Monday, April 28, 2014

Panduan Terbang Bersama Anak Kecil


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kepada mereka yang mempunyai anak kecil, pastinya memahami kepenatan dan kesukaran untuk berjalan atau melancong bersama. Tambahan pula bagi mereka yang mempunyai bilangan anak kecil yang ramai. Saya juga tidak terkecuali. Ditambah pula faktor kerja yang menyebabkan saya terpaksa pergi ke sana dan ke sini. Saya pula jenis yang susah nak tinggalkan keluarga, jadi kebiasaannya saya akan usung sahaja semua ahli keluarga bersama.

Banyak perkara yang saya dan isteri pelajari sewaktu mengembara bersama-sama dengan anak-anak kecil kami. Apabila difikirkan, semuanya ada hikmahnya dan merupakan perkara yang menyeronokkan dan sukar dilupakan. Saya telah membuat kompilasi mengenai pengalaman menarik kami. Saya juga telah menyenaraikan beberapa tips yang kami pelajari yang mungkin dapat memudahkan para ibu bapa yang lain untuk membawa anak kecil mengembara, khususnya menaiki kapal terbang. InsyaAllah jika berpeluang saya akan mengedarkan e-book percuma mengenai kompilasi pengalaman saya dan isteri mengembara menaiki kapal terbang bersama anak-anak kami tidak berapa lama lagi.

Sebelum itu , saya ingin kongsikan, beberapa potongan menarik daripada kisah pengalaman kami itu bersama anda semua. 

PENGENALAN

Bagi saya perjalanan menaiki kapal terbang seorang diri pun sudah mencabar. Apatah lagi bila terpaksa menaiki kapal terbang bersama anak-anak kecil. Kerjaya sebagai seorang jurutera struktur di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota memerlukan saya banyak bertugas di luar kawasan. Semuanya bagi tujuan memantau dan menyelia perkembangan projek hak milik syarikat. Kadang-kadang tugasan di luar mengambil masa berminggu-minggu. Malahan ada yang memakan masa hingga bertahun. Terbaru penulis mendapat tugasan menyelia dan memantau projek hak milik syarikat di Indonesia.

Sebelum itu, penulis sudah berkahwin. Penulis berkahwin dengan pilihan hati, Siti Noor Arfah Binti Umar. Hasil perkahwinan, kami telah dikurniakan 3 orang cahaya mata lelaki. Ahmad Aasim, anak pertama kini sudahpun berusia 4 tahun. Manakala anak kembar, Faheem Hassan & Fahyeem Husin masing-masing berusia 2 tahun.

Mendidik dan membesarkan anak itu sendiri sudah merupakan satu cabaran, apatah pula bila mempunyai anak kembar. Pelbagai pengalaman yang kami perolehi sewaktu menaiki kapal terbang bersama anak-anak kecil kami. Pengalaman-pengalaman ini saya kongsikan bagi tujuan kemudahan dan pembelajaran kepada ibu bapa yang ingin menaiki kapal terbang bersama anak kecil mereka.

Berikut adalah 21 kisah paling menarik sewaktu kami menaiki kapal terbang bersama anak-anak kecil. Saya juga turut berkongsi beberapa tips yang boleh membantu anda bersedia untuk menaiki pesawat udara bersama anak kecil.

BABAK 1 – KOREA KAMI DATANG

Perjalanan Pergi

Pengalaman pertama menaiki kapal terbang adalah bersama anak sulung saya dahulu, Ahmad Aasim. Pada waktu itu usia Aasim baharu sekitar 6 atau tujuh bulan sahaja. Percutian ini sudah dirancang dari awal lagi, iaitu sewaktu selepas isteri saya melahirkan Aasim. Percutian pertama bersama ahli keluarga baru , memang mengujakan. Tambahan pula, percutian ke Korea ini juga sebagai hadiah percutian bulan madu buat isteri. Ini kerana kami tidak berkesempatan memiliki bulan madu yang terancang di awal perkahwinan kami dahulu.

Sungguh bertuah Ahmad Aasim. Pada usia 6 bulan sahaja sudah berpeluang menaiki kapal terbang. Saya sendiri menunggu sehingga berumur 23 tahun sebelum berpeluang menaiki penerbangan pertama saya. Itupun atas urusan rasmi syarikat tempat saya bekerja. Penerbangan ke Korea menggunakan khidmat syarikat penerbangan tambang murah terkenal, Air Asia. Kami mengambil peluang atas promosi yang dilakukan Air Asia untuk mendapatkan tiket yang lebih murah.

Sebagai ibu bapa, sudah tentu teruja untuk bercuti bersama ahli keluarga terbaru. Tambahan pula waktu itu, Korea masih lagi dalam musim sejuk. Kami merasa sungguh gembira kerana berpleuang membawa anak bermain salji. Persiapan pun telah dibuat sejak awal. Segala keperluan seperti baju sejuk juga telah dilakukan. Almaklumlah, disebabkan percutian bajet, bajetnya pun tidak sebesar mana. Kami hanya membeli baju sejuk 'bundle' sahaja. Untuk RM 50, dapat dua baju sejuk isteri dan 2 helai baju untuk anak. Sewaktu itu saya bekerja di pasir gudang, jadi beli di 'bundle' Pasaraya Today Kota Masai sahaja.

Hari yang ditunggu-tunggu sudahpun tiba. Segala persiapan pun sudah bibuat. Kami bertolak dari lapangan terbang LCCT. Penerbangan ke Korea ini mengambil masa kurang lebih 6 jam 30 minit. Apa yang dirisaukan ialah takut Aasim buat perangai. Almaklumlah sebelum pergi, kami suda membuat carian di internet, macam-macam cerita menakutkan. Ada kisah anak-anak kecil menjerit dan meraung disebakan sakit telinga kerana perbezaan tekanan udara.

Sewaktu penerbangan, saya, isteri dan anak dapat duduk sebaris dengan orang Korea. Kalau tak salah beliau ini merupakan pelajar pertukaran di Universiti Putra Malaysia. Sempat jugalah isteri saya berbual dan bertanya tempat menarik untuk dikunjungi di Korea.

Sewaktu itu , Aasim masih lagi menyusu badan. Jadi ada senjata la nak senyapkan dia sewaktu tepoh penerbangan. Terima kasih isteri. Sepanjang penerbangan pergi, Ahmad Aasim menghabiskana masa dengan tidur. Tidak banyak masalah yang dtimbulkan beliau. Saya hanya perlu meriba beliau untuk beberapa ketika sahaja. Malahan saya juga berpeluang untuk menonton filem.

Terima kasih sekali lagi kepada isteri yang lebih banyak menjaga Aasim sewaktu penrbangan pergi. Tapi itulah, bila anak sendiri dah diam, anak orang lain pula yang menggangu. Anak-anak warga Korea yang duduk di sebelah kami itu kerap dating ke barisan tempat duduk kami. Anak-anak warga Korea itu ditempatkan di kerusi barisan lain. Tapi sekejap-sekejap datang berdiri sebelah saya, tumpang menonton filem sekali. Geram jugalah, kalau sekadar mahu menumpang menonton saya masih boleh terima. Tetapi kalau sudah mula mengganggu dan mahu menonton filem yang digemarinya pula, sayapun mula hendak marah. Nasib baiklah emak beliau perasan. Sudahnya emak beliau bagi komputer riba, barulah beliau beredar dan kembali ke tempat duduk asal beliau. Alhamdulillah perjalanan pergi boleh dikatakan selesa, Aasim pula nyenyak tidur sahaja.

Perjalanan Pulang

Pesawat dijadualkan berlepas pada waktu malam. Kali ini kmai duduk sebaris dengan mat Salleh pula. Ingatkan kali ini waktu malam bolehlah tidur dalam pesawat. Tambahan pula dah penat berjalan di Korea dan penat mengangkut barang-barang. Tapi Aasim ada agenda beliau yang tersendiri. Beliau meragam, senjata khas isteri pun nampaknya tak berjaya nak senyapkan beliau. Kesian isteri, tersengguk–senguk dia menahan mengantuk sambil cuba menenangkan Aasim. Saya pula macam biasalah, banyak bersabar, sabar yang tak bergerak-gerak bila isteri kejutkan tolong jaga anak.

Akhirnya saya tolong jaga Aasim. Makin lama, makin kuat pula tangisan dia. Saya mulai cemas dan malu jugak. Masa tu dah tak kisah dah orang nak pandang serong ke, pandang tegak ke, yang penting nak bagi Aasim senyap. Masa tu rasa nak belasah dia pun ada juga. Rasa nak bagi Aasim dekat isteri saya balik pun ada, tapi tak sampai hati pula, tambahan pula beliau baru sahaja nak berehat.

Habis ikhtiar, akhirnya saya terpaksa bangun dan berdiri di ruang tengah dan dodoikan Aasim. Lama juga masa yang diambil sebelum Aasim tidur. Sekejap-sekejap kena dodoikan dia setiap kali dia terjaga. Masa tu ada jugalah menyesal sedikit kerana bawa Aasim sekali. Sesampainya di rumah kami di Kuala Lumpur, memang sepanjang hari tidur disebabkan kepenatan. Hebat sungguh penangan Aasim.

Diharap anda semua terhibur dengan perkongsian pengalaman saya ini. Nantikan kemunculan e-book saya ini ya - Alamak! Anakku beraksi di Udara.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati