Wednesday, May 7, 2014

Ibu vs Ayah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Anak-anak walaupun mempunyai ibu & bapa yang sama namun mempunyai karakter yang berbeza. Tapi bila selera makan, kebiasaannya anak-anak saya ni mempunyai minat dan selera yang sama. Kalau yang sulung nak makan nasi, kebiasaannya adik-adik beliau pun akan turut hendak nasi juga. Di peringkat sekarang, apa sahaja yang abang mereka buat, si kembar akan ikut sahaja. Jadi lebih mudah untuk memberi mereka makan. 


Namun bagi saya, saya kurang sabar dan pandai dalam bab memberi makan terhadap anak-anak. Isteri yang biasanya meluangkan lebih masa untuk menyiapkan dan menyuap anak-anak makan. Malah kadang-kadang isteri berkejar-kejaran dengan anak-anak di sekeliling rumah hanya untuk menyuap mereka makan. Berbeza dengan saya yang hanya menanti anak-anak datang kepada saya untuk disuapkan makanan.

Saya juga kurang gemar makan sayur dan tidak ambil berat sangat jikalau anak-anak tidak mahu makan sayur. Berbeza dengan isteri yang selalu menekankan kepentingan makan sayur. Pelbagai idea yang dicubanya suapaya kami sekeluarga akan makan sayur. Nasib baiklah ada isteri yang selalu bimbangkan keperluan nutrisi anak-anak. Kalau hendak harapkan ayahnya memang susah sedikit. Malah anak kedua kami, Hassan kerap mengalami masalah sembelit, jadi memang perlu untuk makan sayur bagi membantu melancarkan sistem percernaan dan perkumbuhan.

Antara teknik yang isteri saya lakukan ialah menyediakan makanan yang berwarna-warni bagi menatrik perhatian anak-anak. Jadi beliau akan mengambil kesempatan untuk meletakkan sayur-sayuran ke dalam makanan .
Di bawah adalah resepi yang kerap beliau gunakan untuk memastikan saya dan anak-anak makan sayur.
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Dah makan dah? Harini Arfah nak share dengan semua resepi Spaghetti Bolognaise bersayur yang bila Arfah masak sering mendapat pujian dari mereka yang makan tu. Resepi ini juga sangat sangat digemari oleh anak-anak Arfah dan merupakan cara yang mudah untuk masukkan sayur-sayuran kedalam diet anak-anak. Selamat mencuba~


Spaghetti Bolognaise Bersayur
Bahan-Bahan:
1 peket spaghetti kering
1 biji Bawang besar
2 ulas bawang putih
300 gram daging cincang
3 biji lada benggala / bell pepper (merah, hijau dan kuning)
3 biji tomato
1 pack/bekas cendawan
3/4 botol kecil Sos tomato
1 sudu besar tomato paste/puree
Rempah2 (oregano, Thyme, Basil, Rosemary)
Sedikit cili kering serbuk (mengikut cita rasa sendiri)
Garam dan lada hitam secukup rasa
Sedikit gula


Cara-cara:
1. Potong bawang besar menjadi dadu kecil dan potong bawang putih menjadi halus seperti dalam gambar di bawah.

2.  Tumis bawang besar dalam minyak dahulu sehingga menjadi lembut dan keluar bau wangi. Kemudian baru masukkan bawang putih. (Saya tumis bawang besar dahulu sebab bawang besar ambil masa lebih lama untuk masak..kalau masukkan bawang putih dulu nanti bawang putih itu akan hangit sebelum bawang besar sempat masak sepenuhnya)

3. Pastikan daging cincang atau minced meat yang anda gunakan tidak frozen tau. Kalau frozen, keluarkan dan biarkan daging itu defrost dahulu dan mencapai suhu bilik sebelum memasak. Kalau tak ada daging cincang (minced meat)...anda boleh beli daging yang seketul tu dan cincang aje sendiri.  

4. Apabila kedua2 bawng putih dan bawang besar dah wangi kaw2 dan sedikit keperangan, masukkan pula daging cincang tadi. 

5. Masak sambil mengacau selalu daging dan bawang tadi sampai daging itu 2/3 masak dan berubah warna menjadi koko pucat seperti dibawah ini.

6. Sementara menunggu daging masak, pastikan lada benggala atau bell pepper anda dah dipotong dadu seperti dalam gambar dibawah. Saya suka gunakan 3 jenis bell pepper ini (merah, kuning dan hijau) sebab bila masak akan nampak menarik dengan pelbagai warna. Kalau tak ada 3 warna pun tak apa...mana2 pun ok aje. 

7. Apabila daging tu dah masak, tuangkankan bell papper di atas daging tu tapi jangan terus kacau dulu. Terus tutupkan periuk lepas masukkan sayur tu. Saya suka biarkan sayuran itu stim diatas daging tu dulu.

8. Hiris cendawan butang macam ni.

 9. Lepas 2 minit masukkan cendawan pula atas longgokan bell pepper tadi. Tutup tudung periuk kembali dan stimkan cendawan pula.

 10. Lepas 2 minit lagi masukkan tomato yang telah dipotong dadu macam ni.

11. Lepas masukkan tomato tu pun saya suka biarkan ia stim dalam seminit dulu sebelum mengacau semua bahan2 dalam periuk tu.

12. Once semua sayur dan daging dah sebati, masukkan pula rempah ratus bolognaise. Anda boleh beli sebotol rempah yang dah siap dicampur. Tapi time cari tadi tak jumpa pula..mungkin dah kehabisan stok. Jadi saya beli Rosemary, Thyme, Oregano dan Chilli Flakes. Selalunya saya masukkan juga Basil leaves tapi tak ada pula tadi. Chilli flakes tu orang putih selalunya tak letak pun. Tapi biasalah...tekak melayu ni kalau tak pedas memang rasa macam tak sedap...jadi saya letakkan sekali utk kasi ummphhh~
 

 13. Masukkan semua rempah ratus tadi bersama-sama sesudu besar tomato paste, 3/4 botol kecil sos tomato, garam dan serbuk lada hitam secukup rasa. Saya juga masukkan lebih kurang satu sudu gula kedalam ni. Fungsi gula itu ialah untuk potong rasa masam tomato paste dan tomato paste yang kita guna. Jangan sampai terasa manis pula kerana memang tak sesuai kottt sos bolognaise ni rasa manis.

14. Gaulkan semua bahan-bahan dalam periuk tadi sehingga sebati. Tadaaa~~ Dah siap sos bolognaise anda.


15. Rebuskan spaghetti anda dalam air yang diletakkan garam dan minyak. Garam untuk menambah rasa dan minyak untuk elakkan spaghetti itu melekat sesama sendiri. Pastikan anda kerap kacau semasa memasak spaghetti untuk elakkan dia melekat menjadi berketul-ketul. Masak spaghetti ni sampai dia jadi lembut tapi tidak lembik. Ikut arahan di bungkusan spaghetti tu yer...tapi bila masak angkat sehelai dan cuba potong dengan jari...kalau masih rasa keras...sambung masak. kalau dah lembut tu dah boleh toskan.

 16. Letakkan spaghetti di dalam pinggan dan tuangkan sosnya diatas. Kalau nak, anda boleh taburkan keju parut diatas atau letakkan sekeping cheese cheesedale tu. Tapi pastikan spaghetti dan sos tu masih panas bila letakkan cheese. Baru ianya cair dan meleleh. Terbaikkk~~


Anak-anak Arfah semua memang suka sangat makan spaghetti ni. Kalau time2 derang tak berapa nak ada selera untuk makan, Arfah akan masakkan spaghetti ni. Insya Allah derang akan pulun. Ini juga salah satu cara untuk beri anak-anak makan sayur. Kalau nak boleh juga tambah sayuran seperti bayam, carrot atau kubis untuk tambah kandungan sayuran dalam menu ni.

Ini muka senyum anak ke-tiga saya sambil makan spaghetti. Habis comot mulut, tangan dan pakaian dia. Hehehe. Tak apa lah..kotoran itu boleh dicuci. Tapi, kebahagiaan dan kesihatan anak-anak itu tidak ternilai. 

Arfah harap semoga anda boleh mencuba resipi ini dengan berjaya. Yang baik-baik itu dari Allah manakala segala cacat cela itu ialah daripada Arfah sendiri. 

Lots of Love,
Arfah Umar

Itulah kasih ibu, berhempas pulas memastikan anak makan makanan yang sihat. Sanggup bersusah payah. Berbeza pula kasihnya ayah. Ayah ni sanggup juga bersusah payah. Kalau tak percaya ini buktinya, saya juga selalu masakkan spaghetti untuk anak-anak bila ibu mereka ini ada urusan di luar dan saya kena menjaga mereka di rumah. 

Displaying 2014-05-05 23.58.12.jpg

Anak yang sulung sedang makan spaghetti sambil marah adik-adiknya yang sedang membuat bising pada jam 1 pagi. Oleh sebab isteri dah kepenatan seharian menjaga mereka, saya pun tolong masakkan untuk anak-anak. Jadi para bapa-bapa yang terpaksa menjaga anak-anak di rumah tanpa ditemani isteri, mungkin boleh cuba resepi spagheti saya ini. Ibu-ibu pun boleh cuba juga. Langsung tak sama dengan resepi isteri. 

Bahan-bahannya:

1. Spaghetti atau angel hair (apa sahaja yang ada di rumah)
2. Sos Rahsia


Cara-caranya:

1. Panaskan spaghetti sampai boleh dimakan (tidak terlalu keras dan terlalu lembik)

2. Panaskan sos rahsia


Setelah dipanaskan, gaul dengan rata bersama spaghetti tadi dan boleh dihidangkan kepada anak anda :).

Sos ini harganya tak sampai RM 5 dan boleh digunakan sehingga 4 hidangan. Siapa kata ayah tak boleh memasak untuk anak-anak.

Selamat mencuba mana-mana resepi spaghetti yang anda gemari. Walau apapun pastikan kita cuba memberikan yang terbaik pada kita. Murah atau mahal terpulang pada kemampuan masing-masing.

TAk percaya tak apa, buat sahaja, insyaAllah hasilnya pasti tiba.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati