Assalamualaikum dan salam sejahtera. Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri kembali menetap dan bertugas di Kuala Lumpur ini. Setelah setahun di perantauan, kini pulang semula bertugas di ibu kota.
Harapannya kali ini dapatlah menetap lebih lama di Kuala Lumpur,sekurang-kurangnya biarlah sehingga anak sulung menghabiskan sesi persekolahan tahun pertamanya. (lagi tiga tahun)
Hidup berpindah randah ini sedikit menyiksakan. Tambahan pula dengan tiga orang anak kecil yang semakin bersemangat setiap hari. Hampir setiap kali berpindah randah, hampir setiap kali jugalah barangan bertambah. Akhirnya hampir penuh ruang di seluruh rumah. Kadang-kadang barang yang ada itu sudah tidak diguna pakai lagi, walaupun masih elok dan sempurna.
Saya pasti anda juga berdepan dengan keadaan yang sama. Lambakan pakaian, mainan anak-anak, majalah-majalah lama dan sebagainya. Sebenarnya kalau kita bijak mengambil peluang, keadaan ini kita boleh tukarkan keadaan ini menjadi kelebihan untuk kita.
Saya mendapat idea ini hasil daripada beberapa siri televisyen negara barat. Nak tahu apa yang kita boleh lakukan dengan lambakan barang-barang kita ini?
1. Barang lama yang masih elok bolehlah dijual semula.
- Anda boleh gunakan blog sebagai tapak untuk menjual barang lama anda. Sekiranya menjual pakaian, seelok-eloknya sertakan ukuran pakaian anda. Letaklah harga yang berpatutan dengan jenama dan kondisi pakaian anda itu.
- Sekiranya di luar negara terdapat banyak peluang untuk membuat 'yard sale' ataupun jualan garaj. Di Malaysia ini saya kurang pasti mengenai jualan garaj ini. Setahu saya jualan but kereta di Shah Alam sahaja yang paling hampir. Pastinya menarik jika kita boleh menjual barang di halaman rumah kita sahaja.
- Anda bolehlah menggunakan mudah.my sebagai tapak untuk mengiklankan barangan anda. Saya mencadangkan untuk mengiklankan barangan elektronik di sini.
- Bagi majalah-majalah atau komik-komik, anda bolehlah jualkan kepada kedai buku terpakai.
2. Sekiranya anda tidak mahu menjual barangan tersebut, anda juga bolehlah menyumbang kepada badan-badan kebajikan bagi tujuan amal.Terdapat pelbagai badan kebajikan di Malaysia ini. Anda hanya perlu buat carian sahaja di internet.
Mana-mana pilihan yang anda pilih pun semuanya akan mendatangkan manfaat kepada anda. Jika anda memilih pilihan yang pertama, anda sudah pun boleh memulakan perniagaan dari rumah. Anda juga tidak perlu pening untuk memikirkan produk apa yang anda ingin jual. Malahan anda tidak perlu mengeluarkan modal baru untuk bentuk perniagaan ini.
Macam saya, saya perlu menjual barang-barang lama saya untuk memberikan ruang untuk saya membuat tempat kerja di rumah bagi saya dan isteri. Di samping itu boleh juga dijadikan modal untuk membeli perabot kerja yang bersesuaian seperti meja kerja dan rak buku.
Idea ini bukanlah sesuatu yang baru, malahan ada ramai yang melakukannya. Jadi daripada saya dan anda biarkan barangan lama itu bersarang, lebih baiklah kita jual atau sumbangkan. Dapat juga kita manfaatnya. Jom sama-sama kita lakukan.
No comments:
Post a Comment