Pada zaman ini kita lihat semakin ramai ibu bapa yang mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia pekerjaan di pejabat dan memilih untuk bekerja dari rumah. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri, namun bagi kaum hawa khususnya, kebanyakannya adalah untuk menjaga anak sendiri. Tambahan pula kebelakangan ini pelbagai insiden & kejadian yang tidak diingini berlaku di pusat-pusat penjagaan anak-anak. Tak kurang juga masalah dengan pembantu rumah. Jadi tidak hairanlah ramai ibu bapa terutamanya para ibu mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaga anak-anak.
Terdapat pelbagai sebab mengapa ada yang mengambil keputusan bekerja dari rumah, di antaranya ialah:
· Lebih masa dapat diluangkan bersama keluarga
· Persekitaran kerja yang selesa dan tenang di rumah sendiri
· Diberhentikan kerja kerana faktor kemelesetan ekonomi
· Mencari pendapatan tambahan untuk membantu keluarga tetapi harus menjaga anak-anak di rumah
· Pilihan sendiri kerana memang suka bekerja dari rumah
· Mahukan kebebasan masa bekerja
· Mahu meluangkan masa pada minat/hobi dan menjadikannya satu sumber pendapatan yang tetap
Kalau di dunia maya internet, kita boleh lihat di blog dan di laman web, pelbagai iklan dipaparkan. Iklan-iklan itu merangkumi peluang bekerja dari rumah, jana pendapatan dari rumah dan sebagainya. Untuk golongan pendatang baru dalam dunia ini seperti saya, seharusnya kita perlu lebih berhati-hati. Takutnya nanti kita boleh terperangkap dengan sesetengah skim atau tawaran hebat yang akan merugikan kita. Sudahlah gagal menjana pendapatan yang diinginkan, kita terpaksa pula mengeluarkan duit simpanan yang ada.
Yang penting selalulah buat carian & kajian. Jangan terlalu pantas untuk menyertai sesuatu program berbayar tanpa kajian terperinci dulu. Sentiasa dapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang arif. Sertai forum-forum di internet untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program-program yang anda ingin sertai. Semak latar belakang syarikat yang menawarkan program terbabit. Yang paling penting pastikan program itu mampu menjana dan memberikan pendapatan yang halal kepada kita & keluarga.
Untuk yang masih tercari-cari peluang dan apakah perniagaan yang boleh diceburi dari rumah ini, nantikan entri saya seterusnya.
No comments:
Post a Comment