Monday, March 24, 2014

Pengalaman Berniaga (bahagian satu)

Salam sejahtera. Pada entri ini saya nak kongsikan mengenai pengalaman berniaga saya. Saya pasti semua orang mempunyai pengalaman meniaga masing-masing sama ada anda sedar atau tidak. Melalui perkongsian ini saya berharap akan menjadi peringatan dan panduan kepada anda supaya tidak mengulangi lankah yang salah dalam perniagaan. Ibarat kata pepatah, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Pengalaman berniaga saya yang pertama bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya menjaja dan menjual makanan bungkus seperti nasi lemak, mee goreng dan bihun goreng. Saya mendapat keuntungan seratus peratus dan hasil jualan telah saya simpan di dalam bank. Modal adalah daripada ayah, manakala tenaga kerja adalah sepenuhnya dari emak. Keseronokan berniaga saya itu tidak berpanjangan. Adik beradik yang lain mula komplen kerana terpaksa bersarapan dengan makanan yang sama setiap hari. Mengenangkan komplen adik beradik dan kasihankan emak yang terpaksa bangun awal setiap pagi, saya ambil keputusan berhenti berniaga. Tanpa saya sedari pada ketika itu, saya telah pelajari asas perniagaan yang berharga iaitu kepentingan memiliki produk yang bagus . Sewaktu menjaja makanan bungkus itu saya hanya perlu datang ke sekolah bersama makanan bungkus tersebut dan pelanggan yang akan datang cari saya.

Minat saya terhadap bidang perniagaan diteruskan sewaktu sekolah menengah. Saya mengambil upah membasuh baju rakan-rakan. Saya juga menjadi agen menjual baju T-shirt pihak sekolah. Saya juga turut menjadi agen jualan para pekerja sekolah untuk menjual makanan. Akmaklumlah tinggal di asrama, sentiasa lapar manakala makanan di kantin pula mahal. Hasil upah itu saya gunakan untuk membeli barang keperluan, duit makan di kantin dan juga buku komik. Pada waktu itu memang tidak fikirkan untuk menyimpan. Cuma ingin mencari duit lebih untuk memenuhi keinginan pada waktu itu. Sebenarnya banyak selok belok perniagaan yang saya pelajari sewaktu itu, saya sahaja yang tidak tahu. Saya belajar perkara asas tentang pemasaran dan promosi. Saya juga belajar mengenai hukum pemintaan dan penyediaan (demand and supply).


Sewaktu di universiti saya terus menyambung minat saya dalam bidang perniagaan. Saya bersama rakan bekongsi membuka 'kedai runcit mini'. Kami menjadikan almari seorang rakan sebagai kedai dan pusat jualan kami. Saya juga menjalankan perniagaan menjual T-shirt bercetak. Semua proses itu saya dan rakan saya buat sendiri termasuk mereka cipta corak T-shirt, melantik agen penjual, menghasilkan katalog. Cuma proses mencetak sahaja diserahkan kepada kedai. Alhamdulillah hasil keuntungan daripada jualan T-shirt tersebut berjaya menampung kos perbelanjaan saya sewaktu mula bekerja. Jadi sewaktu menunggu untuk dapat gaji pertama, saya masih mampu bertahan tinggal di Kuala Lumpur tanpa meinta bantuan kewangan dari ayah. Melalui perniagaan T-shirt ini sebenarnya saya sudah mula belajar tentang asas komponen penting sebuah perniagaan.

Semoga perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak memberi gambaran awal tentang pendedahan awal terhadap asas perniagaan. Saya akan kongsikan lagi mengenai pengalaman saya di bahagian dua. Saya juga akan menyenaraikan beberapa asas perniagaan yang saya pelajari melalui pengalaman awal berniaga saya.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati