Friday, April 11, 2014

Percutian Percuma


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang sentiasa membantu dan memberikan komentar bagi saya membaiki mutu penulisan saya dari masa ke semasa. Terima kasih juga untuk anda yang mengunjungi blog ini. Kali ini saya nak kongsikan cara-cara nak menyambar peluang bercuti secara percuma ataupun pada kos yang sangat minimum.

Gambar-gambar di atas adalah percutian saya dan isteri (www.arfahumar.com) bercuti di Ho Chi Minh, Vietnam pada 2010. Alhamdulillah saya dan isteri berjaya pergi secara percuma. Kami hanya perlu membayar harga hotel dan makanan sahaja. 

Pada masa itu kalau tak salah isteri saya sedang hamil anak sulung kami, Ahmad Aasim. Apabila teringat, kasihan juga pada isteri, kerana saya membawanya berjalan ke merata tempat di bandar Ho Chi Minh itu.













Saya dan isteri sememangnya menggemari aktiviti melancong. Jadi saya telah menggunakan minat saya ini dengan sebaiknya. Saya juga beruntung kerana pekerjaan saya memberi peluang saya untuk meneroka negara luar (terima kasih syarikatku). Saya menyertai program penebusan mata ganjaran untuk tiket dengan syarikat penerbangan Malaysia Airline System (MAS), Enrich program. Saya pasti anda semua mengetahui tentang enrich program ini. Kalau tak tahu bolehla klik di sini. 

Alhamdulillah banyak juga tempat saya dah pergi dengan penebusan mata ganjaran Enrich ini.Yang terbaru, merasa jugalah saya naik penerbangan kelas bisnes ke Jakarta baru-baru ini. Kalau hendak beli sendiri memang tidak mampu.

Saya nak kongsikan pula kisah percutian percuma saya di Kuching & Kota Kinabalu selama seminggu pada awal tahun ini. Saya sudah merancang percutian ini bagi meraikan ulang tahun isteri saya pada hujung tahun lalu. 
Berikut ialah jadual percutian saya itu.

1. 3 Hari 2 malam di Kuching
2. 5 hari 4 malam di Kota Kinabalu

Perjalanan untuk 2 orang dewasa, 1 kanak-kanak dan 2 orang bayi (infant)

Jadual Penerbangan

KLIA - Kuching 
Kuching - Kota Kinabalu (Transit di Sibu dahulu)
Kota Kinabalu - KLIA

Belanja yang saya perlu keluarkan hanya untuk makanan dan satu hari belanja hotel di Kota Kinabalu.

Apa yang telah saya lakukan?

1. Sewaktu di Kuching, saya menginap di rumah adik ipar saya. Sambil dapat menziarahi beliau seperti yang telah dirancang saya juga dapat ambil kesempatan untuk tidak perlu mengeluarkan belanja hotel. Anak-anak juga gembira dapat berjumpa dengan mak lang mereka. Isteri saya juga gembira. Pendek kata situasi yang menguntungkan untuk semua pihak.
2. Untuk penerbangan, semuanya telah ditanggung sepenuhnya oleh program penebusan mata ganjaran Enrich saya. Saya hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai kos cukai lapangan terbang dan tiket (tax & surcharge) sahaja.
3. Untuk hotel di Kota Kinabalu, saya telah menetap di Hyatt hotel di mana saya berjaya menginap 3 malam secara percuma di sana. Sepatutnya untuk 4 hari tetapi tempahan bilik sudahpun penuh. Jadi terpaksalah saya mengeluarkan perbelanjaan untuk bayaran hotel bagi tempoh sehari lagi.

Anda nak tahu macam mana nak buat? Kalau anda selalu bekerja di luar negara atau di luar kawasan, tinggallah di hotel-hotel yang menawarkan program penebusan mata ganjaran. Pelbagai hotel menawarkan program seperti ini, di antaranya ialah Marriot dan Hyatt. jika berpeluang, bolehlah anda cuba. Mudah bukan? sambil menyelam sambil minum air. 

Jadi itulah sedikit sebanyak perkongsian saya tentang tip-tip nak cuti secara percuma atau dengan perbelanjaan minimum. Saya tahu semua orang mungkin dah tahu. Saya hanya hendak kongsikan sebab kadang- kadang kita pandang remeh benda-benda percuma. Bagi saya selagi boleh maksimakan penjimatan dan dapat bercuti, berjalan saya akan rebut dan gunakan peluang itu.

Begitu jugalah dalam mula hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini. Sekiranya ada peluang hendak berniaga tanpa perlu mengeluarkan modal atau pun pada kadar minimum, pastinya ia akan menarik perhatian saya. Kata orang, semakin tinggi risiko sesuatu perniagaan, semakin tinggilah bakal keuntungannya. Namun saya menyarankan untuk mencuba perniagaan berisiko rendah dahulu buat permulaan. Bukan apa takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula.

Nak tahu apakah perniagaan yang anda boleh ceburi dari rumah tanpa perlu mengeluarkan modal atupun modal minimum sekadar RM 100? Nantikan entri saya selanjutnya.



No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati