Tuesday, May 27, 2014

Aspek Penting Memulakan Perniagaan

Banyak contoh yang kita boleh lihat mengenai perniagaan yang tumbuh maju tapi kuncup layu dalam masa yang singkat. Kadang-kala hairan juga bagaimana perniagaan dan kedai besar dan cantik seperti itu tidak boleh bertahan lama. Tambahan pula bila melihatkan kedai mereka ini sering penuh dikunjungi pelanggan.

Ramai menyangkakan bahawa perniagaan ini sesuatu yang mudah. Tambahan pula apabila terdapat badan-badan yang dapat memberikan pinjaman modal untuk memulakan perniagaan. Ramai beranggapan bahawa modal besar akan mendatangkan pulangan besar. Tapi kadang-kala tak semestinya begitu. Saya suka memetik pesan pengasas Akademi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad. Kata beliau "kumpul modal dan usaha untuk menghasilkan pulangan RM 10 ringgit pertama. Kemudian usaha lagi untuk RM 50 ringgit dan seterusnya". Konsep sikit-sikit lama-lama jadi bukit itu amat sesuai saya rasa untuk dipraktikkan mereka yang mahu berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini.

Di awal perniagaan, selagi boleh elakkan membuat pinjaman kerana takut pinjaman ini nanti akan membataskan modal pusingan perniagaan kita setiap bulan. Seelok-eloknya kita mulakan perniagaan kita dengan modal yang ada di tangan dahulu. InsyaAllah, sikit-sikit lama-lama menjadi bukit dan semakin berkembanglah perniagaan kita nanti.


Selain itu elakkan juga untuk menyewa kedai. Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan pakaian mungkin boleh menjadikan rumah sendiri sebagai kedai dan tempat menyimpan stok di awal peringkat perniagaan anda. Sewa kedai ini nanti akan menjadi liabiliti kepada anda dan takut anda akan menjadi lebih tertekan sekiranya di awal perniagaan, hasilnya tidak seperti yang anda harapkan. Tambahan pula anda harus menyediakan kos untuk ubah suai, membeli kelengkapan kedai dan terikat dengan komitmen dari satu ke dua tahun secara minima.

Di awal pembabitan anda dalam perniagaan ini seelok-eloknya anda tidak menggaji pekerja bagi membantu anda dahulu. Anda terpaksa menyediakan peruntukan untuk gaji pekerja anda. Tambahan pula dengan adanya peraturan gaji minima setiap bulan sekarang, risaunya kos operasi anda nanti akan lebih tinggi dari hasil jualan anda.

Adalah penting untuk meneruskan kelangsungan perniagaan yang kita tubuhkan. Ini semua bertujuan untuk memajukan perniagaan kita di masa hadapan. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. 
Selamat Maju Jaya.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati