Monday, April 21, 2014

Tahu Tapi Tak Mahu - Rahsia Dhuha

Alhamdulillah dan salam sejahtera. Diharapkan perkongsian-perkongsian sebelum ini berjaya membantu anda dalam apa jua yang anda ceburi. Kali ini saya nak berkongsi tentang kebaikan solat sunat Dhuha dan rahsianya. Saya yakin, ramai di antara anda yang dah tahu, tetapi susah untuk menunaikan solat sunat Dhuha ini, termasuklah saya sendiri. Sangat banyak kebaikan solat sunat Dhuha ini. Dulu sewaktu di universiti, memang kumpulan usrah saya selalu berpesan untuk menunaikan solat sunat Dhuha ini. Tetapi saya malas dan tidak ikhlas. Saya hanya melakukan solat dhuha ini bila berada di dalam kumpulan usrah ini sahaja.
Alhamdulillah masih belum terlambat untuk saya. Apabila saya mengetahui kepentingan solat dhuha ini, saya sudah boleh melakukannya tanpa disuruh. Mengikut kajian yang saya lakukan terhadap individu yang berjaya dalam perniagaan yang saya kenali, hampir semua persamaannya ialah mereka ini menunaikan solat dhuha secara konsisten setiap hari. Selain itu mereka juga rajin berusaha, tidak pernah jemu untuk bersyukur dan selalu meinta dari Allah di samping selalu memuji kebesaran Allah.
Solat sunat Dhuha ini adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi iaitu 27 minit selepas terbit matahari dan tamat waktunya sebelum tergelincir matahari. Bilangan rakaatnya paling kurang dua rakaat dan maksimumnya 12 rakaat. 
Pada rakaat pertama boleh dibaca surah ad-Dhuha, manakala rakaat kedua boleh dibaca surah al-Ikhlas. Masa yang diambil untuk menunaikannya cuma tiga minit, sangat pendek masanya berbanding keberkatan yang Allah berikan kepada kita untuk sepanjang hari kehidupan. 
Ternyata solat sunat Dhuha dilakukan pada awal pagi sebelum memulakan kerja dan bagi kebanyakan orang ia solat sunat sebelum bergerak untuk mencari rezeki. Jadi, banyak keberkatannya sebelum kita memulakan kerja, dimulakan dengan solat ini. 




Biasanya kita akan memulakan hari dengan semangat tinggi dan membara untuk mencapai matlamat dalam pekerjaan atau pelajaran. 

Jika pada saat itu kita mengingati Allah SWT, kemudian tunaikan solat Dhuha dengan hati yang tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT, Insya-Allah akan dilimpahkan pelbagai kurnia serta kasih sayang oleh Allah. 

Memandangkan waktu Dhuha bersamaan dengan bermulanya pelbagai aktiviti harian, amat tepat jika solat sunat Dhuha dilihat satu cara melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT. 

Ketika kebanyakan orang terlalu sibuk pada waktu pagi, secara tidak langsung solat sunat Dhuha akan mampu membangkitkan kesedaran perlunya memohon kepada Allah SWT dan meminta petunjuk-Nya supaya apa saja yang dilakukan berada pada jalan yang diredai. 
Jika seseorang pernah melakukan ibadat solat sunat Dhuha tentu akan merasai kesannya yang luar biasa. Meskipun baru sekali atau bahkan hanya sekali melakukannya dalam seumur hidup, tetap mendapat ganjaran. 

Sekecil mana amalan yang kita lakukan, Allah SWT akan membalasnya. Begitu juga dengan solat Dhuha, walaupun kita pernah melakukannya sekali seumur hidup tetap mendapat hikmah yang besar daripada Allah SWT. 

Banyak sekali keajaiban dan hikmah yang akan dirasai seseorang ketika melakukan solat sunat Dhuha, apatah lagi jika dilakukan secara berterusan dan penuh kesabaran tinggi serta hanya mengharap keredaan Allah SWT. 

Antara manfaat dan keajaiban solat sunat Dhuha ialah dijauhkan daripada kemiskinan. Semua ini bukan khayalan, kerana sudah ramai orang melakukannya dan mampu merasakan hikmah yang besar dalam kehidupannya. 

Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali kamu malas melakukan empat rakaat solat Dhuha, kerana dengan solat itu, Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya." (Riwayat Hakim dan Tabrani) 

Solat sunat Dhuha juga dapat menghapuskan dosa. Rasulullah SAW bersabda: 
"Sesiapa yang masih berdiam diri di masjid atau tempat solatnya setelah solat Subuh kerana melakukan iktikaf, berzikir, dan melakukan dua rakaat solat Dhuha disertai tidak berkata sesuatu kecuali kebaikan, maka dosanya akan diampuni meskipun banyaknya melebihi buih di lautan." (Riwayat Abu Daud) 

Antara lain solat Dhuha juga dapat menghindarkan diri daripada azab api neraka di hari Kiamat. Bagi orang yang menjadikan solat sunat Dhuha sebagai rutin hariannya, maka Allah akan membalasnya dengan balasan syurga. 

Rasulullah SAW bersabda: "Di dalam syurga terdapat pintu yang bernama bab Ad Dhuha (Pintu Dhuha), dan pada Hari Kiamat nanti, ada orang yang memanggil di mana orang yang sentiasa menunaikan solat Dhuha? Ini pintu kamu, masuklah dengan kasih sayang Allah." 

Justeru amat rugi orang yang dengan sengaja meninggalkan solat sunat Dhuha, padahal mereka sebenarnya mampu dan ada masa untuk melaksanakannya kerana mereka yang menunaikan solat sunat Dhuha akan mendapat balasan dan keuntungan amat besar. Berusaha semoga kita tetap melakukan ibadat sunat ini.
Solat sunat Dhuha ini umpama senjata sulit untuk menjemput rezeki. Ingatlah bila bercakap tentang rezeki ini, ianya bukan datang dalam bentuk wang ringgit dan kekayaan sahaja. kehidupan yang bahagia, akhlak yang baik, kesihatan yang baik dan sebagainya juga merupakan satu bentuk rezeki. Selalulah kita hargai dan sentiasalah bersyukur dengan setiap nikmat yang kita perolehi tidak kira banyak ataupun sikit.

Jadi apabila dah tahu kelebihan solat sunat Dhuha ini, rugilah kalau anda tak buat. InsyaAllah sama-sama kita tunaikan solat sunat Dhuha setiap hari secara konsisten. 

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati