"Apa? Gaji RM 30,000 sebulan? Kalau nak minta gaji pun biarlah berpadanan dengan kerja dan pengalaman. Lulusan ijazah baru macam awak ni mana mungkin dapat RM 30,000, RM 3,000 pun belum tentu". Berdasarkan dialog ini anda rasa mustahil tak untuk lulusan ijazah yang baru hendak mula bekerja meminta gaji sebanyak itu? Pastinya mustahil bukan.
Tapi kali ini saya nak kongsikan satu perkerjaan yang minima gajinya ialah RM 30,000 sebulan. Kalau anda lulusan ijazah baru pun boleh dapat gaji RM 30,000 ini. Malah anda yang tidak mempunyai kelulusan ijazah juga mampu memperolehinya. Yang pasti ini bukanlah suatu bentuk penipuan atau skim cepat kaya. Sumber gaji untuk pekerjaan ini adalah hasil kajian pihak salary.com.
Jadi kalau anda nak tahu, saya nak bagitahu. Pekerjaannya ialah menjadi seorang ibu. Bukan ibu ayam ya, ini ibu betul-betul. Mengikut kajian pihak salary.com pada tahun 2013, gaji sepatutnya untuk seorang ibu ialah RM 370,881. Banyak kan? Kenapa pula boleh banyak macam tu? Kalau anda rasakan tugas ibu itu mudah anda mungkin silap.
Berdasarkan artikel 'here's a pat on the back' tulisan Lydia Teh terbitan akhbar The Sun bertarikh 6 May 2014, menurut kajian, rata-rata seorang ibu (suri rumah) menghabiskan masa sebanyak 14.4 jam seminggu sebagai pembantu rumah. Malah 14 jam untuk memasak, 13.3 jam sebagai pengasuh/pengajar dan 10.8 jam sebagai pengurus rumah. Manakala 8.9 jam sebagai operator komputer, 8 jam sebagai pemandu teksi, 7.8 jam sebagai tukang cuci, 7.3 jam sebagai psikologis, 6.2 jam sebagai operator dobi dan 3.3 jam sebagai CEO (Ketua Pegawai Eksekutif).
CEO & GM keluargaku
Cuba anda hitung, dalam seminggu cuma ada 168 jam. Daripada 168 jam itu, 94 jam dihabiskan untuk melakukan kerja-kerja rumah dan sebagainya. Tinggal 74 jam sahaja masa untuk dirinya sendiri dan jikalau ditolak masa tidur, maka tinggallah 32 jam sahaja masa untuk diri mereka sendiri. Itupun tidak termasuk beberapa perkara lain.
Besar sebenarnya tanggungjawab ibu ini. Tapi tanggungjawab yang besar ini dengan tenang sahaja mereka ini melakukannya dengan ikhlas. Jadi para suami dan bapa-bapa di luar sana tu, janganlah ingat isteri anda yang duduk di rumah atau kerja di rumah tu hanya duduk berehat dan tidak melakukan apa-apa. Saya dah berkesempatan mencuba mengambil alih tugasan isteri dalam mentadbir rumah tangga dan menjaga anak-anak selama beberapa hari semasa isteri tiada di rumah. Hasilnya memang memenatkan dan tak berhenti-henti. Ada sahaja urusan dan kerja yang harus diselesaikan.
Kalau tak percaya juga anda kena baca buku ini pula.
Jadi hormatilah ibu bapa tidak kira apa pekerjaan mereka. Kalau anda rasa anda hebat, sebenarnya ibu bapa anda yang lagi hebat kerana merekalah yang membentuk anda menjadi insan hebat pada hari ini. Kata pepatah, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Sayangilah ibu bapa, hormatilah mereka dan selalulah mendoakan kebahagian dan kesejahteraan mereka. Kalau nak lebih lagi, jadilah anak yang soleh dan solehah supaya doa kita boleh dikirim kepada mereka apabila mereka sudah tiada nanti.
Sayangi dan fahami suami dan isteri yang bekerja di rumah atau pun menjadi suri rumah atau sura rumah (housedad) sepenuh masa. Kerana masa dan tanggungjawabnya juga adalah terhad dan sukar seperti anda yang bekerja di pejabat. Perkahwinan satu perkongsian, jadi sama-samalah berkongsi tugasan untuk meringankan beban pasangan masing-masing. Ingatlah tugas menjaga mendidik dan mentarbiah anak-anak seharusnya kerja bersama ibu bapa. Bukannya harus diletakkan pada bahu ibu atau bapa sahaja. Keluarga ini satu pasukan dan bukannya satu individu sahaja.
Tak percaya tak apa, buat sahaja. InsyaAllah hasilnya akan tiba.
No comments:
Post a Comment