Balik sahaja rumah, anak sulung keluarkan soalan menusuk kalbu " Kenapa Abi balik rumah Aasim? Abi tak kerja ke? ". Pedih juga hati ni bila terkena soalan begitu dari si anak. Itulah padahnya bila selalu sangat pulang lewat ke rumah. Apabila sampai awal sedikit, anak pula yang terkejut.
Alhamdulillah, anak sulung saya Aasim dah semakin memahami tugas Abi dia. Kalau dulu sewaktu saya nak pergi kerja, mesti meraung-raung nak ikut Abi dia. Kini tugas meraung itu diambil-alih pula oleh si bongsu, adik Husin. Pantang nampak Abi dia buka pintu, pasti meraung-raung dan meronta-ronta nak ikut.
Kadang-kadang sayu juga bila anak sulung tu kerap benar meminta Abi dia supaya tidak pergi kerja agar dapat duduk bermain bersama dengan beliau. Sepanjang 4 tahun usia beliau, memang agak kurang masa bersama dengan beliau kerana faktor tugas yang memerlukan saya berada jauh dari rumah. Tapi kehidupan zaman sekarang ni, tambahan di bandar besar pula, tidak banyak pilihan yang ada. Kenalah akur dengan tugasan yang diberikan.
Anak-anak ni makin besar makin bijak dan makin dalam maksud percakapannya. Pernah suatu hari minggu ni saya berbual-bual dengan Aasim sewaktu bermain dengan dia. Saya tanya " Aasim suka Abi kerja dekat rumah atau kerja di pejabat? ". Secara jujur, Aasim menjawab " Aasim suka Abi bermain dengan Aasim di rumah". Tersentak juga saya dengan jawapan beliau.
Itulah kadang-kadang tak sangka anak-anak kecil ini banyak juga mengajar kita tentang apa yang berharga sebenarnya. Ingatkan dah jadi ketua keluarga ni, kita sahajalah yang nak kena selalu mentarbiah anak-anak dan isteri. Tetapi rupa-rupanya anak-anak pula yang macam lagi banyak mentarbiah Abi dia.
Begitu banyak yang kita boleh belajar daripada anak-anak ni sebenarnya. Satu contoh saya nak kongsikan dekat sini. InsyaAllah semua pun boleh ikut, tak kisahlah kerja sendiri ataupun makan gaji.
Siapa yang ada anak atau anak saudara atau adik pasti selalu nampak dan perhatikan perkara ini. Perasan tak kalau anak-anak ini inginkan sesuatu tetapi tak dapat, apa yang mereka akan lakukan?
Pastinya akan menangis dan meraung-raung bukan? itu biasalah lumrah bagi anak-anak kecil ini sedih tak dapat apa yang ereka inginkan. Tetapi perasan tak apa yang mereka buat selepas menangis itu? Mereka akan terus minta, minta,minta dan meminta sampai dapat juga bukan? Ataupun setidak-tidaknya mereka akan berhenti meminta sehinggalah mendapat sesuatu gantian yang lain bagi apa yang mereka inginkan.
Di sini kita boleh lihat bahawa anak-anak ini tak mudah putus asa. Jadi sifat inilah yang harus kita contohi. Kalau masih ada masalah dalam kehidupan, perniagaan, pekerjaan dan sebagainya, yang penting jangan putus asa dan terus berusaha. Kena menangis jugakah? Mestilah. Tapi menangis dan memintalah dari yang mampu dan ada. Siapa yang mampu dan dapat mengabulkan permintaan kita? pastinya hanya Allah s.w.t. Teruskan usaha, berdoa dan yakin dengan pertolongan Allah. InsyaAllah dapatlah yang terbaik untuk kita. Jangan sesekali mudah putus asa kerana sifat ini tidak disukai oleh Allah.
Tak percaya tak apa, buat sahaja. InsyaAllah hasilnya pasti tiba.
No comments:
Post a Comment