Sunday, April 20, 2014

Law Of Universal Attraction (LUA) Magnet Kebahagian

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Panduan mendidik anak-anak oleh Dato' Dr Haji Fadzillah Kamsah selalu menyebut supaya jangan menegur anak atau memarahi anak dengan perkataan negatif. Ini kerana percakapan kita ini bapa adalah doa. Sebagai contoh apabila anak mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan di dalam peperiksaan, kebanyakan ibu bapa pasti akan memarahi anak mereka dengan skrip " Kamu ini memang pemalas,suruh belajar kamu tidak mahu" dan sebagainya. Tahu tak anda bila anda bercakap begitu, itu umpama doa yang meminta anak anda terus menerus menjadi pemalas.

Sebenarnya itu dipanggil Law of Universal Attraction. Kalau dah selalu sangat aberfikiran negatif dan menyebut benda negatif, maka kita akan menarik dan meminta benda yang negatif terjadi kepada kita. Saya bagi contoh, satu peristiwa kecil yang berlaku kepada diri saya sendiri pada minggu lepas. Saya pergi ke pejabat dengan menaiki kereta. Disebabkan terpaksa memandu kerana terpaksa pergi ke beberapa lokasi yang agak jauh dariada pejabat, saya telah keluar awal. Alhamdulillah, saya mendapat parkir yang dekat dengan pintu masuk ke bagnunan pejabat saya. Pada waktu tengah hari, saya pun keluar dengan menaiki kereta untuk menyelesaikan beberapa urusan pekerjaan. Setelah selesai, saya harus pulang ke pejabat semula, kerana ada mesyuarat dan perbincangan yang harus saya hadiri pada waktu petang itu pula. Dalam perjalanan pulang semula ke pejabat, berkali-kali saya katakan pada diri sendiri, saya hendak parkir semula di tempat parkir yang sama seperti pagi tadi. Anda nak tahu apa yang berlaku? Saya telah berjaya mendapat tempat parkir yang sama seperti waktu pagi itu.

Sebelum ini saya hanya menyangkakan itu hanyalah suatu kebetulan. Tetapi apabila saya menghadiri suatu program yang telah ditaja oleh isteri saya sepenuhnya (terima kasih www.arfahumar.com) barulah saya sedar apa yang saya alami itu merupaan satu bentuk LUA.

Sehubungan dengan itu, saya amatlah menyarankan agar anda juga dapat pergi ke seminar Neuro Linguistic Programming (NLP). Anda boleh buat carian di internet untuk keterangan lanjut. Ataupun paling tidak anda kena memiliki buku ini:


Buku ini hanya beharga RM 14 sahaja. Buat pengetahuan anda, saya mempromosikan program NLP dan buku LUA ini sebagai tujuan untuk berkongsi ilmu sahaja =). Untuk jumlah RM 14, saya yakin pelaburan anda akan sangat berbaloi.

Sekiranya anda membaca buku ini, InsyaAllah anda akan memahami dengan lebih baik konsep LUA dan kepentingan bersangka baik kepada Allah. Sesuai untuk semua golongan. Bagi orang baru dalam dunia perniagaan seperti saya, buku dan program ini adalah sangat-sangat berguna. Ini membolehkan kita memahami bahawa kita harus memulakan sesuatu dengan niat tidak lain dan tidak bukan hanya kerana Allah. Jadi kalau nak jadi jutawan, InsyaAllah kita akan jadi jutawan yang beriman dan bertakwa. Kalau nak kaya, niatkanlah kaya kerana Allah s.w.t

Jangan terlepas peluang untuk memiliki buku terbitan PTS ini ya.

Friday, April 18, 2014

Macam mana hendak memilih produk perniagaan internet?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sekarang ini terdapat macam iklan mengenai peluang bekerja dari rumah. Pelbagai lambakan produk dan servis yang ditawarkan sama ada offline atau online yang anda boleh cuba. Produk-produk dan servis yang ditawarkan untuk membantu anda memulakan bisnes perniagaan dari rumah ini pula mempunya variasi harga yang tersendiri. Anda boleh mendapatkannya secara percuma hinggalah pada harga ratusan dan ribuan ringgit, bergantung kepada apa yang ditawarkan oleh servis atau produk tersebut.

Kepada pendatang baru yang mahu mencuba, pastinya lambakan produk dan servis yang ditawarkan itu menyebabkan mereka sukar untuk memilih. Masakan tidak, hampir semua produk dan servis itu semuanya laris terjual bagaikan pisang goreng panas. Promosi-promosi dan iklan yang hebat juga sangat meyakinkan untuk mencuba produk dan servis yang ditawarkan. 

Mengikut pengalaman saya yang tidak seberapa ini, produk dan servis yang ditawarkan ini boleh dibahagikan kepada dua kategori asas iaitu process (proses) dan content (kandungan). Saya telah menyenaraikan secara ringkas mengenai perbezaan dua kategori ini.

Proses

1. Kebiasaanya produk dan servis di dalam kategori ini hanya menyediakan info atau langkah-langkah asas di dalam niche yang mereka tawarkan.
2. Produk dan servis dalam kategori ini adalah bersifat umum dan tidak unik. Sebagai contoh, ebook yang menawarkan teknik menarik trafik ke blog; kandungannya pasti merangkumi emel autoresponder, kemaskini blog setiap hari, SEO dan sebagainya. Maksudnya hampir semua produk dan servis di dalam niche itu akan mempunyai kandungan yang sama. Cuma variasi penulisan merekalah yang akan menarik minat pembaca untuk membelinya.
3. Kebiasaannya harga produk dan servis ini lebih murah dan banyak yang boleh didapati di bawah harga RM 50.
4. Produk ini hanya memperlengkapkan anda dengan perkara asas sahaja, untuk info yang lebih lanjut, anda harus belajar sendiri atau membeli produk lain yang ditawarkan sebagai tambahan kepada produk tersebut.


Kandungan

1. Kebiasaannya produk dan servis di dalam kategori ini menyediakan langkah terperinci satu persatu bagi membantu anda untuk memahami bidang niche yang ditawarkan.
2. Kebanyakannya berbentuk program latihan, tutorial ataupun laman web keahlian.
3. Bayarannya pula kebanyakannya lebih mahal, dalam lingkungan RM 150 ke atas.
4. Kebiasaanya teknik ini dicipta melalui pengalaman usahawan yang sudah berjaya itu sendiri. Kemudiannya mereka menawarkan teknik ini kepada orang lain yang ingin mengikuti program mereka. Ini bersesuaian dengan konsep 'don't reinvent the wheel' atau jangan mencipta kembali roda. Maksudnya jangan cipta sistem baru, guna sahaja sistem yang memang sudah terbukti berjaya.


Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Jadi pilihlah produk yang anda rasa sesuai dan terbaik untuk anda. Untuk permulaan, dinasihatkan carilah produk dan servis yang tidak memerlukan anda mengeluarkan perbelanjaan yang terlalu besar. Kerana kadang-kadang anda juga harus cuba dahulu sesuatu produk dan servis sebelum mengetahui ianya akan berjaya atau tidak. Di harap perkongsian info kali ini akan dapat membantu anda membuat pilihan.




Thursday, April 17, 2014

Bekerja Dari Rumah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebut sahaja tentang perniagaan internet dan bekerja dari rumah, ramai yang buka mata sekarang. Cuba kita bercerita mengenai perkara ini 10 tahun yang lalu. Saya pasti ramai di antara kita termasuklah saya sendiri tidak akan ambil peduli mengenai perkara ini.

Cuba anda ceritakan kepada ibu bapa atau mak cik dan pak cik anda bahawa anda mahu berhenti kerja dan mahu bekerja atau melakukan bisnes dari rumah. Apa reaksi mereka? Pastinya agak negatif bukan. Kenapa rata-rata golongan terdahulu sebelum anda tidak dapat menerima konsep bekerja dari rumah?

1. Masyarakat terdahulu telah dibesarkan di dalam persekitaran dan kebudayaan kerja pejabat. Ini kerana reputasi pekerjaan dan gaji yang ditawarkan lebih tinggi dari hanya kerja di rumah. Tidak kiralah kerja kerajaan ataupun swasta.

2. Rata-rata keturunan keluarga bekerja di pejabat. Misalnya dari moyang hingga ke ayah dan ibu semuanya merupakan seorang guru, jadi anda juga akan dibesarkan untuk menjadi seorang guru.

3. Faktor kewangan dan kestabilan ekonomi. Apabila anda memiliki pekerjaan bergaji maka pendapatan anda terjamin. Berbeza dengan kerja sendiri, pendapatan anda bergantung pada hasil jualan produk atau servis yang anda tawarkan.

Golongan sekarang pula lebih menerima konsep ini kerana telah lebih terbuka dan mengetahui pelbagai peluang tersedia jika mengambil peluang untuk bekerja dari rumah. Pelbagai lambakan produk dan servis yang ditawarkan sama ada offline atau online yang anda boleh cuba.

Produk-produk dan servis yang ditawarkan untuk membantu anda memulakan bisnes perniagaan dari rumah ini pula mempunya variasi harga yang tersendiri. Anda boleh mendapatkannya secara percuma hinggalah pada harga ratusan dan ribuan ringggit, bergantung kepada apa yang ditawarkan servis atau produk tersebut.

Kenapa ramai generasi sekarang mahu berhenti kerja dan bekerja dari rumah? Saya percaya masing-masing mempunyai sebab tersendiri. Beberapa sebabnya telah saya senaraikan di dalam entri saya yang terdahulu. 

