Showing posts with label Tips bapa bekerja dari rumah. Show all posts
Showing posts with label Tips bapa bekerja dari rumah. Show all posts

Sunday, November 9, 2014

Diari WAHD kembali meneruskan perkhidmatan

Alhamdulillah selesai urusan setelah bercuti panjang. Kini Diari WAHD kembali untuk terus memberikan servis dan khidmat kepada anda. InsyaAllah kami cuba memperbaiki mutu perkhidmatan kami setiap masa. Memang sukar untuk meneruskan pekerjaan yang telah ditinggalkan untuk suatu jangka masa yang sangat panjang.



Alhamdulillah. Tahun baru,bulan baru,semangat baru dan servis baru. Kini Diari WAHD kembali beraksi. Servis baru mulai bulan ini:
1. Khidmat terjemahan bahasa melayu-bahasa inggeris dan bahasa inggeris-bahasa melayu
2. Tempahan banner/bunting/poster
3. Tempahan blog
4. Tukar nama blogspot ke domain
5. Kelas online blogspot until newbie

Ini adalah tambahan kepada servis sedia ada sebelum ini:

1. Pelbagai jenis kelas online seperti kelas penulisan, pengiklanan, perakaunan dan banyak lagi.
2. Nasi Arab DIY(do it yourself)
3. Khidmat cetakan (printing)
4. Tempahan kad nama
5.Tempahan 'flyer' dan 'brochure'

Istimewa bulan ini:

1. Khidmat cetakan angpow (sampul duit raya) 'custom made' kembali dibuka.
2. Khidmat cetakan kalendar hijriah/masihi 'custom made'
3. Khidmat cetakan diari 'custom made'

Terima kasih semua. Untuk mendapatkan perkhidmatan kami sila layari:http://ahmadshahrinbinmohamadanuar.blogspot.com/

SMS/whatsapp: 017-4816770


Terima kasih atas sokongan, bantuan, cadangan anda semua yang tidak pernah putus-putus.

Strategi Perniagaan Berjaya



Rasanya masih belum terlambat mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang yang telah menjuarai piala yang paling berprestij d Malaysia iaitu Piala Malaysia. Yang pasti menang kalah adat pertandingan. Tetapi percaturan strategi dan usaha itu sendiri yang penting.

Macam berniaga, pasti ada strategi. Tidak boleh untuk kita menjalankan perniagaan secara semberono. Strategi pasti ada untuk mengecapi kejayaan. Kita pasti tidak mahu 'bungkus' awal disebabkan kesilapan memilih strategi.

Macam sukan bola sepak, jurulatih telah merencanakan strategi formasi pasukannya, sama ada 4-4-2, 4-3-1-2 dan seterusnya. Ini semua bertujuan untuk memastikan pasukannya mendapat kelebihan dan berupaya unuk memenangi sesuatu perlawanan.

Begitu juga dengan perniagaan, anda juga harus menggunakan strategi yang betuk untuk memperoleh kejayaan. Yang pasti sebagai orang Islam, strategi yang pertama haruslah memohon daripada Allah dengan niat yang ihklas. Keduanya haruslah kita cuba berusaha dengan sesungguhnya.

Kenal pasti modal yang kita ada. Sebagai permulaan mungkin boleh fokus pada perniagaan tanpa modal seperti dropship dan affiliate. Sekarang ini sudah banyak lambakan peluang affiliate dan dropship di pasaran negara kita.

Selamat berjaya semua. Selamat merancang strategi untuk berjaya.

Oh ya, sebelum terlupa, saya ingin kongsikan satu ebooks mengenai tips untuk berjaya hasil nukilan saudara Afiq Ikhwan.

Anda boleh mendapatkannya di sini secara percuma:

http://tinyurl.com/nwtz4tj

Selamat membaca.


Thursday, August 28, 2014

Memanfaatkan produk percuma

Kesinambungan entri saya sebelum ini mengenai peluang memanfaatkan produk percuma sebagai pembantu perniagaan kita. Tidak kisahlah kita nak gunakan produk percuma sebagai bantuan promosi, mendapatkan trafik, ataupun sebagai medium menjual barangan anda di internet.

Kali ini saya nak kongsikan satu cara mudah untuk mempromosikan jenama anda di internet secara pasif ataupun secara lemah gemalai =). Anda boleh buat entri-entri motivasi, informasi dan sebagainya. Kalau sekadar entri motivasi mungkin dah ramai orang buat. Jadi untuk kelainan sedikit anda boleh buat entri gambar-gambar motivasi macam yang saudara Irfan Khairi dan Dato' Dr Haji Fadzillah Kamsah selalu buat tu.

Mudah sahaja. Jom lihat video tutorial langlah-langkah untuk membuat poster motivasi secara percuma. 


Dah pun siap. Mudah bukan. Dah siap jangan lupa kongsikan di media-media sosial sebagai tujuan promosi.

Selamat mencuba.

Berminat nak tahu lebih banyak produk percuma yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan perniagaan dan juga pemasaran serta promosi?

Friday, June 20, 2014

Teknik Bisnes Online - 15 Punca Kesilapan Bisnes Online

Sekejap sahaja, dah nak masuk minggu ketiga bulan Jun 2014. Maka tinggallah lagi setahun sahaja masa untuk melengkapkan Cabaran 12 Bulan WAHD saya. KAdang-kadang tu rasa tak berapa yakin juga dengan diri sendiri, tapi insyaAllah bila kita usaha dan niat dengan yakin, InsyaAllah akan dipermudahkan.

Ringkas je kali ni entri saya. Sekadar nak membuat sedikit 'sneak preview' untuk ebook percuma saya yang kedua untuk diedarkan kepada orang ramai.


InsyaAllah akan mula diedarkan dalam beberapa hari sahaja lagi . Pada yang ingin mendapatkannya, tunggu pengunguman selanjutnya dari saya. Anda juga boleh lawati fanpage FB saya, Diari WAHD untuk mendapatkan nashkah ebook percuma saya ini.

Selamat maju jaya.

Thursday, June 19, 2014

Ciri-ciri usahawan berjaya



Kalau ikut nak berjaya memang semua orang nak berjaya. Mana ada orang yang nak gagal. Tambah-tambah lagi para usahawan yang baaru nak bertatih macam saya ni. Semalam saya ada mendengar IKIM FM dan di antara rancangan mereka itu berkongsi tentang ciri-ciri usahawan yang berjaya. Ada tujuh kesemuanya. Saya akan cuba kongsikan sebanyak mungkin, mungkin tak sampai tujuh. Maaf kerana sedang memandu dan tidak dapat untuk membuat sebarang catitan sewaktu segmen tersebut disiarkan.

Ciri-ciri usahawan berjaya:

1. Carilah perniagaan yang boleh membawa kita ke Syurga.

Sebelum bermula pastikan perniagaan anda itu halal dari segi hukum syarak dan juga undang-undang negara. Sila klik untuk menyemak status perniagaan yang anda ingin ceburi atau yang sedang anda usahakan. Pastikan juga perniagaan itu tidak menipu orang lain. 

2. Perlu ada 'apprenticeship'. Secara lebih ringkas kena membiasakan diri dengan apa yang kita ingin lakukan. Secara mudahnya kalau ada mentor yang dapat membimbing anda itu lebih baik. Lagipun 'blueprint' daripada mentor ini sudah tersedia biasanya tentang bagaimana mereka menjalankan perniagaan dan anda hanya perlu mengikut sahaja 'blueprint' mereka.

3. Mulakan dengan kecil tetapi bersama kerangka yang besar. Boleh mulakan dengan modal yang kecil seperti affiliate atau modal yang sederhana seperti menjadi rakan niaga Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) , perniagaan barangan kesihatan shaklee dan bisnes kad sim Tune Talk Excel. Kita tak perlu terus bermula dengan modal yang besar dan 'fortpolio' yang besar.

4. Jaga kebajikan orang di sekeliling anda. Sekiranya ada pekerja, jagalah kebajikan mereka. Jika tidak pastikan kebajikan ahli keluarga anda tidak terabai. Barulah keberkatan itu akan muncul.

5. Tetapkan dan kenalpasti matlamat yang anda ingin capai. Kalau anda sendr tidak pasti tentang keinginan dan matlamat anda, macam mana anda nak capai impian dan matlamat tersebut?

6. Jangan pernah putus asa dan selalu berdoa kepada Allah. Impian itu juga suatu doa. Yang penting kena usaha dan doa untuk memudahkan kit amencapai kejayaan.

7. Banyakkan memberi dan membantu mereka yang memerlukan. Semakin banyak yang kita bantu, InsyaAllah semakin kita dipermudahkan.


Jom kita sama-sama cuba praktikkan. 

Tuesday, May 27, 2014

Aspek Penting Memulakan Perniagaan

Banyak contoh yang kita boleh lihat mengenai perniagaan yang tumbuh maju tapi kuncup layu dalam masa yang singkat. Kadang-kala hairan juga bagaimana perniagaan dan kedai besar dan cantik seperti itu tidak boleh bertahan lama. Tambahan pula bila melihatkan kedai mereka ini sering penuh dikunjungi pelanggan.

Ramai menyangkakan bahawa perniagaan ini sesuatu yang mudah. Tambahan pula apabila terdapat badan-badan yang dapat memberikan pinjaman modal untuk memulakan perniagaan. Ramai beranggapan bahawa modal besar akan mendatangkan pulangan besar. Tapi kadang-kala tak semestinya begitu. Saya suka memetik pesan pengasas Akademi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad. Kata beliau "kumpul modal dan usaha untuk menghasilkan pulangan RM 10 ringgit pertama. Kemudian usaha lagi untuk RM 50 ringgit dan seterusnya". Konsep sikit-sikit lama-lama jadi bukit itu amat sesuai saya rasa untuk dipraktikkan mereka yang mahu berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini.

Di awal perniagaan, selagi boleh elakkan membuat pinjaman kerana takut pinjaman ini nanti akan membataskan modal pusingan perniagaan kita setiap bulan. Seelok-eloknya kita mulakan perniagaan kita dengan modal yang ada di tangan dahulu. InsyaAllah, sikit-sikit lama-lama menjadi bukit dan semakin berkembanglah perniagaan kita nanti.


Selain itu elakkan juga untuk menyewa kedai. Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan pakaian mungkin boleh menjadikan rumah sendiri sebagai kedai dan tempat menyimpan stok di awal peringkat perniagaan anda. Sewa kedai ini nanti akan menjadi liabiliti kepada anda dan takut anda akan menjadi lebih tertekan sekiranya di awal perniagaan, hasilnya tidak seperti yang anda harapkan. Tambahan pula anda harus menyediakan kos untuk ubah suai, membeli kelengkapan kedai dan terikat dengan komitmen dari satu ke dua tahun secara minima.

Di awal pembabitan anda dalam perniagaan ini seelok-eloknya anda tidak menggaji pekerja bagi membantu anda dahulu. Anda terpaksa menyediakan peruntukan untuk gaji pekerja anda. Tambahan pula dengan adanya peraturan gaji minima setiap bulan sekarang, risaunya kos operasi anda nanti akan lebih tinggi dari hasil jualan anda.

Adalah penting untuk meneruskan kelangsungan perniagaan yang kita tubuhkan. Ini semua bertujuan untuk memajukan perniagaan kita di masa hadapan. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. 
Selamat Maju Jaya.

Kepentingan Blog Sebagai Tapak Promosi Bisnes Online

Macam nak pergi berperang, persediannya kenalah betul. Asas latihan, mentaliti dan senjatanya kena tersedia. Barulah peluang nak menang itu tinggi. Begitu jugalah ibaratnya nak menceburkan diri dalam bidang perniagaan online ini. Kalau berperang nak kena ada senapang dan meriam, begitu jugalah dengan perniagaan online ini.

Pada saya laman web dan blog merupakan alat yang wajib ada untuk para peniaga online ini mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Banyak platform yang ada sebagai landasan nak membina blog . Sama ada blogspot, wordpress dan sebagainya. Tanpa blog susah untuk memperkenalkan serta mempromosi produk dan perkhidmatan kita kepada pengguna.


Itulah sebabnya kita dapat lihat, syarikat gergasi yang memang sudah terkenal juga sanggup mengahbiskan ribuan ringgit untuk menghasilkan laman web mereka bagi dapat dicapai oleh pengguna. Secara tidak langsung ianya juga menjadi tapak promosi produk dan jenama mereka kepada pengguna baru di seluruh dunia. Terdapat banyak perkhidmatan yang menawarkan khidmat buat blog dan laman web serendah RM 50 ringgit sehinggalah ribuan ringgit bergantung kepada jenis blog dan laman web. Terdapat juga platform yang membolehkan kita membina blog secara percuma, namun rata-rata peniaga gemar memberi upah kepada perkhidmatan membina blog/laman web kerana hasilnya yang bermutu.


Ada juga mereka yang berjaya menghasilkan pendapatan hanya melalui blog tanpa perlua menjual dan mempromosi produk. Kandungan blog itu sendiri sudah cukup hebat dan berpengaruh sehingga terdapat orang yang mahu membuat bayaran hanya untuk meletakkan ikla di blog tersebut. Namun kenalah ada niche yang sesuai dan teknik penulisan yang digenmari pembaca. Juga kena selalu membuat kemaskini terhadap kandungan blog.


Begitulah serba sedikit kepentingan blog dalam bisnes online yang dapat saya kongsikan kepada anda. Pada peniaga yaang masih tiada blog atau laman web itu bolehlah membina blog anda yang pertama sekarang. Selamat mencuba.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang teknik asas membina dan menulis blog, sila hubungi saya melalui:

emel: ahmadshahrin.mohamadanuar@gmail.com
sms/whatsapps: 017-4816770
facebook: www.facebook.com/ahmadshahrin.manuar

Saturday, May 24, 2014

KELAS ONLINE YANG SESUAI UNTUK MEREKA YANG BEKERJA DI RUMAH

Ada peluang memang semua benda nak buat sendiri. Elok ke, buruk ke, rasa macam lagi puas bila buat sendiri daripada suruh orang. Tapi masa belajar dulu tak pula macam tu. Macam lagi ramai yang main salin je orang lain punya tugasan. Beberapa hari yang lepas dapat kesempatan nak membaiki dan menukar pintu bilik air. Isteri dah minta ganti dah lama dah. Rumah tak berapa luas, jadi memang suka guna pintu PVC yang jenis tarik dan boleh lipat tu. Masalahnya dah ada anak kecil, memang pintu tu jadi sasaran menarik merekalah. Kejap sahaja dah rosak.

Maka bertungkus lumus jugalah nak menukar pintu tu. Kira-kira separuh hari jugalah nak siap. Memang tak ada pengalaman. Ingatkan senang, rupanya susah juga bila tak tahu. Tapi Alhamdulillah, hasilnya boleh tahan. Sebab kedekut tak nak bayar upah pasang beberapa ratus ringgit. Rasanya lebih murah kalau pasang sendiri. Tapi kira-kira balik macam lagi mahal pula. Ialah campur beli pintu, beli perkakasan, (drill dan sebagainya). Nampak gayanya memang kena bagi yang pakarlah untuk lakukan urusan sebegini di masa hadapan.

