Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sejak mendapat anak kembar, kalau keluar pasti ramai yang menegur. Pelbagai persoalan yang diajukan. Paling kerap ialah skrip utama " kembar ke tu? " . Alhamdulillah rezeki kami mendapat anak kembar.
Saya dan isteri memang gemar melancong. Selain itu kami juga gemar 'food hunting' atau eksplorasi mencari makanan. Di awal zaman perkahwinan memang saya dan isteri kerap ke sana ke sini untuk bersiar-siar dan mencuba makanan istimewa di tempat kami berkunjung.
Setelah kelahiran anak sulung kami, Ahmad Aasim, kami masih meneruskan aktiviti tersebut. Malah setelah mendapat anak kembar, Faheem Hassan dan Fahyeem Husin kami masih meneruskan minat kami ini.
Saya dan isteri pula suka melakukan eksplorasi mencari makanan secara spontan. Pernah suatu kali kami teringin nak makan keropok lekor yang sedap, lalu kami ambil keputusan untuk terus ke Tanjung Lumpur di Kuantan Pahang. Nasib baik masih ada hotel bajet yang kosong. Kalau difikirkan memang gila kerja kami ini kerana turut mengheret anak-anak kami sekali.
Tetapi bagi saya dan isteri, mempunyai anak-anak kecil yang ramai bukanlah penghalang untuk terus melakukan aktiviti yang kami suka. Bukan juga alasan untuk terus terperuk di rumah. Memang selalu mendapat soalan daripada kawan-kawan macam mana kami masih mampu untuk makan di luar dan juga kerap ke sana ke sini bersama hero-hero kami. Memang mencabar dan bukanlah sesuatu.yang mudah bersama dengan hero-hero kami ini untuk melancong atau makan di luar. Tetapi yang menariknya ianya juga bukanlah sesuatu yang susah. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.
Makin hari makin tak sabar menanti masa boleh menjadi WAHD sepenuh masa. Di mana lebih masa berkualiti boleh terluang untuk isteri,anak-anak dan keluarga. Makin banyak jugalah masa yang kami boleh gunakan untuk aktiviti melancong dan 'food hunting' secara spontan kami ini.
Walaupun apabila dah bekerja sepenuh masa dari rumah nanti pastinya akan mencabar dengan kehadiran pembantu-pembantu profesional (anak-anak sayalah tu), namun ianya bukan sesuatu yang mustahil. Malah ianya akan menjadi suatu cabaran sihat dan motivasi untuk saya menguruskan masa dan merancang kerja dengan lebih baik.
Jadi bagi mereka yang berfikir-fikir nak bekerja dari rumah,faktor anak-anak mengganggu urusan kerja itu bukanlah suatu permasalahan yang serius. Ramai yang mampu dan sudah berjaya bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama cemerlang menguruskan hal ehwal rumah tangga.
Jadi jangan fokus pada masalah, kerana apabila fokus pada masalah, anda akan dapat masalah. Fokuslah pada penyelesaian. Hendak seribu daya, Tak hendak seribu alasan. Orang hebat melihat masalah itu sebagai rintangan kecil sebelum mencapai kejayaan besar.
Tak percaya tak apa, buat sahaja. InsyaAllah hasilnya pasti tiba.
No comments:
Post a Comment