Baru-baru ini  ada seorang teman memberitahu saya mengenai satu tinjauan yang dilakukan di organisasi tempat beliau bekerja. Tinjauan itu mengenai cara-cara untuk memastikan pekerja cemerlang di organisasi tidak meletakkan jawatan. Empat pilihan telah diberi dan para peserta diminta memberikan mata mengikut susunan keutamaan. Berikut ialah 4 pilihan tersebut.  

i) Kenaikan gaji yang lebih kompetitif
ii) Sistem kenaikan gred yang lebih tersusun
iii) Sistem penilaian prestasi pekerja yang lebih rinkas dan mudah
iv) Keseimbangan kerja dan kehidupan.

Apakah jawapan anda? Yang manakah yang paling utama? Saya pasti ramai di antara pembaca yang memberi susunan keutamaan sama seperti saya iaitu: i, ii,iii dan iv.

Tinggal di ibu kota ini pastinya wang menjadi keutamaan kerana taraf kehidupan yang tinggi dan perbelanjaan yang mahal. Namun hasil keputusan tinjauan itu sangat berbeza iaitu iv,iii,ii dan i.

Pada mulanya saya agak terkejut mendengar keputusan tinjauan itu. Namun bila difikirkan memang tepat sekali keputusan itu. Keseimbangan kerja dan kehidupan adalah sangat penting. Anda mungkin mempunyai kerjaya yang hebat. Tetapi belum tentu anda mempunyai kehidupan yang hebat. 

Jadi sekiranya anda juga mahu bekerja dari rumah, jangan lupa bahawa keseimbangan kerja dan kehidupan itu penting. Kerja adalah satu keperluan dan bukannya satu bentuk gaya hidupan. Jadi kalau anda rasa sudah terlalu tertekan dengan pekerjaan sekarang, mungkin boleh menimbangkan pilihan untuk bekerja dari rumah. Apapun jangan membuat keputusan terburu-buru. Walau apapun keputusan anda , ingatlah akan kepentingan keseimbangan kerja dan kehidupan.

Sehari ada 60 jam sebenarnya

Assalamualaikum dan salam salam sejahtera. Untuk bertapak dalam dunia bekerja dari rumah ini bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya bagi mereka yang sudah berkerjaya.  Urusan pekerjaan di pejabat sahaja sudah memakan masa hampir separuh hari, tidak dikira masa perjalanan pergi dan pulang kerja lagi. Balik ke rumah harus melayan kerenah anak-anak dan meluangkan masa bersama keluarga pula. Bila anak-anak tidur barulah mahu mencuri masa untuk melakukan kerja-kerja rumah dan juga perniagaan dari rumah. Sesudah itu barulah dapat peluang untuk berehat. Apabila bangun pagi kemudiannya, harus menyiapkan diri dan anak-anak untuk menghadapi aktiviti selanjutnya pula. Saya kira itulah aktiviti rutin yang dihadapi bakal WAHM dan WAHD.

Sungguh hebat dan mengagumkan sebenarnya jika anda mampu meneruskan rutin ini setiap hari. Mana tidaknya, anda cuma diperuntukkan 24 jam sahaja sehari untuk melakukan semua itu. Tetapi terkadang sedikit hairan melihat ada di antara kenalan saya yang mampu melakukan seribu satu perkara di dalam masa 24 jam itu.

Teringat kisah yang diceritakan oleh isteri saya. Isteri saya ini terlibat dengan bisnes Shaklee. Jangan risau, saya bukan mahu mempromosikan barangan Shaklee. Sebelum itu saya mahu ceritakan sedikit sahaja mengenai Shaklee, bagi tujuan untuk anda lebih memahami kisah yang ingin saya kongsikan ini. Bisnes Shaklee ini terbahagi kepada beberapa peringkat ahli. Ahli biasa, supervisor, coordinator dan master. Maklumlah bisnes Shaklee ini makin berkembang dan maju. Jadi banyak upline yang membina kumpulan masing-masing.

Alhamdulillah isteri saya mempunyai kumpulan yang bagus. Upline beliau menjadi mentor yang sangat bagus dari segi perniagaan dan juga rohani. Upline beliau selalu mengadakan sesi latihan, perbincangan dan sesi mengajar bagi memantapkan teknik berniaga downline mereka.
Pada suatu sesi latihan dan muhasabah diri, seperti diberitahu isteri, mereka dikehendaki menyenaraikan kelemahan dan kekuatan diri mereka dalam menjalankan bisnes Shaklee ini. Pada yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka juga diminta untuk menyenaraikan sebab mengapa mereka masih tidak berjaya.

Pelbagai jawapan yang diberikan para downline. Rata-rata mereka menjawab mereka tidak mempunyai masa yang cukup. Mereka juga menjelaskan susah untuk melakukan pelbagai kerja termasuk menguruskan anak-anak kerana mereka masih mempunyai kerjaya.

