Sunday, May 11, 2014

RM 1,000,000 Untuk Berhenti Kerja

" Kalau tak ada sejuta, jangan beranganlah nak berhenti kerja ". " Hutang kau dah habis ke?" . " apa yang kau nak buat bila kau berhenti?". " Dah elok-elok makan gaji di pejabat, kau nak berhenti pula. Fikirlah betul-betul, kau tu dah kahwin ada anak lagi". Saya yakin itu adalah di antara soalan yang dihujankan dan ditujukan kepada anda apabila menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja. 
Saya sendiri mengalami perkara yang serupa apabila saya menyuarakan hasrat tersebut.

Memang tidak dinafikan, pertanyaan itu datang kerana mereka yang bertanya itu  risau akan keadaan keluarga dan kewangan kita. Tapi betulkah bahawa kerja makan gaji di pejabat itu selamat? Betulkah kena ada RM 1,000,000 dalam akaun untuk menampung kehidupan selepas berhenti kerja. Kalau kerja gaji itu selamat, mengapa masih ada ramai pekerja yang diberhentikan kerja walaupun bekerja di syarikat besar yang mempunyai status kewangan yang kukuh? Kalau RM 1,000,000 itu sudah cukup menampung kehidupan selepas berhenti mengapa masih ramai orang yang jatuh muflis walaupun mempunyai aset dan simpanan yang banyak berjuta-juta? Kita kenalah fikirkan kenapa dan mengapa ya. Yang penting ingatlah rezeki itu datangya dari Allah s.w.t.





Di sini saya nak kongsikan sedikit hasil penulisan sifu Puan Masayu Ahmad mengenai bagaimana membuat keputusan bekerja dari rumah.

Teks: Masayu Ahmad
Entri di blog masayuahmad.blogspot.com bertarikh 6 Mei 2014

Dalam kes tertentu, persediaan 3 tahun awal untuk 3 tahun pertama berhenti kerja sangat penting. berikut senarai sebab, kalian sudah bersedia.


10 sebab sudah boleh buat keputusan bekerja dari rumah


1. Anda sudah ada sumber pendapatan pasif dan aktif secara tetap.


2. Boleh bekerja di bawah tekanan dan bersedia menghadapi apa sahaja risiko.


3. Mendapat sokongan sepenuhnya dari suami atau isteri untuk menghadapi masa di atas di bawah.


4. Mudah dan tajam tindakan apabila mendapat peluang baru.


5. Bijak mengatur strategi untuk kelangsungan bertahan.


6. Boleh dan pandai meletakkan diri pada masa sibuk, tidak sibuk dan super sibuk.


7. Kemahiran, rancang dan rancang semula jenis kerja atau bisnes.


8. Sudah sebati dengan cara kerja sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada orang lain.


9. Tidak ada istilah putus asa.


10. Seronok, apabila berada dalam keadaan sukar mendaki dan terus berusaha, apabila sudah sukses suka berkongsi kejayaan dan pengalaman dengan orang lain.


Apa beza suri rumah dan suri bekerja dari rumah.


Suri rumah sepenuh masa


Suri rumah sepenuh masa memberi tumpuan utama kepada keluarga semata-mata. Anak-anak, suami dan urusan rumah tangga. Jadi tiga keutamaan ini adalah tugasan yang menjadi keutamaan. Tidak melakukan apa-apa atau sebarang sumbangan kewangan kepada keluarga.

Suri bekerja dari rumah

Suri yang bekerja dari rumah adalah mereka yang menghasilkan pendapatan sama ada bekerja, mengusahakan bisnes, secara sambilan atau sepenuh masa. Peranan suri ini sama sama sibuknya dengan suri yang bekerja di luar rumah. Tugas yang dipikul adalah berganda dan memerlukan pengurusan masa yang baik.

Tanggapan masyarakat terhadap suri rumah

Bagi sesetengah pandangan, merasakan suri rumah adalah mereka yang tidak berpendidikan, terkongkong dan tidak memberi apa-apa sumbangan kepada masyarakat. Dunia hanyalah persekitaran keluarga dan anak-anak sahaja.

Tepis pandangan ini secara positif

Saya sudah mengenali dan menemui ramai suri rumah yang berpendidikan dan meletakkan jawatan sema-mata menumpukan kepada keluarga. Suri rumah kini semakin bijak, terbuka dan mempunyai pandangan yang lebih baik dalam menentukan hala tuju keluarga.

Apa yang saya kongsikan ini bukanlah sebab nak suruh anda semua berhenti kerja pula. Ini sebagai sedikit panduan dan pembakar semangat bagi mereka yang seangkatan dengan saya. Kalau suri rumah pun sering mendapat tanggapan negatif pabila mahu bekerja dari rumah, apatah lagi saya sebagai lelaki 'macho' yang mahu bekerja dari rumah.

Kebanyakan orang menganggap bila sudah berhenti kerja, hanya duduk di rumah sahaja. Tapi natijahnya pengertian SAHD (stay at home dad) dan WAHD (work at home dad).  Seperti WAHM, WAHD walaupun duduk di rumah, selain dari mengurus hal ehwal rumah tangga, mereka ini sebenarnya bekerja. Tidak kiralah meniaga makanan, menulis buku, pelukis pelan dan sebagainya. 

Seperti yang Puan Masayu beritahu, persiapan 3 tahun sebelum menjadi WAHD/WAHM itu adalah amat penting. Namun bagi saya, 18 bulan adalah matlamat yang ditetapkan  untuk menjadi WAHD sepenuh masa. Jadi perlulah berusaha untuk mendirikan dengan matlamat tersebut.

Yang paling penting dapatkan persetujuan pasangan anda terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan. Jangan terburu-buru mengambil tindakan. Mohonlah restu ibu bapa anda dan minta mereka doakan kejayaan anda. Kalau ibu bapa anda tidak bersetuju, terangkan secara baik kepada mereka. Kebanyakan orang jenis visual, jadi anda perlulah menunjukkan bukti pendapatan melalui kerja anda dari rumah . Insya Allah lama-kelamaan mereka akan dapat menrimanya.

Sentiasalah bersikap positif dan terangakan dan jawablah dengan berhemah segala persoalan. Ingatlah, Allah tidak akan membebani hambaNYA dengan ujian yang mereka tidak mampu menempuhnya. Selagi tak dapat hasil, selagi itulah kita kena terus meminta pada Allah dan terus berusaha. Siapa yang ada anak pasti memahaminya. Kena meminta seperti anak kecil meminta. MAcam bila nak susu, selagi tak dapat mereka akan menangis sehingga susu disuapkan ke mulut mereka bukan? Begitu juga bila mereka mahukan permainan. Kadang-kadang sehingga berguling-guling kerana terlalu bersungguh-sungguh mahukan permainan tersebut dan mereka hanya akan diam hanya bila dapat permainan tersebut.

Jadi begitu jugalah dengan kita. Kenalah meminta pada Allah dengan bersungguh-sungguh di samping usaha yang berterusan. Kalau kita tak dapat tu maknanya usaha dan doa kita itu masih belum cukuplah tu.

Tak percaya tak apa, buat sahaja. Insya Allah, hasilnya pasti tiba.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati