Assalamualaikum dan salam salam sejahtera. Untuk bertapak dalam dunia bekerja dari rumah ini bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya bagi mereka yang sudah berkerjaya. Urusan pekerjaan di pejabat sahaja sudah memakan masa hampir separuh hari, tidak dikira masa perjalanan pergi dan pulang kerja lagi. Balik ke rumah harus melayan kerenah anak-anak dan meluangkan masa bersama keluarga pula. Bila anak-anak tidur barulah mahu mencuri masa untuk melakukan kerja-kerja rumah dan juga perniagaan dari rumah. Sesudah itu barulah dapat peluang untuk berehat. Apabila bangun pagi kemudiannya, harus menyiapkan diri dan anak-anak untuk menghadapi aktiviti selanjutnya pula. Saya kira itulah aktiviti rutin yang dihadapi bakal WAHM dan WAHD.
Sungguh hebat dan mengagumkan sebenarnya jika anda mampu meneruskan rutin ini setiap hari. Mana tidaknya, anda cuma diperuntukkan 24 jam sahaja sehari untuk melakukan semua itu. Tetapi terkadang sedikit hairan melihat ada di antara kenalan saya yang mampu melakukan seribu satu perkara di dalam masa 24 jam itu.
Teringat kisah yang diceritakan oleh isteri saya. Isteri saya ini terlibat dengan bisnes Shaklee. Jangan risau, saya bukan mahu mempromosikan barangan Shaklee. Sebelum itu saya mahu ceritakan sedikit sahaja mengenai Shaklee, bagi tujuan untuk anda lebih memahami kisah yang ingin saya kongsikan ini. Bisnes Shaklee ini terbahagi kepada beberapa peringkat ahli. Ahli biasa, supervisor, coordinator dan master. Maklumlah bisnes Shaklee ini makin berkembang dan maju. Jadi banyak upline yang membina kumpulan masing-masing.
Alhamdulillah isteri saya mempunyai kumpulan yang bagus. Upline beliau menjadi mentor yang sangat bagus dari segi perniagaan dan juga rohani. Upline beliau selalu mengadakan sesi latihan, perbincangan dan sesi mengajar bagi memantapkan teknik berniaga downline mereka.
Pada suatu sesi latihan dan muhasabah diri, seperti diberitahu isteri, mereka dikehendaki menyenaraikan kelemahan dan kekuatan diri mereka dalam menjalankan bisnes Shaklee ini. Pada yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka juga diminta untuk menyenaraikan sebab mengapa mereka masih tidak berjaya.
Pelbagai jawapan yang diberikan para downline. Rata-rata mereka menjawab mereka tidak mempunyai masa yang cukup. Mereka juga menjelaskan susah untuk melakukan pelbagai kerja termasuk menguruskan anak-anak kerana mereka masih mempunyai kerjaya.
Senang sahaja jawapan upline mereka. Betul, memang awak semua tidak cukup masa kerana awak hanya diberikan 24 jam sehari. Berbeza dengan master-master seperti kami yang mempunyai 60 jam sehari. Bersahaja jawapan upline mereka itu.
Jom kita fikir sejenak. Betul ke ada orang yang dikurniakan sehingga 60 jam sehari? Tiada bukan? Apa yang ingin disampaikan oleh upline ini tadi ialah rancang dan uruskanlah masa anda sehari-sehari dengan sebaiknya. Bagi yang beragama Islam pasti ingat akan Firman Allah dalam surah Al Asr; Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Jadi sesibuk manapun kita, rancang dan uruskanlah waktu kita sebaik mungkin. Mari kita jadikan hari kita umpama dikurniakan 60 jam sehari. Yang penting janganlah lupa dan sentiasa utamakan kewajipan kita kepada Allah. Luangkanlah masa secukupnya bersama keluarga walau sesibuk manapun kita. Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama amalkan pengurusan waktu yang lebih efisien.
No comments:
Post a Comment