Senang sahaja jawapan upline mereka. Betul, memang awak semua tidak cukup masa kerana awak hanya diberikan 24 jam sehari. Berbeza dengan master-master seperti kami yang mempunyai 60 jam sehari. Bersahaja jawapan upline mereka itu.


Jom kita fikir sejenak. Betul ke ada orang yang dikurniakan sehingga 60 jam sehari? Tiada bukan? Apa yang ingin disampaikan oleh upline ini tadi ialah rancang dan uruskanlah masa anda sehari-sehari dengan sebaiknya. Bagi yang beragama Islam pasti ingat akan Firman Allah dalam surah Al Asr; Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

Jadi sesibuk manapun kita, rancang dan uruskanlah waktu kita sebaik mungkin. Mari kita jadikan hari kita umpama dikurniakan 60 jam sehari. Yang penting janganlah lupa dan sentiasa utamakan kewajipan kita kepada Allah. Luangkanlah masa secukupnya bersama keluarga walau sesibuk manapun kita. Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama amalkan pengurusan waktu yang lebih efisien.

Tuesday, April 15, 2014

Apa sebenarnya blog Diari WAHD tawarkan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Beberapa hari yang lalu ada seorang sahabat menghantar mesej kepada saya di facebook. Sahabat saya ini bukanlah sahabat di facebook sahaja malahan merupakan rakan sekuliah dan rakan sepejabat suatu masa dahulu. Namun dia berani mengorak langkah dengan berhenti kerja dan meneroka bisnes shaklee. Hasilnya beliau kini bebas mengembara seluruh dunia bersama suami dan 3 orang anak beliau.

Di dalam mesej itu, beliau bertanyakan dua soalan. Soalan pertama beliau adalah kenapa alamat blog saya terlalu panjang?Tidak bolehkah saya gunakan sahaja alamat blog seperti ahmadshahrin.blogspot.com sahaja? Jawapan saya ringkas sahaja. Nama Ahmad Shahrin itu terlalu menarik dan popular. Jadi itulah sebabnya saya mengambil keputusan memilih ahmadshahrinbinmohamadanuar.blogspot.com sebagai alamat blog saya. Saya mahu menjenamakan nama penuh saya dan mahu ianya dikaitkan dengan subjek WAHD. Mendapat balasan mesej saya, sahabat saya hanya tertawa.

Soalan kedua beliau pula adalah apa sebenarnya yang saya lakukan dan adakah saya sudah berhenti kerja? Komennya lagi gaya penulisan dan bahan yang saya kongsikan seakan-akan saya ini memang sudah berhenti kerja dan menjadi seorang WAHD. Sahabat saya ini memang seorang yang baik hati dan mahu memberikan semangat kepada saya sahaja, kata hati saya. Saya memberikan jawapan yang ikhlas kepada kawan saya kerana tidak mahu berseli ndung.  Saya membuat macam-macam perkara, tetapi sekarang ini saya fokus untuk memantapkan blog Diari WAHD ini terlebih dahulu. Saya juga masih belum berhenti kerja, tetapi telah menetapkan matlamat awal 18 bulan untuk menjadi WAHD sepenuh masa.

Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, saya tidak mahu terburu-buru dan melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Kerana kali ini tujuan dan objektif saya lebih terang dan jelas. Pertamanya saya mahu menjadi pelopor dan menyediakan sedikit sebanyak panduan tidak rasmi pada para bapa di luar sana yang berminat untuk menjadi WAHD sepenuh masa ini.  Saya tahu saya ini bukan pakar, tetapi sekurang-kurangnya pengalaman saya ini akan membantu anda. Tidak kiralah sama ada membantu mengelakkan dari mengulangi kesilapan yang sama dan sebaliknya. Pada saya pengalaman itulah adalah aset yang berharga. Dan itulah yang saya akan kongsikan dengan anda secara percuma di sini.

Keduanya saya ingin mewujudkan komuniti atau kelab WAHD pertama di Malaysia. Saya yakin banyak idea-idea dan projek usahasama dapat dilakukan oleh komuniti WAHD di Malaysia tanpa mengira bangsa,agama dan peringkat umur. Peluang untuk bertukar-tukar fikiran ini sangat bermanfaat bukan sahaja dalam peluang perniagaan, tetapi juga pengalaman menjaga anak-anak dapat juga dikongsikan.

Ketiganya saya ingin membantu golongan orang baru yang ingin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan internet. Saya ingin golongan baru ini mengelakkan diri dari mengalami masalah yang sama seperti saya. Semua ini akan saya lakukan melalui perkongsian pengalaman saya dalam bidang perniagaan internet ini sendiri. Saya juga akan turut mengsyorkan kelas,latihan dan produk yang akan membantu perniagaan anda.

Keempatnya sudah tentulah saya juga ingin meraih pendapatan melalui blog ini melalui servis dan produk yang akan blog ini tawarkan tidak berapa lama nanti. Apa jenis servis dan produk dan servis yang akan saya tawarkan anda kenalah tunggu entri dan kemaskini blog yang seterusnya. Yang pasti ianya berkait rapat dengan WAHD,motivasi, penjagaan anak dan juga perniagaan internet.

Akhir sekali saya berharap entri ini dapat menjawab soalan sahabat saya tadi. Sekali lagi saya bukan pakar,tetapi tidak perlu menjadi pakar untuk berkongsi pengalaman kerana pengalaman adalah aset berharga buat kita.

Jangan tiru macam saya

.Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, semenjak pulang ke tanah air ni, pelbagai kursus dan latihan dapat diikuti. Walaupun ada di antara latihan itu sebenarnya untuk kerja tetap sekarang, tetapi sebenarnya berguna juga untuk memantapkan ilmu internet marketing saya.

Sebut pasal latihan ini, teringat sewaktu mula-mula saya membuat keputusan hendak serius dalam menceburi bidang perniagaan internet ini. Walaupun saya suka meniaga dan pernah mengusahakan beberapa cabang perniagaan serta masih memiliki perniagaan kedai jahitan, saya ya langsung tiada pengetahuan asas tentang internet marketing.

Sewaktu itu saya cukup bersemangat nak menjadi seorang internet marketer (IM). Isteri saya pula sudah mendahului saya dengan menjadi WAHM terlebih dahulu. Melihatkan beliau sudah mula menjana pendapatan 4 angka sewaktu hanya beberapa bulan sahaja menyertai bisnes shaklee, saya mula cemburu. Sudahlah begitu, beliau juga dapat meluangkan masa yang banyak dengan anak-anak dan tidak perlu ke pejabat. Memang agak tertekan untuk terus berjaya seperti beliau. Tambahan pula, kawan-kawan sepejabat ramai yang sudah meletakkan jawatan dan bekerja sendiri.

Ketika itu memang semangat saya berkobar-kobar untuk terus berjaya. Saya menjadi tamak ilmu dan cuba mempelajari dan mencuba sekaligus teknik internet marketing. Pelbagai produk dan servis saya dapatkan dan cuba dek terpengaruh dengan ayat-ayat promosi hebat produk itu. Jalan singkat dan jaminan kejayaan yang ditawarkan telah mengelabui mata saya. Mudahnya saya terpengaruh ketika itu. Mungkin kerana perasaan terlalu ingin berjaya dan cepat-cepat berhenti kerja telah membutakan pemikiran rasional saya. Hasilnya, kosong sahaja. Duit yang saya laburkan turut dileburkan.

Blog pertama internet marketing saya juga tunggang-langgang. Tiada niche khas atau tajuk yang khusus untuk blog saya. Pendek kata saya masukkan sahaj segala jenis penulisan dan kategori. Akhirnya lebih banyak kategori dari jumlah entri. Lama-kelamaan idea saya juga makin kehabisan kerana tiada tajuk dan kategori yang jelas. Apabila tiada idea, maka saya mula ambil kandungan dari sumber lain dan guna pakai sahaja.
Penghujungnya, blog saya jadi macam rojak, macam-macam ada. Kalau anda hendak lihat blog lama saya, anda boleh layari http://b-tame.blogspot.com.

Apabila blog saya sudah menjadi blog syok sendiri, saya ambil keputusan untuk membuat sesuatu supaya blog itu tidak menjadi tempat saya meluahkan sesuatu perkara sahaja. Itulah sebabnya mengapa saya kemudiannya bersetuju untuk menyertai akademi bekerja dari rumah (ABDR). Saya sedar bukan mudah seorang lelaki seperti saya ini untuk bergabung tenaga dan menimba ilmu dengan kaum hawa ini. Tetapi demi ilmu, saya kikis semua prangsaka dan aura-aura negatif.

Alhamdulillah saya merasakan keputusan yang saya buat itu sangat tepat. Kerana dengan menyertai ABDR penulisan saya lebih fokus dan terarah. Saya sendori dapat merasakan perbezaan antara blog Diari WAHD ini dengan blog lama saya.
Sebagai orang baru dalam bidang ini, inilah apa yang saya perlukan untuk mencapai kejayaan.

1. Mentor yang berdedikasi. Insan yang boleh saya tanyakan soalan tidak kira masa dan dapat memberikan panduan kepada saya.

2. Sokongan yang tidak berbelah bahagi dari tenaga pengajar dan komuniti akademi.

3. Akademi mempunyai sejarah kejayaan yang bagus.

Untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia internet marketing diharap tidak mengulangi kesilapan saya dahulu. Carilah mentor yang dapat mengajar anda. Kaedah cuba jaya sendir amat tinggi risikonya dan khuatir akhirnya anda akan hilang semangat. Elakkan ambil jalan ringkas kerana hasilnya juga sekejap sahaja nanti.

Jangan tamak dan rakus untuk terus menjana pendapatan. Seelok-eloknya kukuhkan dan mantapkan tapak internet marketing anda dahulu dengan entri-entri yang berguna. Buatlah sasaran minima yang anda ingini dan tetapkan masa yang anda rasakan realistik untuk mendapatkannya.

Akhir kata, kita tidak akan dapat hasil yang berbeza jika kita buat sesuatu dengan cara yang sama berulang kali. Sebaliknya cubalah membuat sesuatu dengan betul dan mempraktikkannya berulang kali supaya menjadi hasil yang sempurna

Sunday, April 13, 2014

Entri blog di mana-mana

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sejak kembali ke tanah air ini, hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti. Pendek kata ada sahaja waktu terluang, pasti ada sahaja aktiviti yang kami sekeluarga akan lakukan. Terbaru, kami sekeluarga beriadah di Bukit Tinggi. Selagi masih bekerja, waktu untuk beriadah bersama keluarga adalah terhad. Peluang cuti hujung minggu harus dimaksimakan.

Memang seronok melihat aksi anak-anak bermain bersama haiwan di taman haiwan di sana. Lihat sahajalah gambar mereka, ceria dan gembira dapat bermain dan berkejar-kejaran dengan arnab. Akmaklumlah tinggal di Kuala Lumpur, bukan semua mampu memiliki rumah yang mempunyai laman.


Tapi bila dah asyik keluar membuat aktiviti riadah ini, sukar pula untuk saya mengemas kini entri di blog. Tapi Alhamdulillah, menggunakan blogger sebagai medium blog ini sangat menyenangkan. Di mana-mana sahaja anda boleh melakukan entri selagi ada kemudahan internet dan komputer ataupun telefon.

Entri ini juga telah dilakukan melalui emel saya sahaja. Kalau anda nak tahu bagaimana saya melakukannya, bolehlah teruskan membaca perkongsian di bawah ini:

Untuk mereka yang selalu mengembara dan sibuk, pastinya kemudahan membuat entri baru melalui emel akan sangat membantu.


Anda hanya perlu ke dashboard blog anda.

Klik pada tab settings.


Klik pada tab mobile and email.


Pastikan anda menanda pada ruangan publish email immediately. Anda juga perlu isikan perkataan rahsia, sekurang-kurangnya 4 huruf. Perkataan rahsia ini bertujuan memelihara kandungan entri anda supaya tidak diceroboh.


Klik pada butang compose untuk mula memasukkan entri.

Di bahagian To (alamat emel yang hendak dihantar) masukkan emel anda bersama perkataan rahsia. Sebagai contoh; jika emel anda ialah emel dan perkataan rahsia ialah rahsia, alamat emel yang patut anda tulis ialah emel.rahsia@blogger.com. Seperti yang anda lihat, gambar juga boleh dimasukkan ke dalam entri melalui emel.


Sebagai contoh, inilah hasil entri anda yang telah dilakukan melalui emel. Selamat mencuba.

Saturday, April 12, 2014

Idea Bisnes Barang Terpakai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri kembali menetap dan bertugas di Kuala Lumpur ini. Setelah setahun di perantauan, kini pulang semula bertugas di ibu kota.

Harapannya kali ini dapatlah menetap lebih lama di Kuala Lumpur,sekurang-kurangnya biarlah sehingga anak sulung menghabiskan sesi persekolahan tahun pertamanya. (lagi tiga tahun)

Hidup berpindah randah ini sedikit menyiksakan. Tambahan pula dengan tiga orang anak kecil yang semakin bersemangat setiap hari. Hampir setiap kali berpindah randah, hampir setiap kali jugalah barangan bertambah. Akhirnya hampir penuh ruang di seluruh rumah. Kadang-kadang barang yang ada itu sudah tidak diguna pakai lagi, walaupun masih elok dan sempurna. 

Saya pasti anda juga berdepan dengan keadaan yang sama. Lambakan pakaian, mainan anak-anak, majalah-majalah lama dan sebagainya. Sebenarnya kalau kita bijak mengambil peluang, keadaan ini kita boleh tukarkan keadaan ini menjadi kelebihan untuk kita.

Saya mendapat idea ini hasil daripada beberapa siri televisyen negara barat. Nak tahu apa yang kita boleh lakukan dengan lambakan barang-barang kita ini?


