun saya terpaksa menolak kerana pada masa yang sama telah ditawarkan peluang pekerjaan oleh sebuah syarikat gergasi di ibu kota. Pada 1 Jun 2005 saya telah memulakan karier saya sebagai jurutera struktur.

Bidang kerja dan tanggungjawab sebagai seorang jurutera struktur memerlukan saya menyelia dan mengurus projek-projek di luar pejabat. Kadang-kadang hingga berbulan-bulan hinggakan bertahun perlu bekerja di luar pejabat. Sewaktu masih bujang, perkara ini tidak menjadi masalah malahan menjadi kebiasaan.

Saya telah mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati saya pada 12 Jun 2009. Isteri saya, Siti Noor Arfah Binti Umar merupakan seorang WAHM (ibu yang bekerja di rumah) sepenuh masa. Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam jurusan 'Technopreneurship'. Hasil usia 5 tahun perkahwinan kami, kami telah dikurniakan dengan 3 orang anak lelaki.


Anak yang sulung, Ahmad Aasim bakal berusia 4 tahun pada Jun 2014. Manakala anak kedua dan ketiga, Faheem Hassan & Fahyeem Husin masing-masing sudah berusia 2 tahun pada Februari 2014.

Saya mengambil langkah berani dengan menjadi ahli lelaki di dalam ABDR yang hampir 99.9 peratus ahlinya adalah kaum wanita. Namun itu bukanlah penghalang bagi saya memantapkan ilmu penulisan yang masih amat baru bagi saya. Terima kasih kepada Puan Norazizah Sudin dan Puan Masayu Ahmad yang sudi menerima  kehadiran saya dalam ABDR dan sanggup memberikan tunjuk ajar.

Saya berharap dapat membantu mereka yang memerlukan melalui tertubuhnya blog Diari WAHD ini.
Semoga sama-sama kita dapat saling bantu-membantu dan bertukar-tukar buah fikiran. 

Sebagai permulaan baru, berbekalkan pengalaman diri yang tidak seberapa, saya akan kongsikan entri-entri yang dapat dijadikan panduan. Semoga pengalaman dan usaha saya untuk menjadi WAHD dan cabaran-cabaran yang saya hadapi ini dapat menjadi panduan bapa-bapa dan para ibu di luar sana yang bersedia menjadi WAHP ( ibu bapa yang bekerja dari rumah). Di harap perkongsian saya dapat menjadi pencetus semangat dan menjadi pelopor WAHD untuk kaum Adam di Malaysia khususnya.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati