Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Alhamdulillah diberikan kesempatan untuk memulakan blog Diari WAHD ini. Semoga perkongsian di dalam blog ini dapat menyumbang ilmu bermanfaat kepada para pembaca khususnya para bapa-bapa yang ingin bekerja dari rumah secara sepenuh masa.
Nama penuh saya ialah Ahmad Shahrin Bin Mohamad Anuar. Dilahirkan pada 13 November 1982. Mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah rendah sekitar negeri Perak. Seterusnya menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin (SMTSSS) atau lebih dikenali sebagai 'soksek' di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak dalam bidang kejuteraan awam.
Setelah menamatkan pengajian peringkat universiti, saya telah ditawarkan untuk menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang kajian kejuteraan bahan konkrit. Namun saya terpaksa menolak kerana pada masa yang sama telah ditawarkan peluang pekerjaan oleh sebuah syarikat gergasi di ibu kota. Pada 1 Jun 2005 saya telah memulakan karier saya sebagai jurutera struktur.
Bidang kerja dan tanggungjawab sebagai seorang jurutera struktur memerlukan saya menyelia dan mengurus projek-projek di luar pejabat. Kadang-kadang hingga berbulan-bulan hinggakan bertahun perlu bekerja di luar pejabat. Sewaktu masih bujang, perkara ini tidak menjadi masalah malahan menjadi kebiasaan.
Saya telah mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati saya pada 12 Jun 2009. Isteri saya, Siti Noor Arfah Binti Umar merupakan seorang WAHM (ibu yang bekerja di rumah) sepenuh masa. Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam jurusan 'Technopreneurship'. Hasil usia 5 tahun perkahwinan kami, kami telah dikurniakan dengan 3 orang anak lelaki.
Pada awalnya saya amat meminati kerjaya saya dan bercita-cita besar untuk menjawat jawatan tinggi di dalam syarikat. Namun faktor masa bekerja dan lokasi kerja yang berubah-ubah menyebabkan saya kurang berpeluang meluangkan masa seperti yang saya inginkan bersama keluarga saya. Sepanjang 5 tahun usia perkahwinan, mungkin hanya setahun masa yang kami sekeluarga tinggal sebumbung.
Pada tahun 2011 saya telah mula menceburkan diri dalam beberapa bidang perniagaan. Ini semua dilakukan kononnya untuk bekerja sendiri dan meluangkan masa yang lebih banyak bersama keluarga. Malangnya bila berniaga tanpa ilmu, ibarat berperang tanpa senjata. Banyak perniagaan yang saya ceburi gagal dan tidak berjaya. Ini semua kerana tidak mendalami selok belok perniagaan dengan lebih teliti sebelum bermula. Hanya satu cabang perniagaan saya yang bertahan, iaitu kedai jahitan CAMTALTS. Itupun disebabkan rakan kongsi yang menguruskan perniagaan.
Pada awal tahun ini, saya telah mencabar diri sendiri untuk mampu bekerja dari rumah sepenuh masa. Saya telah namakan cabaran ini sebagai cabaran 18 bulan WAHD. Pelbagai usaha yang telah saya lakukan terutamanya dalam bidang perniagaan internet. Saya telah menggunakan b-tame.blogspot.com sebagai platform untuk peniagaan internet saya. Walau bagaimanapun lama kelamaan blog itu telah kurang hasil penulisan asli dan telah menjadi blog syok sendiri.
Alhamdulillah, tergerak hati menghubungi kawan lama, Puan Norazizah Sudin. Hasil perbincangan, beliau menggalakkan saya untuk menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR). Lama juga masa yang saya ambil sebelum bersetuju menyertai ABDR. Pada mulanya rasa janggal kerana akan menyertai kumpulan suri rumah. Tetapi disebabkan ilmu dan mahu mendapat bimbingan yang berterusan, saya ketepikan perasaan ego saya. Terima kasih kepada Puan Norazizah Sudin dan Puan Masayu Ahmad yang sudi menerima kehadiran saya dalam ABDR dan sanggup memberikan tunjuk ajar.
Minat yang mendalam pada bahan bacaan membantu menguatkan lagi keinginan menyertai ABDR. Bahan bacaan motivasi dan pengalaman hidup hasil nukilan Dato' Dr Haji Fadzillah Kamsah & Mitch Albom menjadi koleksi kegemaran saya. Saya juga berharap suatu hari nanti saya berpeluang menghasilkan karya-karya hebat seperti mereka. InsyaAllah jika berpeluang saya juga ingin menghasilkan buku hasil penulisan sendiri.
Sebagai permulaan baru, berbekalkan pengalaman diri yang tidak seberapa,
saya akan kongsikan entri-entri yang dapat dijadikan panduan. Semoga pengalaman dan usaha saya untuk menjadi WAHD dan cabaran-cabaran yang saya hadapi ini dapat menjadi panduan bapa-bapa dan para ibu di luar sana yang bersedia menjadi WAHP ( ibu bapa yang bekerja dari rumah). Di harap perkongsian saya dapat menjadi pencetus semangat dan menjadi pelopor WAHD untuk kaum Adam di Malaysia khususnya.
No comments:
Post a Comment