Sebut pasal pakar dan belajar ni, saya nak kongsikan sedikit dengan para pembaca semua. Kalau ada yang berminat nak memulakan perniagaan, menulis ebook dan sebagainya berkaitan dengan perniagaan tapi tak tahu cara nak bermula. Bolehlah lihat Klip Video di bawah.


Anda boleh sertai mana-mana kelas online berikut berdasarkan minat dan keperluan anda:


  •  Kelas asas blog dan penulisan
  •  Kelas asas blog, fan page dan mula bisnes
  •  Kelas penulisan kreatif
  •  Kelas beriklan mudah.my
  •  Kelas penulisan ebook pertama
  •  Kelas borong Telekung solat
  •  Kelas urus akaun WAHM SOHO

4 Pakej telah disediakan. Pilihlah kelas berdasarkan keperluan, minat dan kemampuan anda













Keterangan lanjut, sila hubungi saya melalui:

Emel: ahmadshahrin.mohamadanuar@gmail.com
SMS/whatsapp: 017-4816770
Facebook: www.facebook.com/ahmadshahrin.manuar

Sunday, May 11, 2014

RM 1,000,000 Untuk Berhenti Kerja

" Kalau tak ada sejuta, jangan beranganlah nak berhenti kerja ". " Hutang kau dah habis ke?" . " apa yang kau nak buat bila kau berhenti?". " Dah elok-elok makan gaji di pejabat, kau nak berhenti pula. Fikirlah betul-betul, kau tu dah kahwin ada anak lagi". Saya yakin itu adalah di antara soalan yang dihujankan dan ditujukan kepada anda apabila menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja. 
Saya sendiri mengalami perkara yang serupa apabila saya menyuarakan hasrat tersebut.

Memang tidak dinafikan, pertanyaan itu datang kerana mereka yang bertanya itu  risau akan keadaan keluarga dan kewangan kita. Tapi betulkah bahawa kerja makan gaji di pejabat itu selamat? Betulkah kena ada RM 1,000,000 dalam akaun untuk menampung kehidupan selepas berhenti kerja. Kalau kerja gaji itu selamat, mengapa masih ada ramai pekerja yang diberhentikan kerja walaupun bekerja di syarikat besar yang mempunyai status kewangan yang kukuh? Kalau RM 1,000,000 itu sudah cukup menampung kehidupan selepas berhenti mengapa masih ramai orang yang jatuh muflis walaupun mempunyai aset dan simpanan yang banyak berjuta-juta? Kita kenalah fikirkan kenapa dan mengapa ya. Yang penting ingatlah rezeki itu datangya dari Allah s.w.t.





Di sini saya nak kongsikan sedikit hasil penulisan sifu Puan Masayu Ahmad mengenai bagaimana membuat keputusan bekerja dari rumah.

Teks: Masayu Ahmad
Entri di blog masayuahmad.blogspot.com bertarikh 6 Mei 2014

Dalam kes tertentu, persediaan 3 tahun awal untuk 3 tahun pertama berhenti kerja sangat penting. berikut senarai sebab, kalian sudah bersedia.


10 sebab sudah boleh buat keputusan bekerja dari rumah


1. Anda sudah ada sumber pendapatan pasif dan aktif secara tetap.


2. Boleh bekerja di bawah tekanan dan bersedia menghadapi apa sahaja risiko.


3. Mendapat sokongan sepenuhnya dari suami atau isteri untuk menghadapi masa di atas di bawah.


4. Mudah dan tajam tindakan apabila mendapat peluang baru.


5. Bijak mengatur strategi untuk kelangsungan bertahan.


6. Boleh dan pandai meletakkan diri pada masa sibuk, tidak sibuk dan super sibuk.


7. Kemahiran, rancang dan rancang semula jenis kerja atau bisnes.


8. Sudah sebati dengan cara kerja sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada orang lain.


9. Tidak ada istilah putus asa.


10. Seronok, apabila berada dalam keadaan sukar mendaki dan terus berusaha, apabila sudah sukses suka berkongsi kejayaan dan pengalaman dengan orang lain.


Apa beza suri rumah dan suri bekerja dari rumah.


Suri rumah sepenuh masa


Suri rumah sepenuh masa memberi tumpuan utama kepada keluarga semata-mata. Anak-anak, suami dan urusan rumah tangga. Jadi tiga keutamaan ini adalah tugasan yang menjadi keutamaan. Tidak melakukan apa-apa atau sebarang sumbangan kewangan kepada keluarga.

Suri bekerja dari rumah

Suri yang bekerja dari rumah adalah mereka yang menghasilkan pendapatan sama ada bekerja, mengusahakan bisnes, secara sambilan atau sepenuh masa. Peranan suri ini sama sama sibuknya dengan suri yang bekerja di luar rumah. Tugas yang dipikul adalah berganda dan memerlukan pengurusan masa yang baik.

Tanggapan masyarakat terhadap suri rumah

Bagi sesetengah pandangan, merasakan suri rumah adalah mereka yang tidak berpendidikan, terkongkong dan tidak memberi apa-apa sumbangan kepada masyarakat. Dunia hanyalah persekitaran keluarga dan anak-anak sahaja.

Tepis pandangan ini secara positif

Saya sudah mengenali dan menemui ramai suri rumah yang berpendidikan dan meletakkan jawatan sema-mata menumpukan kepada keluarga. Suri rumah kini semakin bijak, terbuka dan mempunyai pandangan yang lebih baik dalam menentukan hala tuju keluarga.

Apa yang saya kongsikan ini bukanlah sebab nak suruh anda semua berhenti kerja pula. Ini sebagai sedikit panduan dan pembakar semangat bagi mereka yang seangkatan dengan saya. Kalau suri rumah pun sering mendapat tanggapan negatif pabila mahu bekerja dari rumah, apatah lagi saya sebagai lelaki 'macho' yang mahu bekerja dari rumah.

Kebanyakan orang menganggap bila sudah berhenti kerja, hanya duduk di rumah sahaja. Tapi natijahnya pengertian SAHD (stay at home dad) dan WAHD (work at home dad).  Seperti WAHM, WAHD walaupun duduk di rumah, selain dari mengurus hal ehwal rumah tangga, mereka ini sebenarnya bekerja. Tidak kiralah meniaga makanan, menulis buku, pelukis pelan dan sebagainya. 

Seperti yang Puan Masayu beritahu, persiapan 3 tahun sebelum menjadi WAHD/WAHM itu adalah amat penting. Namun bagi saya, 18 bulan adalah matlamat yang ditetapkan  untuk menjadi WAHD sepenuh masa. Jadi perlulah berusaha untuk mendirikan dengan matlamat tersebut.

Yang paling penting dapatkan persetujuan pasangan anda terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan. Jangan terburu-buru mengambil tindakan. Mohonlah restu ibu bapa anda dan minta mereka doakan kejayaan anda. Kalau ibu bapa anda tidak bersetuju, terangkan secara baik kepada mereka. Kebanyakan orang jenis visual, jadi anda perlulah menunjukkan bukti pendapatan melalui kerja anda dari rumah . Insya Allah lama-kelamaan mereka akan dapat menrimanya.

Sentiasalah bersikap positif dan terangakan dan jawablah dengan berhemah segala persoalan. Ingatlah, Allah tidak akan membebani hambaNYA dengan ujian yang mereka tidak mampu menempuhnya. Selagi tak dapat hasil, selagi itulah kita kena terus meminta pada Allah dan terus berusaha. Siapa yang ada anak pasti memahaminya. Kena meminta seperti anak kecil meminta. MAcam bila nak susu, selagi tak dapat mereka akan menangis sehingga susu disuapkan ke mulut mereka bukan? Begitu juga bila mereka mahukan permainan. Kadang-kadang sehingga berguling-guling kerana terlalu bersungguh-sungguh mahukan permainan tersebut dan mereka hanya akan diam hanya bila dapat permainan tersebut.

Jadi begitu jugalah dengan kita. Kenalah meminta pada Allah dengan bersungguh-sungguh di samping usaha yang berterusan. Kalau kita tak dapat tu maknanya usaha dan doa kita itu masih belum cukuplah tu.

Tak percaya tak apa, buat sahaja. Insya Allah, hasilnya pasti tiba.

Thursday, April 17, 2014

Bekerja Dari Rumah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebut sahaja tentang perniagaan internet dan bekerja dari rumah, ramai yang buka mata sekarang. Cuba kita bercerita mengenai perkara ini 10 tahun yang lalu. Saya pasti ramai di antara kita termasuklah saya sendiri tidak akan ambil peduli mengenai perkara ini.

Cuba anda ceritakan kepada ibu bapa atau mak cik dan pak cik anda bahawa anda mahu berhenti kerja dan mahu bekerja atau melakukan bisnes dari rumah. Apa reaksi mereka? Pastinya agak negatif bukan. Kenapa rata-rata golongan terdahulu sebelum anda tidak dapat menerima konsep bekerja dari rumah?

1. Masyarakat terdahulu telah dibesarkan di dalam persekitaran dan kebudayaan kerja pejabat. Ini kerana reputasi pekerjaan dan gaji yang ditawarkan lebih tinggi dari hanya kerja di rumah. Tidak kiralah kerja kerajaan ataupun swasta.

2. Rata-rata keturunan keluarga bekerja di pejabat. Misalnya dari moyang hingga ke ayah dan ibu semuanya merupakan seorang guru, jadi anda juga akan dibesarkan untuk menjadi seorang guru.

3. Faktor kewangan dan kestabilan ekonomi. Apabila anda memiliki pekerjaan bergaji maka pendapatan anda terjamin. Berbeza dengan kerja sendiri, pendapatan anda bergantung pada hasil jualan produk atau servis yang anda tawarkan.

Golongan sekarang pula lebih menerima konsep ini kerana telah lebih terbuka dan mengetahui pelbagai peluang tersedia jika mengambil peluang untuk bekerja dari rumah. Pelbagai lambakan produk dan servis yang ditawarkan sama ada offline atau online yang anda boleh cuba.

Produk-produk dan servis yang ditawarkan untuk membantu anda memulakan bisnes perniagaan dari rumah ini pula mempunya variasi harga yang tersendiri. Anda boleh mendapatkannya secara percuma hinggalah pada harga ratusan dan ribuan ringggit, bergantung kepada apa yang ditawarkan servis atau produk tersebut.

Kenapa ramai generasi sekarang mahu berhenti kerja dan bekerja dari rumah? Saya percaya masing-masing mempunyai sebab tersendiri. Beberapa sebabnya telah saya senaraikan di dalam entri saya yang terdahulu. 

Baru-baru ini  ada seorang teman memberitahu saya mengenai satu tinjauan yang dilakukan di organisasi tempat beliau bekerja. Tinjauan itu mengenai cara-cara untuk memastikan pekerja cemerlang di organisasi tidak meletakkan jawatan. Empat pilihan telah diberi dan para peserta diminta memberikan mata mengikut susunan keutamaan. Berikut ialah 4 pilihan tersebut.  

i) Kenaikan gaji yang lebih kompetitif
ii) Sistem kenaikan gred yang lebih tersusun
iii) Sistem penilaian prestasi pekerja yang lebih rinkas dan mudah
iv) Keseimbangan kerja dan kehidupan.

Apakah jawapan anda? Yang manakah yang paling utama? Saya pasti ramai di antara pembaca yang memberi susunan keutamaan sama seperti saya iaitu: i, ii,iii dan iv.

Tinggal di ibu kota ini pastinya wang menjadi keutamaan kerana taraf kehidupan yang tinggi dan perbelanjaan yang mahal. Namun hasil keputusan tinjauan itu sangat berbeza iaitu iv,iii,ii dan i.

Pada mulanya saya agak terkejut mendengar keputusan tinjauan itu. Namun bila difikirkan memang tepat sekali keputusan itu. Keseimbangan kerja dan kehidupan adalah sangat penting. Anda mungkin mempunyai kerjaya yang hebat. Tetapi belum tentu anda mempunyai kehidupan yang hebat. 

Jadi sekiranya anda juga mahu bekerja dari rumah, jangan lupa bahawa keseimbangan kerja dan kehidupan itu penting. Kerja adalah satu keperluan dan bukannya satu bentuk gaya hidupan. Jadi kalau anda rasa sudah terlalu tertekan dengan pekerjaan sekarang, mungkin boleh menimbangkan pilihan untuk bekerja dari rumah. Apapun jangan membuat keputusan terburu-buru. Walau apapun keputusan anda , ingatlah akan kepentingan keseimbangan kerja dan kehidupan.

Tuesday, April 15, 2014

Apa sebenarnya blog Diari WAHD tawarkan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Beberapa hari yang lalu ada seorang sahabat menghantar mesej kepada saya di facebook. Sahabat saya ini bukanlah sahabat di facebook sahaja malahan merupakan rakan sekuliah dan rakan sepejabat suatu masa dahulu. Namun dia berani mengorak langkah dengan berhenti kerja dan meneroka bisnes shaklee. Hasilnya beliau kini bebas mengembara seluruh dunia bersama suami dan 3 orang anak beliau.

Di dalam mesej itu, beliau bertanyakan dua soalan. Soalan pertama beliau adalah kenapa alamat blog saya terlalu panjang?Tidak bolehkah saya gunakan sahaja alamat blog seperti ahmadshahrin.blogspot.com sahaja? Jawapan saya ringkas sahaja. Nama Ahmad Shahrin itu terlalu menarik dan popular. Jadi itulah sebabnya saya mengambil keputusan memilih ahmadshahrinbinmohamadanuar.blogspot.com sebagai alamat blog saya. Saya mahu menjenamakan nama penuh saya dan mahu ianya dikaitkan dengan subjek WAHD. Mendapat balasan mesej saya, sahabat saya hanya tertawa.

Soalan kedua beliau pula adalah apa sebenarnya yang saya lakukan dan adakah saya sudah berhenti kerja? Komennya lagi gaya penulisan dan bahan yang saya kongsikan seakan-akan saya ini memang sudah berhenti kerja dan menjadi seorang WAHD. Sahabat saya ini memang seorang yang baik hati dan mahu memberikan semangat kepada saya sahaja, kata hati saya. Saya memberikan jawapan yang ikhlas kepada kawan saya kerana tidak mahu berseli ndung.  Saya membuat macam-macam perkara, tetapi sekarang ini saya fokus untuk memantapkan blog Diari WAHD ini terlebih dahulu. Saya juga masih belum berhenti kerja, tetapi telah menetapkan matlamat awal 18 bulan untuk menjadi WAHD sepenuh masa.

Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, saya tidak mahu terburu-buru dan melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Kerana kali ini tujuan dan objektif saya lebih terang dan jelas. Pertamanya saya mahu menjadi pelopor dan menyediakan sedikit sebanyak panduan tidak rasmi pada para bapa di luar sana yang berminat untuk menjadi WAHD sepenuh masa ini.  Saya tahu saya ini bukan pakar, tetapi sekurang-kurangnya pengalaman saya ini akan membantu anda. Tidak kiralah sama ada membantu mengelakkan dari mengulangi kesilapan yang sama dan sebaliknya. Pada saya pengalaman itulah adalah aset yang berharga. Dan itulah yang saya akan kongsikan dengan anda secara percuma di sini.

Keduanya saya ingin mewujudkan komuniti atau kelab WAHD pertama di Malaysia. Saya yakin banyak idea-idea dan projek usahasama dapat dilakukan oleh komuniti WAHD di Malaysia tanpa mengira bangsa,agama dan peringkat umur. Peluang untuk bertukar-tukar fikiran ini sangat bermanfaat bukan sahaja dalam peluang perniagaan, tetapi juga pengalaman menjaga anak-anak dapat juga dikongsikan.

Ketiganya saya ingin membantu golongan orang baru yang ingin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan internet. Saya ingin golongan baru ini mengelakkan diri dari mengalami masalah yang sama seperti saya. Semua ini akan saya lakukan melalui perkongsian pengalaman saya dalam bidang perniagaan internet ini sendiri. Saya juga akan turut mengsyorkan kelas,latihan dan produk yang akan membantu perniagaan anda.

Keempatnya sudah tentulah saya juga ingin meraih pendapatan melalui blog ini melalui servis dan produk yang akan blog ini tawarkan tidak berapa lama nanti. Apa jenis servis dan produk dan servis yang akan saya tawarkan anda kenalah tunggu entri dan kemaskini blog yang seterusnya. Yang pasti ianya berkait rapat dengan WAHD,motivasi, penjagaan anak dan juga perniagaan internet.

Akhir sekali saya berharap entri ini dapat menjawab soalan sahabat saya tadi. Sekali lagi saya bukan pakar,tetapi tidak perlu menjadi pakar untuk berkongsi pengalaman kerana pengalaman adalah aset berharga buat kita.

Sunday, April 13, 2014

Entri blog di mana-mana

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sejak kembali ke tanah air ini, hujung minggu kami dipenuhi dengan aktiviti. Pendek kata ada sahaja waktu terluang, pasti ada sahaja aktiviti yang kami sekeluarga akan lakukan. Terbaru, kami sekeluarga beriadah di Bukit Tinggi. Selagi masih bekerja, waktu untuk beriadah bersama keluarga adalah terhad. Peluang cuti hujung minggu harus dimaksimakan.

Memang seronok melihat aksi anak-anak bermain bersama haiwan di taman haiwan di sana. Lihat sahajalah gambar mereka, ceria dan gembira dapat bermain dan berkejar-kejaran dengan arnab. Akmaklumlah tinggal di Kuala Lumpur, bukan semua mampu memiliki rumah yang mempunyai laman.


Tapi bila dah asyik keluar membuat aktiviti riadah ini, sukar pula untuk saya mengemas kini entri di blog. Tapi Alhamdulillah, menggunakan blogger sebagai medium blog ini sangat menyenangkan. Di mana-mana sahaja anda boleh melakukan entri selagi ada kemudahan internet dan komputer ataupun telefon.

Entri ini juga telah dilakukan melalui emel saya sahaja. Kalau anda nak tahu bagaimana saya melakukannya, bolehlah teruskan membaca perkongsian di bawah ini:

Untuk mereka yang selalu mengembara dan sibuk, pastinya kemudahan membuat entri baru melalui emel akan sangat membantu.


Anda hanya perlu ke dashboard blog anda.

Klik pada tab settings.


Klik pada tab mobile and email.


Pastikan anda menanda pada ruangan publish email immediately. Anda juga perlu isikan perkataan rahsia, sekurang-kurangnya 4 huruf. Perkataan rahsia ini bertujuan memelihara kandungan entri anda supaya tidak diceroboh.


Klik pada butang compose untuk mula memasukkan entri.

Di bahagian To (alamat emel yang hendak dihantar) masukkan emel anda bersama perkataan rahsia. Sebagai contoh; jika emel anda ialah emel dan perkataan rahsia ialah rahsia, alamat emel yang patut anda tulis ialah emel.rahsia@blogger.com. Seperti yang anda lihat, gambar juga boleh dimasukkan ke dalam entri melalui emel.


Sebagai contoh, inilah hasil entri anda yang telah dilakukan melalui emel. Selamat mencuba.

Saturday, March 29, 2014

Rancangan TV untuk anak-anak



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalau dah serius nak kerja di rumah dan menjadi WAHD sepenuh masa, nampaknya anda juga perlu bersedia menghadapi dan melayani anak-anak selama 24 jam. Kalau dahulu jika anda bekerja di pejabat, pastinya 8-10 jam masa anda di pejabat itu dapat digunakan untuk berehat sebentar dari melayani kerenah mereka.

Sinonim dengan anak-anak anda yang masih kecil, pastinya mereka suka dan gemar menonton kartun. Peranan kita sebagai ibu bapa haruslah mengawal dan mengawasi rancangan yang anak-anak kita tonton. Saya nak berkongsikan pengalaman saya dengan anak-anak. Saya suka berinteraksi dengan mereka sewaktu menonton rancangan kartun dengan mereka. Tanyalah soalan-soalan yang ringkas seperti apakah warna baju kucing itu dan sebagainya.

Secara tak langsung, anda dapat mengajar anak anda. Macam anak-anak saya kalau nak mengajar mereka memang tak boleh nak ajar seperti di tadika. Jadi sebagai ibu bapa kena sentiasa kreatif dan ambil peluang yang ada untuk mendidik anak-anak mengikut kesuaian dan kesempatan masing-masing.

Anak saya suka tengok rancangan animasi Boboiboy, yang sekarang ni dah ada musim ketiga dan ditayangkan di saluran TV3. Asalnya anak saya yang minat , tapi akhirnya saya pulak yang terminat lebih. Jadi kali ni nak kongsikan sikit video daripada boboiboy ni.
 


Menarik juga bukan? Satu tepukan meja saya berikan pada team Animonsta ini yang menghasilkan karya bermutu tinggi. Kalau dekat video ini, taglines dia ialah team bubadibako - buat baik di..balas koko, apa masalahmu? kami se..dia membantu. Hahaha, terngiang-ngiang di dalam kepala. Jadi untuk mendidik anak anda, kenalah olah sedikit  dan terangkan kepada mereka. Misalannya kalau buat kebaikan in sha Allah, Allah akan berikan ganjaran. Kita sebagai ibu bapa kena mainkan peranan. Saluran TV merupakan sumber pengajaran yang bagus sekiranya kita dapat mengawal dan menjadikannya begitu.Tapi untuk mempraktikkannya tidaklah semudah yang disangka.

Saya sendiri pun pening dan kadang-kala geram dengan anak-anak saya. Sekarang ni beliau suka menonton siri Ultraman dan setiap kali selepas habis menonton, pastinya aksi-aksi ganas dari siri itu akan dipraktikkan ke atas adik-adik  beliau. Malahan saya dan isteri turut terkena tempias. Rancangan saya, saya sendiri nak buat bukuvideo (awal-awal ini gambar dan tulisan sahaja, untuk masukkan suara , kena tunggu dahulu). 

Kalau buat sendiri walaupun kurang menarik, kandungannya kita boleh kawal.
ini adalah hasil buah tangan buku video saya yang pertama. Berkisarkan tentang kisah tauladan anak-anak yang saya olah sendiri daripada cerita-cerita tauladan rakyat yang umum.Diharap dapat menjadi perkongsian yang menarik dan berguna. Mungkin anda boleh menggunakan buku video tanpa audio ini untuk anda bercerita kepada anak-anak anda sebelum tidur. 


Anda bolehlah gunakan kepakaran dan kemahiran anda untuk mencipta sesuatu aktiviti, video, buku, permainan dan sebagainya untuk anak-anak anda. Walaupun hasil kreativiti anda itu mungkin tidak sampai ke tahap yang boleh dijual, sekurang-kurangnya anda boleh berkongsi dengan anak-anak anda. Malahan mereka juga akan lebih menghargainya kerana anda yang menghasilkan produk itu sendiri. Jika ianya cukup berkualiti, anda mungkin boleh menjualnya dan dapat menjana pendapatan dengan produk yang anda hasilkan itu.

Soalan-soalan yang harus dijawab sebelum bergelar WAHD


Salam Sejahtera. Pastinya para bakal WAHD berdepan dengan pelbagai soalan sewaktu mengambil keputusan untuk menjadi WAHD sepenuh masa. Pastinya bertubi-tubi soalan diajukan sama ada dari pihak pengurusan syarikat, rakan terdekat, keluarga mahupun pasangan sendiri. Jom kita lihat apakah bentuk soalan yang para bakal WAHD kena jawab.

1. Bila anda mulakan perkhidmatan anda dengan syarikat? 

2. Bilakah anda menamatkan perkhidmatan anda dengan syarikat ?

3. Apakah sebab utama anda membuat keputusan berhenti kerja? Sepengetahuan saya anda semua merupakan antara pekerja cemerlang dan berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam syarikat dalam masa beberapa tahun lagi. 

4. Sebelum membuat keputusan untuk berhenti, apakah langkah-langkah dan perancangan yang anda ambil?

5. Apakah soalan paling lazim yang anda terima dari keluarga dan teman rapat setelah anda menceritakan niat anda untuk berhenti kerja?

6. Secara ringkas tolong terangkan cabaran yang anda hadapi sewaktu hendak berhenti kerja. Sebagai contoh, bagaimana anda menerangkan kepada keluarga dan juga majikan anda & bagaimanakah penerimaan mereka?

7. Berapa lama masa yang anda ambil sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja?

8. Setelah anda berhenti kerja, apakah yang anda lakukan?

9. Apakah cabaran yang anda hadapi setelah berhenti kerja?

10. Sila ceritakan satu pengalaman yang paling manis & satu pengalaman yang paling pahit setelah anda berhenti kerja.

11. Sila ceritakan kisah kejayaan anda setelah anda berhenti kerja.

12 . Adakah anda berpuas hati dengan tindakan anda berhenti kerja dahulu?

Bagaimana? adakah anda sudah bersedia dan mempunyai jawapan terhadap semua persoalan tersebut?Sekiranya sudah, tahniah diucapkan kepada anda. Anda memang sudah berjaya menjadi WAHD sepenuh masa. Sekiranya masih belum, jom kita lengkapkan ilmu dan teruskan usaha untuk menjadi WAHD sepenuh masa.



Sebarang pertanyaan dan perkongsian, sila hubungi saya di:



Anda juga mungkin meminati