1. Barang lama yang masih elok bolehlah dijual semula. 
  • Anda boleh gunakan blog sebagai tapak untuk menjual barang lama anda. Sekiranya menjual pakaian, seelok-eloknya sertakan ukuran pakaian anda. Letaklah harga yang berpatutan dengan jenama dan kondisi pakaian anda itu.
  • Sekiranya di luar negara terdapat banyak peluang untuk membuat 'yard sale' ataupun jualan garaj. Di Malaysia ini saya kurang pasti mengenai jualan garaj ini. Setahu saya jualan but kereta di Shah Alam sahaja yang paling hampir. Pastinya menarik jika kita boleh menjual barang di halaman rumah kita sahaja.
  • Anda bolehlah menggunakan mudah.my sebagai tapak untuk mengiklankan barangan anda. Saya mencadangkan untuk mengiklankan barangan elektronik di sini.
  • Bagi majalah-majalah atau komik-komik, anda bolehlah jualkan kepada kedai buku terpakai.
2. Sekiranya anda tidak mahu menjual barangan tersebut, anda juga bolehlah menyumbang kepada badan-badan kebajikan bagi tujuan amal.Terdapat pelbagai badan kebajikan di Malaysia ini. Anda hanya perlu buat carian sahaja di internet.

Mana-mana pilihan yang anda pilih pun semuanya akan mendatangkan manfaat kepada anda. Jika anda memilih pilihan yang pertama, anda sudah pun boleh memulakan perniagaan dari rumah. Anda juga tidak perlu pening untuk memikirkan produk apa yang anda ingin jual. Malahan anda tidak perlu mengeluarkan modal baru untuk bentuk perniagaan ini.

Macam saya, saya perlu menjual barang-barang lama saya untuk memberikan ruang untuk saya membuat tempat kerja di rumah bagi saya dan isteri. Di samping itu boleh juga dijadikan modal untuk membeli perabot kerja yang bersesuaian seperti meja kerja dan rak buku.

Idea ini bukanlah sesuatu yang baru, malahan ada ramai yang melakukannya. Jadi daripada saya dan anda biarkan barangan lama itu bersarang, lebih baiklah kita jual atau sumbangkan. Dapat juga kita manfaatnya. Jom sama-sama kita lakukan.





Friday, April 11, 2014

Percutian Percuma


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang sentiasa membantu dan memberikan komentar bagi saya membaiki mutu penulisan saya dari masa ke semasa. Terima kasih juga untuk anda yang mengunjungi blog ini. Kali ini saya nak kongsikan cara-cara nak menyambar peluang bercuti secara percuma ataupun pada kos yang sangat minimum.

Gambar-gambar di atas adalah percutian saya dan isteri (www.arfahumar.com) bercuti di Ho Chi Minh, Vietnam pada 2010. Alhamdulillah saya dan isteri berjaya pergi secara percuma. Kami hanya perlu membayar harga hotel dan makanan sahaja. 

Pada masa itu kalau tak salah isteri saya sedang hamil anak sulung kami, Ahmad Aasim. Apabila teringat, kasihan juga pada isteri, kerana saya membawanya berjalan ke merata tempat di bandar Ho Chi Minh itu.













Saya dan isteri sememangnya menggemari aktiviti melancong. Jadi saya telah menggunakan minat saya ini dengan sebaiknya. Saya juga beruntung kerana pekerjaan saya memberi peluang saya untuk meneroka negara luar (terima kasih syarikatku). Saya menyertai program penebusan mata ganjaran untuk tiket dengan syarikat penerbangan Malaysia Airline System (MAS), Enrich program. Saya pasti anda semua mengetahui tentang enrich program ini. Kalau tak tahu bolehla klik di sini. 

Alhamdulillah banyak juga tempat saya dah pergi dengan penebusan mata ganjaran Enrich ini.Yang terbaru, merasa jugalah saya naik penerbangan kelas bisnes ke Jakarta baru-baru ini. Kalau hendak beli sendiri memang tidak mampu.

Saya nak kongsikan pula kisah percutian percuma saya di Kuching & Kota Kinabalu selama seminggu pada awal tahun ini. Saya sudah merancang percutian ini bagi meraikan ulang tahun isteri saya pada hujung tahun lalu. 
Berikut ialah jadual percutian saya itu.

1. 3 Hari 2 malam di Kuching
2. 5 hari 4 malam di Kota Kinabalu

Perjalanan untuk 2 orang dewasa, 1 kanak-kanak dan 2 orang bayi (infant)

Jadual Penerbangan

KLIA - Kuching 
Kuching - Kota Kinabalu (Transit di Sibu dahulu)
Kota Kinabalu - KLIA

Belanja yang saya perlu keluarkan hanya untuk makanan dan satu hari belanja hotel di Kota Kinabalu.

Apa yang telah saya lakukan?

1. Sewaktu di Kuching, saya menginap di rumah adik ipar saya. Sambil dapat menziarahi beliau seperti yang telah dirancang saya juga dapat ambil kesempatan untuk tidak perlu mengeluarkan belanja hotel. Anak-anak juga gembira dapat berjumpa dengan mak lang mereka. Isteri saya juga gembira. Pendek kata situasi yang menguntungkan untuk semua pihak.
2. Untuk penerbangan, semuanya telah ditanggung sepenuhnya oleh program penebusan mata ganjaran Enrich saya. Saya hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai kos cukai lapangan terbang dan tiket (tax & surcharge) sahaja.
3. Untuk hotel di Kota Kinabalu, saya telah menetap di Hyatt hotel di mana saya berjaya menginap 3 malam secara percuma di sana. Sepatutnya untuk 4 hari tetapi tempahan bilik sudahpun penuh. Jadi terpaksalah saya mengeluarkan perbelanjaan untuk bayaran hotel bagi tempoh sehari lagi.

Anda nak tahu macam mana nak buat? Kalau anda selalu bekerja di luar negara atau di luar kawasan, tinggallah di hotel-hotel yang menawarkan program penebusan mata ganjaran. Pelbagai hotel menawarkan program seperti ini, di antaranya ialah Marriot dan Hyatt. jika berpeluang, bolehlah anda cuba. Mudah bukan? sambil menyelam sambil minum air. 

Jadi itulah sedikit sebanyak perkongsian saya tentang tip-tip nak cuti secara percuma atau dengan perbelanjaan minimum. Saya tahu semua orang mungkin dah tahu. Saya hanya hendak kongsikan sebab kadang- kadang kita pandang remeh benda-benda percuma. Bagi saya selagi boleh maksimakan penjimatan dan dapat bercuti, berjalan saya akan rebut dan gunakan peluang itu.

Begitu jugalah dalam mula hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini. Sekiranya ada peluang hendak berniaga tanpa perlu mengeluarkan modal atau pun pada kadar minimum, pastinya ia akan menarik perhatian saya. Kata orang, semakin tinggi risiko sesuatu perniagaan, semakin tinggilah bakal keuntungannya. Namun saya menyarankan untuk mencuba perniagaan berisiko rendah dahulu buat permulaan. Bukan apa takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula.

Nak tahu apakah perniagaan yang anda boleh ceburi dari rumah tanpa perlu mengeluarkan modal atupun modal minimum sekadar RM 100? Nantikan entri saya selanjutnya.



Thursday, April 10, 2014

Kenapa Bekerja Dari Rumah?

Pada zaman ini kita lihat semakin ramai ibu bapa yang mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia pekerjaan di pejabat dan memilih untuk bekerja dari rumah. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri, namun  bagi kaum hawa khususnya, kebanyakannya adalah untuk menjaga anak sendiri. Tambahan pula kebelakangan ini pelbagai insiden & kejadian yang tidak diingini berlaku di pusat-pusat penjagaan anak-anak. Tak kurang juga masalah dengan pembantu rumah. Jadi tidak hairanlah ramai ibu bapa terutamanya para ibu mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaga anak-anak. 

Terdapat pelbagai sebab mengapa ada yang mengambil keputusan bekerja dari rumah, di antaranya ialah:

·         Lebih masa dapat diluangkan bersama keluarga
·         Persekitaran kerja yang selesa dan tenang di rumah sendiri
·         Diberhentikan kerja kerana faktor kemelesetan ekonomi
·         Mencari pendapatan tambahan untuk membantu keluarga tetapi       harus menjaga anak-anak di rumah
·         Pilihan sendiri kerana memang suka bekerja dari rumah
·         Mahukan kebebasan masa bekerja
·         Sudah bersara dan memerlukan sumber pendapatan tambahan untuk  diri sendiri & keluarga            
·        Mahu meluangkan masa pada minat/hobi dan menjadikannya satu  sumber pendapatan yang tetap

Kalau di dunia maya internet, kita boleh lihat di blog dan di laman web, pelbagai iklan dipaparkan. Iklan-iklan itu merangkumi peluang bekerja dari rumah, jana pendapatan dari rumah dan sebagainya. Untuk golongan pendatang baru dalam dunia ini seperti saya, seharusnya kita perlu lebih berhati-hati. Takutnya nanti kita boleh terperangkap dengan sesetengah skim atau tawaran hebat yang akan merugikan kita. Sudahlah gagal menjana pendapatan yang diinginkan, kita terpaksa pula mengeluarkan duit simpanan yang ada. 

Yang penting selalulah buat carian & kajian. Jangan terlalu pantas untuk menyertai sesuatu program berbayar tanpa kajian terperinci dulu. Sentiasa dapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang arif. Sertai forum-forum di internet untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program-program yang anda ingin sertai. Semak latar belakang syarikat yang menawarkan program terbabit. Yang paling penting pastikan program itu mampu menjana dan memberikan pendapatan yang halal kepada kita & keluarga.

Untuk yang masih tercari-cari peluang dan apakah perniagaan yang boleh diceburi dari rumah ini, nantikan entri saya seterusnya. 

Anda juga mungkin meminati